SEJAK kebelakangan ini, masyarakat dikejutkan dengan pendedahan pelbagai kes rasuah yang melibatkan individu berjawatan penting dan tinggi dalam agensi serta sektor strategik negara.
Walaupun pendakwaan ini mampu menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem yang sepatutnya menjadi benteng kepada keselamatan dan kebajikan mereka, namun mendukacitakan apabila mereka yang terlibat bukanlah terdiri daripada golongan yang cetek ilmu.
Mereka ini, sebahagian besarnya memiliki latar belakang pendidikan yang tinggi, selain memiliki kepakaran dan berpengalaman profesional.
Individu ini sudah pasti mengetahui undang-undang, kod etika serta implikasi setiap tindakan dan keputusan yang diambil. Namun begitu, ilmu pengetahuan yang dimiliki masih gagal menjauhkan mereka daripada terbabit dalam salah guna kuasa dan rasuah.
Disebabkan jenayah sebegini, timbul persoalan tentang sistem pendidikan di negara ini kononnya masih belum benar-benar berupaya melahirkan pemimpin masa hadapan yang jujur dan amanah?
Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu meneliti penekanan dalam sukatan pelajaran sekolah serta modul latihan di universiti dan tempat kerja hari ini. Secara umum, sistem pendidikan dan latihan lebih banyak memberi tumpuan kepada pembangunan intelektual dan kemahiran teknikal.
Prestasi pelajar dan pekerja pula sering diukur melalui keputusan peperiksaan atau kecekapan mengendalikan sistem, jentera dan teknologi.
Namun, pendekatan ini menjadi tidak seimbang apabila pembentukan adab, nilai dan kekuatan rohani diberikan perhatian yang minimum. Akibatnya, lahir individu dan pemimpin yang cemerlang dari segi ilmu dan kemahiran tetapi mudah goyah dari sudut moral apabila berdepan godaan kuasa, nafsu dan harta.
Justeru, keseimbangan antara kecerdasan akal dan pembinaan nilai perlu dihidupkan semula agar pembangunan manusia lebih menyeluruh, beretika serta berteraskan kemanusiaan.
Apabila menghayati karya ulung ulung Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, Risalah Untuk Kaum Muslimin, khususnya perbincangan beliau dalam perenggan Faham Ilmu mengenai kepentingan menerapkan jenis ilmu yang betul.
Ia merujuk disiplin ilmu yang membimbing seseorang untuk mengenali dan menghayati asal-usul kejadian dirinya, di samping mengingatkan tentang janji dan tanggungjawab kepada Tuhan yang menciptanya, sebagaimana yang dirakamkan dalam ayat 172,Surah Al- A’raf.
Apabila seseorang itu benar-benar mengenali dirinya, sudah tentu dia tidak akan sesekali menzalimi diri dengan menerima suapan rasuah yang bukan menjadi haknya.
Penolakan suapan tidak didorong semata-mata oleh rasa takut kepada undang-undang ciptaan manusia yang bersifat berubah-ubah mengikut peredaran masa tetapi lahir daripada kesedaran spiritual dan moral untuk tidak mengkhianati amanah serta janji kepada Penciptanya.
Dengan berpandukan ilmu jati diri, seseorang itu juga akan menyedari kebahagian hakiki dan berkekalan hanya dapat dicapai melalui kehidupan yang diredai Allah, iaitu dengan mematuhi segala perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya.
Firman Allah SWT dalam ayat 265, Surah al-Baqarah: “Dibandingkan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda.”

TAMBAH BAIK SILIBUS PENGAJIAN
Mengambil jalan pintas dengan menerima rasuah demi mengejar gaya hidup mewah dan keseronokan duniawi yang bersifat sementara bukan sahaja merupakan penipuan terhadap diri sendiri, malah menghakis ketenangan jiwa dan keberkatan hidup.
Selain itu, ilmu jati diri berperanan penting dalam membantu seseorang menetapkan matlamat yang jelas dan terarah dalam usaha mendalami serta mempraktikkan ilmu pengetahuan dalam sesuatu bidang secara berhikmah.
Sebagai contoh, individu yang menceburi bidang perakaunan dengan matlamat melindungi kepentingan awam, selaras dengan tuntutan agama akan memanfaatkan kepakaran dan ilmunya untuk memastikan penyediaan laporan kewangan tepat dan telus.
Usaha untuk memulihkan keseimbangan antara ilmu jati diri dan ilmu pengetahuan dapat dilaksanakan melalui dua peringkat utama.
Peringkat pertama dan paling mudah dilaksanakan (low-hanging fruit), ialah memperkenalkan pengajian Etika Islam (tasawwuf) yang memberi tumpuan aspek penyucian jiwa kepada pelajar beragama Islam, manakala Pembinaan Sahsiah kepada pelajar bukan Islam.
Pengajian ini wajar diarusperdanakan dalam program akademik dan profesional, sama ada dalam bidang sains sosial mahupun sains tulen, sebagai subjek teras yang diwajibkan. Ia bukan lagi sekadar ditawarkan sebagai subjek elektif.
Sebagai contoh, program Sarjana Kewangan Islam wajar mewajibkan sekurang-kurangnya satu kursus teras, seperti Islam sebagai Asas Etika Transaksi Kewangan, bagi memastikan pelajar memahami kerangka nilai serta falsafah yang mendasari amalan kewangan menurut pandangan Islam, bukan sekadar aspek teknikal dan perundangannya semata-mata.
Peringkat seterusnya ialah usaha mengintegrasikan secara lebih mendalam topik serta elemen berkaitan agama dan adab ke dalam subjek-subjek arus perdana.
Pendekatan ini bertujuan memastikan nilai-nilai agama dan adab tersebut meresap secara menyeluruh dalam pembentukan pemikiran, sikap dan amalan profesional pelajar.
Sebagai contoh, konsep kebertanggungjawaban dalam Islam yang berasaskan prinsip tauhid boleh disepadukan dalam subjek perakaunan, sebagai ganti kepada konsep kebertanggungjawaban yang berakar kepada pandangan dan kebudayaan Barat.
Konsep ini menegaskan manusia bukan sahaja memikul amanah dan tanggungjawab secara mendatar, iaitu kepada sesama manusia dan institusi, malah yang lebih utama, memikul amanah dan tanggungjawab secara menegak iaitu kepada Allah SWT.
Penerapan ilmu jati diri yang berteraskan agama merupakan pelaburan jangka panjang yang strategik untuk membebaskan negara daripada belenggu rasuah, yang kosnya sedang ditanggung hari demi hari bukan sahaja melalui ketirisan dana awam yang sepatutnya dimanfaatkan untuk pembangunan serta kebajikan rakyat, malah melalui perbelanjaan besar bagi proses perundangan serta penguatkuasaan undang-undang yang perlu ditanggung oleh kerajaan.-UTUSAN
DR. Nazrul Hazizi Noordin ialah Pensyarah Kewangan Islam, Institut Kewangan dan Perbankan Islam(IiiBF), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Felo Pelawat di Pusat Pengajian Islam Oxford, United Kingdom.










