BERBICARA tentang orientasi seksual dan fenomena homoseksual dalam masyarakat hari ini memerlukan kebijaksanaan, ketelitian ilmu serta keseimbangan antara fakta sains, realiti sosial dan panduan agama.
Isu sebegini sering diselubungi oleh emosi, prasangka dan maklumat yang tidak tepat sehingga menimbulkan kekeliruan awam.
Justeru, penulisan ini berusaha menghimpunkan dapatan perubatan dan psikologi moden seperti yang diperjelaskan oleh institusi profesional, di samping menilai pandangan Islam secara berhemah dan berpaksikan prinsip rahmah serta hikmah.
Dari sudut sains perubatan dan psikologi, homoseksual merujuk kepada orientasi seksual, iaitu bentuk ketertarikan emosi, perasaan dan seksual seseorang terhadap individu yang sama jantina.
Konsensus dunia perubatan sejak beberapa dekad lalu, termasuk oleh Persatuan Psikiatri Amerika dan juga garis panduan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, telah menegaskan bahawa homoseksual bukanlah gangguan mental atau penyakit jiwa.
Penggolongan homoseksual sebagai penyakit mental yang pernah wujud suatu ketika dahulu lebih berpunca daripada keterbatasan metodologi kajian awal serta pengaruh nilai sosial pada zaman tersebut.
Pembetulan ini penting kerana stigma yang terhasil telah menyebabkan diskriminasi, tekanan psikologi dan pengasingan sosial terhadap individu yang terlibat.
Penyakit mental
Namun demikian, perlu difahami bahawa ketiadaan pengiktirafan sebagai penyakit mental tidak bermaksud sains telah menemui jawapan muktamad tentang punca orientasi seksual.
Kajian selama lebih 50 tahun menunjukkan bahawa orientasi seksual merupakan fenomena yang kompleks. Faktor biologi, perkembangan psikologi, persekitaran awal kehidupan serta budaya sekeliling didapati saling berhubungan, namun tiada faktor yang dapat memberi jawapan yang mutlak.
Malahan, orientasi heteroseksual yang dianggap “normal” dalam masyarakat juga tidak dapat dihuraikan secara saintifik dengan jawapan tunggal yang tuntas.
Hal ini menunjukkan bahawa isu orientasi seksual bukan sesuatu yang mudah dan tidak wajar disederhanakan dengan kesimpulan yang tergesa-gesa.
Dalam masa yang sama, timbul dakwaan dalam masyarakat bahawa tekanan hidup, tekanan kerja atau stres emosi boleh mengubah orientasi seksual seseorang. Dari perspektif perubatan, dakwaan ini tidak disokong oleh bukti klinikal.
Stres sememangnya memberi kesan besar kepada kesihatan mental, termasuk kemurungan, keresahan dan gangguan fungsi seksual seperti hilang nafsu.
Namun, mekanisme biologi stres melalui hormon kortisol dan adrenalin tidak pernah dibuktikan mampu mengubah fitrah tarikan seksual seseorang daripada satu jantina kepada jantina yang lain.
Kekeliruan sering berlaku apabila tekanan dan masalah mental yang dialami oleh sebahagian individu homoseksual dianggap sebagai punca, sedangkan kajian menunjukkan tekanan tersebut lebih kerap menjadi kesan akibat stigma, diskriminasi dan penolakan sosial.
Di sinilah pentingnya membezakan antara orientasi seksual dan tingkah laku.
Komuniti LGBT
Sesetengah kajian sosial, termasuk yang dirujuk oleh tokoh politik dan pengkaji tempatan, mendapati penglibatan individu dalam komuniti LGBT dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti pengaruh rakan sebaya, pengalaman peribadi, tekanan pekerjaan dan latar sosial.
Namun, dapatan ini lebih tepat difahami sebagai faktor yang mempengaruhi keterlibatan sosial atau gaya hidup, bukan bukti saintifik bahawa orientasi seksual boleh “dibentuk” atau “diubah” secara langsung oleh tekanan luaran.
