PETALING JAYA: Tiada mana-mana badan eksekutif termasuk Perdana Menteri boleh mengugut atau mengancam mengambil tindakan maksimum terhadap perhimpunan yang diadakan secara aman.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, rakyat berhak untuk berhimpun secara aman dan tidak wajar diugut atau diancam apabila ingin menzahirkan pandangan terhadap sesuatu isu.
Beliau berkata, hak tersebut termaktub di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan serta dilindungi oleh Akta Perhimpunan Aman 2012 yang digubal oleh Parlimen.
“Selagi perhimpunan berlangsung secara aman, maka peranan agensi keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah sebagai pemudah cara bagi memastikan perhimpunan tersebut berjalan mengikut undang-undang,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, pengamal undang-undang, Haniff Khatri Abdulla merupakan antara peserta Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram yang ditahan berhampiran kompleks membeli-belah Sogo di Kuala Lumpur.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mengesahkan tangkapan melibatkan penganjur perhimpunan, Zamri Vinoth dan beberapa individu lain.
Zamri difahamkan akan ditahan reman bersama seorang lagi peserta.
Dalam pada itu, 18 individu lain termasuk Haniff Khatri telah dibebaskan kira-kira pukul 3 pagi tadi. – UTUSAN










