RPTM buka ruang pendidikan tinggi lebih beradab, berperikemanusiaan

RPTM buka ruang pendidikan tinggi lebih beradab, berperikemanusiaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELAKSANAAN Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 menandakan anjakan falsafah yang signifikan dalam landskap pendidikan tinggi negara.

Pelan ini memperlihatkan peralihan jelas daripada paradigma pendidikan tinggi yang berorientasikan keperluan pasaran dan kebolehpasaran graduan semata-mata kepada kerangka lebih menyeluruh, berteraskan kemanusiaan, nilai, kesejahteraan holistik dan kemampanan.

Universiti tidak lagi sebagai institusi pengeluaran tenaga kerja berkemahiran tetapi sebagai wahana pembinaan insan, masyarakat dan peradaban yang memikul tanggungjawab moral terhadap masa hadapan negara mahupun dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Peralihan ini selari dengan prinsip karamah insaniah iaitu pengiktirafan terhadap kemuliaan dan maruah insan sebagai teras segala usaha pendidikan dan pembangunan bakat.

Penekanan RPTM 2026-2035 terhadap pembangunan bakat yang menghayati nilai, kepimpinan beretika, jalinan komuniti yang bermakna serta penyelidikan berimpak tinggi mencerminkan keperluan kerangka epistemologi yang lebih mendasar dan normatif. Keperluan ini melangkaui logik pasaran, teknokrasi atau pengukuran prestasi yang bersifat instrumental.

Pada tahap inilah, gagasan Epistemologi Tawhidik dan Kecemerlangan Ummatik yang dibawa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) muncul sebagai asas konseptual yang kukuh untuk mentafsir, menyokong dan memperdalam pelaksanaan RPTM 2026-2035 secara bermakna.

Epistemologi Tawhidik menegaskan kesatuan antara ilmu, nilai dan tindakan serta menolak pemisahan antara dimensi intelektual, etika dan sosial dalam pendidikan. Ilmu dilihat sebagai amanah yang terikat dengan tujuan, adab dan tanggungjawab moral, bukannya entiti neutral yang terpisah daripada nilai.

Gagasan Kecemerlangan Ummatik pula berpaksikan prinsip khayra ummah yang mengangkat kecemerlangan sebagai sumbangan bermakna kepada kesejahteraan masyarakat dan kemajuan peradaban.

Kecemerlangan menurut kerangka ini tidak diukur semata-mata melalui pencapaian individu, institusi atau penarafan global tetapi melalui impak sosial, keadilan dan kemaslahatan bersama.

Kedua-dua gagasan ini sejajar secara substantif dengan aspirasi RPTM yang menekankan pembangunan bakat berpaksikan nilai dan kemanusiaan sejagat.

Sebagai universiti yang ditubuhkan atas mandat peradaban, UIAM berada pada kedudukan strategik untuk menterjemahkan aspirasi RPTM melalui kerangka epistemologi tersebut.

Nilai teras RPTM yang berpaksikan kemanusiaan, kesejahteraan holistik, kemakmuran bersama dan kemampanan selari secara langsung dengan visi dan falsafah pendidikan UIAM.

Namun begitu, keselarasan falsafah sahaja tidak mencukupi. Kejayaan sebenar bergantung pada keupayaan universiti menginstitusikan Epistemologi Tawhidik secara sistemik dan konsisten merentas keseluruhan ekosistem universiti, termasuk kurikulum, pentaksiran, penyelidikan, khidmat masyarakat dan tadbir urus.

Aspek pengajaran dan pembelajaran dalam RPTM menuntut peralihan daripada pendidikan berorientasikan output kepada pembangunan bakat yang menghayati nilai serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan yang kompleks.

Usaha UIAM ke arah ini dizahirkan melalui pengukuhan pendidikan berasaskan nilai, penyepaduan etika dan tanggungjawab sosial dalam hasil pembelajaran program, serta penerapan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman dan konteks sebenar.