Perbezaan ini amat penting supaya masyarakat tidak terjebak dalam naratif menyalahkan mangsa atau menyebarkan mitos perubatan.
Islam melihat manusia sebagai makhluk yang diciptakan dengan fitrah, iaitu kecenderungan semula jadi untuk mengenal Tuhan dan hidup dalam kerangka nilai yang ditetapkan-Nya.
Dalam al-Quran, Allah menegaskan bahawa manusia diciptakan dalam sebaik-baik kejadian, namun pada masa yang sama diberikan ujian dan tanggungjawab moral.
Para ilmuan seperti Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa dorongan dan kecenderungan dalam diri manusia tidak semuanya berdosa, tetapi yang dipertanggungjawabkan ialah pilihan dan perbuatan yang dizahirkan.
Prinsip ini selari dengan kaedah fiqh yang membezakan antara lintasan hati dan amalan zahir.
Dalam konteks ini, Islam secara jelas menolak perlakuan homoseksual sebagai satu perbuatan yang bercanggah dengan syariat, sebagaimana yang dirakamkan dalam kisah kaum Nabi Lut.
Namun, penolakan terhadap perbuatan tidak boleh disamakan dengan keharusan menzalimi, menghina atau menafikan maruah insan.
Sheikh Yusuf al-Qaradawi menegaskan bahawa pendekatan Islam dalam menangani maksiat mestilah berasaskan dakwah, nasihat dan pembinaan jiwa, bukan cercaan dan kebencian.
Islam tidak menafikan realiti kewujudan kecenderungan, tetapi mengajak manusia menguruskan dorongan tersebut dalam kerangka ketaatan dan pengawalan diri.
Solusi Islam
Solusi Islam terhadap isu ini tidak bersifat simplistik atau menghukum semata-mata. Ia bermula dengan pengukuhan akidah, pemahaman tentang tujuan hidup dan penghayatan konsep hamba serta khalifah.
Pendidikan agama yang berterusan, sokongan keluarga dan persekitaran yang sihat amat ditekankan oleh Islam kerana jiwa manusia dibentuk melalui tarbiah dan hubungan sosial yang seimbang.
Dalam masa yang sama, Islam mengiktiraf keperluan rawatan psikologi dan kaunseling profesional bagi individu yang bergelut dengan kekeliruan identiti, trauma masa lalu atau tekanan emosi.
Usaha mendapatkan bantuan bukan tanda kelemahan iman, sebaliknya satu bentuk ikhtiar yang dituntut oleh agama.
Pendekatan dakwah yang berhikmah juga menuntut masyarakat agar tidak menjadikan isu orientasi seksual sebagai alat politik atau sensasi media.
Penekanan melampau terhadap aspek menghukum tanpa menyediakan jalan pemulihan hanya akan menjarakkan individu daripada agama dan masyarakat.
Ibn Qayyim al-Jawziyyah pernah menyatakan bahawa syariat Islam seluruhnya berasaskan hikmah dan kemaslahatan. Apa-apa pendekatan yang membawa kepada kerosakan jiwa dan sosial, walaupun atas nama agama, perlu dinilai semula dengan teliti.
Akhirnya, isu orientasi seksual menuntut kematangan kolektif masyarakat. Sains mengajar kita agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak berasas dan menghormati data empirikal.
Islam pula mengajar kita agar berpegang pada prinsip kebenaran, rahmah dan keadilan.
Menggabungkan kedua-duanya, masyarakat wajar mengelakkan stigma, memperkukuh institusi keluarga, meningkatkan literasi kesihatan mental dan menghidupkan budaya nasihat yang beradab.
Dalam suasana ini, individu yang bergelut dengan persoalan diri tidak merasa terasing, manakala nilai agama terus terpelihara dengan pendekatan yang bijaksana dan berperikemanusiaan. – UTUSAN
MOHD. Ammyrul Ashraf Sairan ialah Pensyarah Kanan di Unit Pengajian Islam dan Falsafah Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM).










