MUKADIMAH
Kemelut dalaman Bersatu yang turut memberi tempias kepada gabungan Perikatan Nasional (PN) tidak seharusnya diperbesarkan sehingga menjejaskan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ahli Bersatu, DR. MOHAMAD KHIR TOYO juga mengingatkan PN agar tidak terlalu dibuai keyakinan sokongan rakyat semata-mata, sebaliknya perlu memberi keutamaan kepada penyediaan manifesto awal yang jelas dan realistik.
Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL dibantu jurufoto SYAKIR RADIN, bekas Menteri Besar Selangor itu turut berkongsi pandangan mengenai isu pilihan raya PBT, kedudukan UMNO serta pengalaman beliau menangani isu ladang babi ketika menerajui Selangor.
MINGGUAN MALAYSIA: Kemelut Bersatu dan Pas dalam PN boleh jejaskan persiapan hadapi PRN, PRU16?
Pertembungan atau pertembungan pandangan dalam Bersatu dan kini sampai ke PN, bagi saya pertamanya selagi anggota PN itu masih mengatakan mereka masih bersama PN. Saya rasa itu yang paling penting sekali kuncinya. Mereka masih dengan PN jadi soal masalah, mereka boleh selesaikan secara perlahan-lahan.
Saya lihat dalam Bersatu pun jawatankuasa MPT telah lantik jawatankuasa pengukuhan parti. Jadi, saya ingat bahawa jawatankuasa pengukuhan parti ni akan mengambil peranannya untuk menyelesaikan masalah parti dalam Bersatu.
PIHAK KETIGA JADI MASALAH
Persepsi rakyat yang melihat kemelut ini boleh menyebabkan Bersatu lemah?
Sebenarnya selagi tiada pertembungan secara terus antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin, saya rasa tidak ada masalah, yang ini orang yang mengikut Datuk Seri Hamzah, yang menyokong Tan Sri Muhyiddin, yang di bawah, yang di atas saya rasa tidak ada masalah. Mesyuarat MPT masih berlaku. Hubungan Muhyiddin, Hamzah masih baik. Saya difahamkan masih boleh hubungi, jumpa dan sebagainya. Cuma bila isu-isu ini ada pihak-pihak ketiga memainkan, mereka ini yang jadi masalah kepada kita.
Sebab itu, bagi saya kepada semua ahli Bersatu, biar isu ini diselesaikan antara Presiden dan Timbalan Presiden. Itu pun jika ada masalah antara mereka. Kita janganlah menambah, mencurah minyak di api yang sedang menyala, ini tidak bagus.
PN JANGAN TERBUAI
Apa yang perlu diutamakan parti terutama gabungan PN ketika ini?
Janganlah sampai kita terlalu sangat dibuai oleh majoriti rakyat, pandangan umum bahawa PN boleh menang, PN akan menang. Ini yang saya nampak hari ini. Bila mana pemimpin-pemimpin dalam PN ini dibuai kata rakyat akan sokong mereka dan mereka boleh menang. Sepatutnya kita mengambil pendekatan sokongan meningkat kepada PN, itu satu kelebihan dan kebaikan. Tapi kita tangani bagaimana untuk memastikan sokongan itu menjadi undi kepada kita.
Pandangan mengenai surat Tan Sri Muhyiddin dan pemansuhan jawatan pengerusi PN serta cadangan pembentukan Majlis Presiden dan Majlis Eksekutif PN?
Saya lihat apa yang dibuat Tan Sri Muhyiddin apabila beliau memanggil Tan Sri Hadi Awang dan juga presiden parti lain untuk duduk berbincang, itu petanda paling baik sekali.
Ada dua cabang kuasa dalam PN. Majlis Presiden akan menentukan hala tuju parti, menentukan tentang manifesto dan sebagainya manakala eksekutif jalankan kerja-kerja parti di bawah untuk pastikan bahawa parti bergerak dengan baik.
DESAKAN KETUA BAHAGIAN
Namun masih ada desakan termasuk oleh ketua bahagian supaya Tan Sri Muhyiddin turut meletak jawatan Presiden?
Dalam Bersatu ada ramai ketua bahagian. Kalau tidak membenarkan mereka bercakap atas pemikiran masing-masing, tidak boleh juga. Cuma sekarang kena tangani isu ini dan kalau ada ketua bahagian yang minta Muhyiddin letak jawatan, kena tahu apa sebabnya. Seelah-eloknya, janganlah dedahkan kepada umum. Boleh tulis surat kepada parti dan mengambil tindakan supaya pandangan diambil dan sebagainya.
Namun desakan seorang tidak semestinya mewakili semua. Jadi, pada saya pendekatan dipilih presiden untuk diam itu bagus dan tidak boleh tutup mulut ketua bahagian mereka ada masalah sendiri, ada kehendak dan matlamat sendiri, itu masalah bagi saya.
Parti mana yang sewajarnya menerajui gabungan PN?