Slogan ‘Taman ilmu dan budi’ merangkum visi UIAM sebagai institusi yang menegaskan kesatuan antara kecemerlangan ilmu dan keluhuran budi dengan pembinaan adab dan akhlak diletakkan sebagai teras pendidikan tinggi.

Inisiatif seperti kursus Usrah in Action dan Service Learning Malaysia University for Society (SULAM) memperlihatkan usaha konkrit menterjemahkan nilai daripada ruang diskursif kepada tindakan.

Melalui kursus-kursus ini, pelajar tidak sekadar membincangkan konsep ihsan, amanah dan keadilan sosial secara teoritikal tetapi diuji keupayaan mereka untuk menghayati dan mengamalkan nilai tersebut melalui penglibatan langsung dengan komuniti.

Pendekatan ini seiring dengan aspirasi RPTM yang menekankan jalinan komuniti bermakna, pembelajaran kontekstual dan pembentukan bakat berpaksikan kemanusiaan.

Pentaksiran berasaskan Epistemologi Tawhidik menuntut penilaian yang melangkaui penguasaan kognitif dan kemahiran teknikal semata-mata. Penilaian sebegini perlu turut mengukur pembentukan adab, kesedaran etika dan keupayaan pelajar bertindak secara bertanggungjawab dalam situasi dunia sebenar.

Tuntutan ini sejajar dengan semangat RPTM yang menggesa universiti menilai impak sebenar pendidikan terhadap pembinaan bakat dan masyarakat. Pada tahap ini, UIAM berada pada fasa penting untuk memperluas serta memantapkan kerangka pentaksiran yang menilai hasil pembelajaran berasaskan nilai dan impak sosial secara lebih sistematik serta terukur.

 

 

Bidang penyelidikan yang digariskan dalam RPTM 2026-2035 turut menekankan keperluan kepada penyelidikan yang bertanggungjawab dan berimpak kepada masyarakat.

Epistemologi Tawhidik mengukuhkan tuntutan ini dengan meletakkan penyelidikan sebagai amanah moral dan tanggungjawab sosial, bukan sekadar aktiviti akademik yang didorong oleh keperluan penarafan, penerbitan dan sitasi.

UIAM menunjukkan peningkatan dalam penyelidikan berasaskan masalah sebenar masyarakat merangkumi pendidikan, kesihatan, kemiskinan, kelestarian alam dan kesejahteraan sosial.

Cabaran seterusnya terletak pada keupayaan mengintegrasikan penyelidikan secara strategik dengan agenda nasional dan global serta menterjemahkannya kepada dasar dan amalan yang memberi manfaat nyata kepada masyarakat.

Gagasan Kecemerlangan Ummatik juga menuntut universiti memainkan peranan aktif dalam khidmat masyarakat serta pembinaan ekosistem sosial yang adil, inklusif dan berdaya tahan.

Pengiktirafan RPTM terhadap peranan universiti sebagai pemacu perpaduan, kesaksamaan dan keterangkuman membuka ruang besar kepada UIAM untuk memperkukuh fungsi ini.

Pelbagai inisiatif khidmat masyarakat yang dilaksanakan membuktikan universiti mampu berfungsi sebagai rakan strategik masyarakat, bukan sekadar pemerhati akademik.

Keberkesanan usaha ini bagaimanapun bergantung pada tahap penginstitusian, penskalaan dan penilaian impak yang jelas agar tidak terperangkap sebagai aktiviti simbolik atau bersifat pematuhan.

Kesimpulannya, RPTM 2026-2035 membuka ruang penting untuk pendidikan tinggi beralih kepada paradigma yang lebih beradab dan berperikemanusiaan.

Epistemologi Tawhidik dan Kecemerlangan Ummatik bukanlah alternatif kepada RPTM, sebaliknya merupakan kerangka yang memperdalam makna, roh dan keberkesanan pelaksanaannya.-UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Azrul Azlen Abd. Hamid ialah Dekan Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Setiausaha Majlis Dekan Bahasa Universiti Awam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini