Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat yang diiktiraf oleh Bangsa- Bangsa Bersatu di bawah Perkara 20 memberikan hak kebebasan untuk berhimpun secara aman dan menubuhkan persatuan. Hak berhimpun ini pula diberikan di bawah Perkara 10 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Dengan demikian Malaysia telah menggubal Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 bagi merealisasikan hasrat di bawah Piagam Hak Asasi Dunia dan Perlembagaan Persekutuan.
Rang undang-undang APA ini dibahasakan dan pembukaaan rang undang-undang ini adalah seperti berikut: Suatu akta berhubungan dengan hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata, dan untuk memperuntukkan sekatan-sekatan yang didapati perlu atau suai manfaat yang berhubungan dengan hak itu, demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam, termasuk perlindungan hak dan kebebasan orang lain.
Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 digubal selaras dengan peruntukan Perkara 10(1)(b) dan (2)(b) Perlembagaan Persekutuan. Walaupun Perkara 10(1)(b) dan (2)(b), Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan secara jelas mengenai hak dan kebebasan orang lain dalam mengenakan sekatan terhadap berhimpun, demi keselamatan persekutuan atau ketenteraman awam, hak orang lain harus diambil kira.
Semasa undang-undang ini dibahaskan ia ditentang hebat ahli Parlimen pembangkang. Mereka keluar dewan bagi membantah tindakan kerajaan yang enggan membawa rang undang-undang perhimpunan aman untuk dibincangkan pada jawatankuasa terpilih.
Dalam pada itu, menurut laporan sebuah portal media ketika itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) turut membantah Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 selepas mengambil kira segala peraturan dan sekatan yang cuba diwujudkan.
Menurut Presiden ABIM ketika itu, Amidi Abd. Manan peruntukan-peruntukan itu bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin serta melindungi hak untuk warganegara mengadakan perhimpunan aman. ABIM juga, menuntut penjelasan rasional di sebalik larangan mengadakan perhimpunan di rumah-rumah ibadat seperti masjid untuk mengelakkan sebarang kekeliruan.
ABIM turut khuatir menerusi peruntukan itu (Fasal 15 dan 21) akan membuka ruang untuk penyalahgunaan kuasa atau budi bicara pihak yang berkenaan. Ini kerana ketiadaan peruntukan jelas untuk mengehadkan kuasa serta budi bicara pihak polis dalam mengawal serta menyuraikan perhimpunan.
Akta ini banyak kali dicabar oleh pelbagai pihak dan akhir sekali di dalam kes Amir Hariri Abd. Hadi lawan PP Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan notis di bawah Seksyen 9(5) APA 2012 adalah tidak berperlembagaan.
Secara khususnya, keputusan itu membatalkan Seksyen 9(5) APA 2012 yang menetapkan bahawa penganjur boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 kerana gagal memberikan notis kepada polis lima hari sebelum perhimpunan.
Seksyen 9(5) APA 2012 mengenakan hukuman yang melebihi had yang dibenarkan di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.
Dengan keputusan kes ini, perhimpunan aman tidak perlu mendapat izin untuk daripada pihak polis. Jika dilihat daripada peruntukan APA 2012 , polis hanya menjadi fasilitator agar perhimpunan itu berjalan lancar.
Selanjutnya sebagai memeterai waad di antara kerajaan dan rakyat, maka dibentangkan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 bagi menggantikan seksyen 27, Akta Polis 1967.
Di bawah rang undang-undang baru, pihak polis yang selama ini sebagai penentu izin kini berubah peranannya menjadi pengawal selia undang-undang dan pemudah cara dengan ruang lingkup kebertanggungjawaban yang lebih jelas.
“Peruntukan APA telah menggantikan peruntukan relevan Akta Polis 1967, walaupun pendekatannya lebih liberal. Di bawah Akta Polis, lesen merupakan syarat awalan bagi perhimpunan sah. Tanpa lesen, perhimpunan akan dianggap salah di sisi undang-undang sekalipun diadakan secara aman. Tiada peruntukan terbatas termaktub dalam APA. Di bawah APA, polis telah menghentikan fungsinya sebagai pembuat keputusan. Sebaliknya, mereka mengambil alih peranan selaku pengatur dan fasilitator bagi perhimpunan aman.” (Kes PP lawan Yuneswaran Ramaraj)
Ini dapat dilihat di bawah Seksyen 8 APA 2012 dan Sek 9 (5) sebelum diputuskan tidak berperlembagaan bertujuan pihak polis melindungi peserta perhimpunan aman.
Antara sebab Seksyen 9(5) dibatalkan kerana ia juga mendiskriminasi penganjur dan peserta. Penganjur dianggap melakukan jenayah dan boleh dikenakan hukuman tetapi peserta tidak dianggap sedemikian. Ini dapat dilihat di dalam penghakiman kes Ahmad Hariri yang menyatakan seperti berikut: Perhimpunan-perhimpunan tidak berlaku secara spontan atau kebetulan; perhimpunan menuntut masa, perancangan dan sumber untuk mendapatkan lebih dua orang agar berhimpun di mana-mana lokasi dan tempat dengan niat berhimpun secara aman.
Tindakan menjadikan hak mana-mana warganegara, untuk menganjurkan satu perhimpunan, satu jenayah, tiada beza dengan apa-apa serangan mendadak terhadap hak warganegara untuk menghadiri perhimpunan sedemikian.
Seksyen 9(5) APA, akan tetapi, membezakannya dengan menjadikan anjuran perhimpunan sedemikian satu jenayah tetapi bukannya kehadiran dalam perhimpunan itu sendiri. Merumitkan lagi perkara ini, kesalahan dalam seksyen 9(5) ini tersabit walau dalam situasi apabila perhimpunan yang dianjurkan berakhir secara aman kerana penganjur-penganjurnya boleh, meskipun begitu, dipanggil untuk berhadapan dengan pertuduhan jenayah kerana, secara efektifnya, menganjurkan perhimpunan aman – sesuatu yang, jika tidak, dijamin terhadapnya oleh Perkara 10(2)(b) PP.
Mahkamah juga mengambilkira kesimbangan Seksyen 9(1) APA 2012 dan semangat APA 2021 itu sendiri yang memberikan kebebasan berhimpun tetapi memberikan sekatan di bawah Seksyen 9(1) antara lainnya memberikan notis kepada pihak polis.
Pihak polis tiada hak atau kuasa untuk menghalang perhimpunan awam tetapi di bawah Seksyen 15 hanya membenarkan hak polis untuk mengawal perhimpunan awam itu antaranya: Masa dan tempoh perhimpunan itu diadakan, tempat ia diadakan, sikap peserta semasa himpunan itu diadakan, pembayaran bagi kerja-kerja pembersihan dan sebagainya.
Meletakkan syarat untuk menghalang melakukan perhimpunan aman dan menjadikan ia satu perbuatan jenayah secara langsung atau tidak langsung menghalang seseorang menikmati hak yang dijamin di bawah perlembagaan negara.
Menangkap peserta yang hanya berada di perhimpunan dan tidak melanggar syarat perhimpunan adalah salah daripada segi undang-undang. Dan menangkap seseorang sebelum mengadakan perhimpunan aman juga adalah tidak dibenarkan.
Mahkamah Persekutuan menyatakan peruntukan di bawah Seksyen 9(5) ini adalah larangan secara menyeluruh dan bukan hanya syarat sebagaimana dinyatakan di bawah Seksyen 15 di bawah Akta yang sama seperti yang dinyatakan di atas.
Dengan demikian menghalang rakyat mengamalkan hak asasi di bawah Perlembagaan adalah tidak wajar dan jika berlaku ia wajar dipandang serius dan boleh dicabar di mahkamah agar hak ini kekal dan kebal demi kedaulatan Perlembagaan Persekutuan.
PENULIS ialah pengamal undang-undang