Pandangan saya biar Bersatu yang memimpin PN, kerana ada moderation di situ. Jadi, bolehlah kita cuba untuk mendapatkan sokongan daripada orang bukan Melayu.
Kalau Pas menjadi pengerusi, akan ada masalah, bagi Gerakan, MIPP, belum lagi MIC hendak masuk lagi. Jadi kena terima hakikat dalam keadaan sekarang belum lagi kita tengok orang yang bukan Islam ini dapat menerima Pas sebagai pemimpin.
MANIFESTO AWAL
Jadi, PN perlu kekal sebagai satu gabungan kuat menuju pilihan raya dan bukan bergerak solo?
Betul, sebab itu saya bimbang jika ada antara parti komponen bergerak solo ia akan memberi masalah.Bagi saya yang paling penting hari ini PN kena ada manifesto yang mudah menumpukan antara lima hingga enam isu penting, kemudian dapatkan input dan maklum balas rakyat.
Buat apa kita bergaduh siapa hendak pimpin, (tapi) manifesto tiada, lepas itu kita mengata satu sama lain. Saya ingat ini satu perkara yang sangat tidak sepatutnya dibuat oleh PN.
Pandangan mengenai cadangan pilihan raya PBT dan Datuk Bandar Kuala Lumpur?
Soalnya sekarang ini, campur tangan politik sudah masuk dalam pentadbiran DBKL. Sepatutnya, biar macam dulu. Sebab itu undang-undang. MP dipilih rakyat bukan untuk menguasai pentadbiran DBKL. DBKL diketuai seorang Datuk Bandar yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Saya mahu beritahu yang di Malaysia ini kita belum boleh lagi mengadakan pilihan raya PBT. Ini kerana kita punya mindset ini masih lagi orang Melayu undi Melayu, orang Cina undi Cina, pemikiran masih tidak tukar.
Sebab itu, DAP menang di kawasan majoriti Cina, PN menang di kawasan majoriti Melayu. Jadi, kalau minda kita macam itu, macam mana kita hendak pilih wakil dengan adil? Sebab itu kita tidak boleh (buat), selagi geografi penduduk dalam negara kita ini sangat berbeza. Orang Cina banyak tinggal di bandar, orang Melayu banyak tinggal di luar bandar.
Di negara Barat, tiada masalah. Datuk Bandar New York orang Islam sebab mereka mindset lain-lain. Kita belum lagi ke arah itu, sebab pendidikan kita tidak cukup. Kita masih segmenkan masyarakat mengikut kaum.
Pandangan mengenai UMNO, kemampuan parti itu untuk kembali dominan?
UMNO kata hendak bertanding solo, itu hanya mindset untuk tipu rakyat. Mahu bertanding solo selepas berunding kerusi, masih lagi ‘supplement’ kepada PH.
Tengok sahaja keputusan di Sabah. UMNO susah untuk kembali dominan, kalau dengan PH, sampai bila tidak akan dominan.
Akan datang, saya yakin PKR akan tanding lebih banyak kerusi daripada UMNO. Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu penggal kedua, takkan hendak beri UMNO lebih kerusi daripada PKR?
ISU BABI DI SELANGOR
Semasa menjadi MB Selangor, Dr pernah berhadapan dengan isu ladang babi, pandangan Dr berkenaan isu pemindahan ke Bukit Tagar yang kemudiannya ditangguh sementara kerajaan negeri selepas menerima banyak kecaman?
Sebenarnya dulu saya pernah tutup lebih kurang 20 kandang babi sebab isu pencemaran air. Saya kena marah, maki dengan orang Cina. Namun saya tidak boleh kompromi apa-apa yang mencemarkan air.
Selepas itu, ada cadangan kandang moden, tapi kos itu terlalu mahal. Orang cakap kenapa Amerika boleh buat, Belanda, China boleh buat? Industri babi di negara Eropah, Amerika ini sudah lengkap kitaran ekosistemnya. Maksudnya, semua segmen tubuh badan babi itu boleh digunakan, macam usus, tulang, kulit dan kuku yang dijadikan pelbagai produk akhir bernilai tinggi.
Di Malaysia tidak ada seperti itu. Sebab itu, saya rasa kalau hendak gunakan teknologi baru sekadar mahu urus kumbahan babi saya rasa sukar. Kalau setakat hendak jual daging babi, tidak akan dapat balik tampung kos untuk selenggara kandang babi yang baik. Ini mustahil, kecuali kita ada industri yang lengkap.
Kita boleh import daging babi, tidak ada masalah, harga tidak jauh beza, Singapura boleh import, tiada masalah pun. Katalah sekarang ini hanya ada 60 pengusaha, jadi beri lesen import kepada mereka. Perlu diingat Ini bukan masalah daging babi. Masalahnya pencemaran yang dibuat oleh kandang babi. – Mingguan Malaysia










