BERBAKI kira-kira 24 bulan lagi, dijangkakan Pilihan Raya Umum ke-16 diadakan di negara ini. Nampak macam lama lagi, tetapi ramai yang tidak sabar-sabar mahu ‘menghukum’ manakala ada juga awal-awal lagi sudah memberikan ‘kemenangan percuma’ kepada parti Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mana tidaknya, Perikatan Nasional (PN) yang sepatutnya kini sedang mengemas strategi dan terus membina keyakinan rakyat, melakukan perkara sebaliknya. Parti alternatif rakyat terutamanya dalam kalangan orang Melayu itu, ketika ini masih demam dengan kemelut dalaman yang belum nampak tanda-tanda ‘kebahnya’ dan demam itu beransur-ansur melemahkan barisan sendiri.
Ada yang melihat Kerajaan Perpaduan kini mendapat manfaat besar daripada situasi ini. Tanpa perlu melakukan serangan agresif, bercemperanya parti dalam PN sudah cukup untuk melemahkan imej pembangkang itu.
Setiap sindiran terbuka dan setiap perbezaan pendirian dalam PN menjadi ‘bonus’ kepada lawan politik. Ayat mudahnya, parti lawan tidak perlu buat apa-apa. Dalam keadaan ini, lawan politik sedang melemahkan diri sendiri. Setiap perpecahan dalam PN menjadi ruang nafas kepada parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk memperkukuh kedudukan dan meraih simpati orang ramai yang sudah letih dengan konflik politik berpanjangan.
Perlu diingat dalam teori politik, gabungan yang menang besar tetapi gagal mengekalkan kesatuan dalaman sering berakhir dengan kejatuhan. Malaysia bukan asing pun dengan fenomena ini. Barisan Nasional (BN) pernah mengalaminya. Pakatan Harapan (PH) juga pernah terperangkap di dalamnya. Kini, PN kelihatan sedang mengulangi kitaran yang sama.
SEMUA MAHU DOMINAN
Sejarah politik negara ini juga membuktikan bahawa gabungan yang gagal mengurus perbezaan dalaman ini akhirnya akan melemahkan penyatuan. BN pernah menerima padah apabila perebutan kuasa, masalah dalaman dan kegagalan membaca denyut nadi rakyat membawa kepada kejatuhan dalam PRU-14. Persoalannya, adakah PN kini sedang mengulangi kesilapan sama?
Ironinya, PN bukanlah gabungan yang ‘biasa-biasa’. PRU-15 membuktikan kekuatan mereka dengan gelombang sokongan Melayu yang besar, peningkatan kerusi yang ketara, serta kebangkitan Pas (gelombang hijau) sebagai parti dengan kerusi terbanyak di Parlimen, rekod ini sepatutnya menjadi modal politik yang kukuh kepada PN.
Keputusan PRU-15 juga memberi isyarat jelas bahawa rakyat, khususnya pengundi Melayu, sedang mencari alternatif. Namun alternatif itu perlu stabil, konsisten dan bersatu. Tanpa kesepakatan, kekuatan angka itu lama-lama tidak membawa makna.
Kajian oleh Merdeka Center dan IDEAS sebelum dan selepas PRU-15 menunjukkan satu corak yang konsisten iaitu pengundi, khususnya golongan muda dan Melayu luar bandar, memilih PN bukan semata-mata kerana ideologi, tetapi kerana kekecewaan terhadap politik lama dan kos sara hidup yang menekan. Undi yang diberikan adalah undi protes dan undi harapan. Namun harapan itu kini diuji oleh ketidaksepakatan dalaman PN yang berlarutan.
Isu siapa lebih dominan, siapa layak memimpin, dan siapa wajar menentukan calon serta dasar, semakin menguasai perbincangan elit PN. Ia dibaca, dan dihakimi rakyat. Setiap kenyataan sinis, setiap sindiran politik, setiap perbezaan pendirian semuanya menambah persepsi bahawa PN sedang sibuk menjatuhkan sesama sendiri.
Dalam beberapa siri wawancara wartawan Mingguan Malaysia, Maisarah Sheikh Rahim, Aqilah Mior Kamarulbaid, Aslinda Nasir dan Irwan Shafrizan Ismail dengan beberapa pemimpin kanan Bersatu dan Pas, rata-rata bercakap pasal perpaduan dan kekuatan, tetapi sehingga kini apa yang diperkatakan itu adakah sekadar sembang dan retorik? Kenapa susah mencari kesepakatan?
Bercakap kepada akhbar ini minggu lalu, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, yang bertelagah adalah ‘bos-bos’ di peringkat atasan. Sedangkan Ahli Parlimen Pas dan Bersatu baik seperti adik beradik sepanjang sidang Parlimen.
Justeru beliau menekankan agar pemimpin yang tidak ikhlas, yang asyik bercakap pasal bertanding pilihan raya dibuang terus daripada parti itu kerana nampak sangat mementingkan kedudukan sendiri.
Dengan semua situasi ini membuatkan rakyat yang memerhati dari luar tentunya tertanya-tanya – Sudah kenapa ini? Jika sesama sekutu pun gagal mencapai kata sepakat, bagaimana mahu diyakinkan bahawa mereka mampu mentadbir negara dengan stabil?
Lebih membimbangkan, kemelut ini berlaku ketika rakyat sedang bergelut dengan tekanan hidup. Kos sara hidup terus meningkat, peluang pekerjaan tidak menentu. Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan peningkatan kos sara hidup, sementara kajian Bank Negara Malaysia berulang kali menegaskan majoriti isi rumah tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk menghadapi krisis.
Namun isu rakyat tenggelam dalam kemelut kuasa. Adakah parti politik yang benar-benar berdiri teguh sebagai pembela mutlak mereka? Semua nampak berkepentingan. Semua bagaikan sedang mengira untung rugi masing-masing.
Rakyat melihat politik sebagai medan perbalahan, bukan ruang penyelesaian masalah. Kepercayaan yang dibina susah payah dalam PRU-15 kini terhakis sedikit demi sedikit, bukan kerana kegagalan mentadbir, tetapi kerana kegagalan untuk bersatu.
BUKAN KELAB BOLA SEPAK
Pas dan Bersatu, sebagai tulang belakang PN, seharusnya sedar kekuatan gabungan ini terletak pada kesepakatan. Bukan pada siapa paling dominan, bukan pada siapa paling lantang, bukan pada siapa layak jadi Perdana Menteri tetapi pada kemampuan untuk menawarkan alternatif stabil, berprinsip dan diyakini. Tanpa kesatuan, PN berisiko mengulangi sejarah gabungan yang kuat hanya di atas kertas.
Politik Malaysia sudah terlalu lama dihantui budaya rebut kuasa. Parti mana pun memimpin, tetapi pola kekal sama. Bergaduh, rasuah dan berebut kuasa.
Jika PN benar-benar serius mahu kembali sebagai pilihan utama dalam PRU-16, kemelut ini perlu ditamatkan segera. Bukan dengan kenyataan retorik atau rundingan tertutup atau mesyuarat luar biasa semata-mata, tetapi dengan kejelasan hala tuju, pembahagian peranan yang matang, dan komitmen untuk meletakkan kepentingan rakyat mengatasi ego politik.
Jika tidak, PN mungkin akan dikenang bukan sebagai gabungan yang bangkit membawa harapan, tetapi sebagai mempersia-sia undi dan peluang yang diberikan rakyat.
Politik Malaysia tidak kekurangan parti atau pemimpin yang boleh diketengahkan. Yang semakin susah dicari adalah keikhlasan untuk meletakkan rakyat di kedudukan paling depan. Jika PN gagal menamatkan kemelut ini, mereka hanya akan mengesahkan kedudukan parti itu dalam bahaya.
Parti politik bukan seperti kelab bola sepak popular liga perdana Inggeris umpamanya. Manchester United, Liverpool mahupun Chelsea, walaupun prestasi merudum, ada turun naik atau asyik kalah, pasukan ini tetap punya berjuta-juta penyokong sampai bila-bila, tidak kira prestasi atau tidak menang piala sekali pun.
Tidak seperti parti politik, mereka akan dihukum penyokong jika prestasi teruk dan menyusahkan rakyat dalam kertas mengundi pada pilihan raya nanti. Dan PRU-16 kira-kira dua tahun lagi. Tidaklah lama sangat.
FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.










