RPN tidak bermakna tanpa penghayatan ilmu

RPN tidak bermakna tanpa penghayatan ilmu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENELITI ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Pelancaran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035, jelas memperlihatkan iltizam kerajaan mereformasikan sistem pendidikan negara bermula daripada peringkat prasekolah sehinggalah kepada peringkat pengajian tinggi ke arah konsep pendidikan yang lebih bersifat holistik dan mampan.

Dalam suasana dunia bergerak maju dengan begitu dinamik, sistem pendidikan negara tidak boleh dibiarkan statik dengan kerangka lama. Dunia pendidikan negara memerlukan anjakan paradigma selaras dengan kemajuan ilmu dan teknologi moden. Langkah ini penting dalam usaha mengukuhkan ekosistem pendidikan negara. 

Kerangka pendidikan negara berperanan besar dalam menyediakan anak bangsa agar mampu menghadapi cabaran dunia yang semakin getir. Hal ini turut merangkumi kemungkinan berlakunya situasi luar jangka yang tidak dapat diduga, sebagai contohnya serangan pandemik Covid-19 yang memberi tamparan hebat kepada kehidupan seluruh warga dunia.

Sebagai seorang yang membesar dengan pendidikan holistik dan mampan serta tidak berpandukan peperiksaan, saya menyokong penuh usaha keras Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam menyediakan ekosistem pendidikan yang lebih efektif dan kondusif untuk semua pelajar.

Ini bukan sahaja dapat meningkatkan mutu pembelajaran tetapi juga akan memberikan pengalaman belajar yang lebih menyeluruh, segar, menarik dan efektif.

Kita harus sedar hari ini pencapaian gred yang tinggi semata-mata tidak memadai untuk seseorang itu berjaya. Kenyataannya, teori yang dihafal belum tentu dapat menyelesaikan masalah dalam dunia yang sebenarnya. 

Hidup dalam dunia tanpa sempadan dengan persaingan yang begitu sengit pada hari ini memerlukan pemikiran di luar lingkungan kebiasaan. Tiada gunanya bercakap berdegar-degar tentang idea-idea besar dan hebat jika semua itu hanyalah sekadar omong kosong.

Kita harus bijak dan tangkas berfikir, berdaya saing, memiliki jiwa yang kental serta tidak mudah berputus asa. Pada masa sama, kita juga harus mempunyai integriti tinggi, amanah, akhlak baik serta belas kasihan terhadap semua makhluk.

Maka, pendidikan mestilah merangkumi pelbagai bidang termasuk sudut unsur manusiawi dan insaniah. Ini termasuklah menanam dan memelihara kekuatan nilai, akidah dan akhlak serta memahami erti kemanusiaan. 

Apa gunanya sekadar menjadi cerdik semata-mata jika tidak berupaya membenteng diri daripada perbuatan mungkar seperti adab yang buruk, rasuah, pecah amanah dan perkara negatif lainnya.

Dalam ucapannya di majlis tersebut, Perdana Menteri beberapa kali menegaskan pendidikan harus berteras kepada dua prinsip penting iaitu berakar di bumi dan melonjak menggapai ke langit.

Menurut beliau, sistem pendidikan kita memperkatakan dengan jelas yang dididik ialah manusia. Maka setiap pelajar harus dididik dengan nilai akhlak dan budaya yang berakar ke bumi Malaysia tercinta supaya nilai murni ini kukuh tertanam dalam lubuk hati sanubari setiap daripada kita.

Ini bermakna, kita harus berdiri teguh mempertahankan sistem kenegaraan dan keperibadian bangsa dan pada masa sama kita harus berusaha keras menguasai bidang-bidang ilmu dan teknologi baharu termasuk bidang digital, kecerdasan buatan (AI), pemahaman tentang peralihan tenaga baharu, tenaga hijau dan lain-lain. 

 

 

MEMPERKASAKAN BAHASA MELAYU

Perdana Menteri turut mengingatkan tentang negara ini dibina atas kekuatan perlembagaannya yang jelas. Hal ini termasuklah kedudukan bahasa Melayu,  raja-raja Melayu dalam sistem pemerintahan negara.

Oleh kerana itu, bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa rasmi negara, maka sistem pendidikan di Malaysia mesti mengangkat dan memperkasakan kepentingan bahasa itu sebagai bahasa ilmu.

Tegas Perdana Menteri, “negara ini sudah menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Maka penguasaan bahasanya bukan sekadar menguasai, tetapi harus ditingkatkan sebagai bahasa lingua franca dan juga bahasa ilmu.” 

Beliau turut menegaskan  kini semua pelajar termasuk pelajar sekolah antarabangsa, sekolah agama rakyat, maahad tahfiz, Sistem Pendidikan Bersepadu (UEC) dan sebagainya diwajibkan mengambil bahasa Melayu dan Sejarah. Dalam masa sama, mutu pendidikan dan penguasaan bahasa Inggeris di semua peringkat akan dipertingkatkan.

Namun, perkara yang paling menarik perhatian saya ialah tentang mata pelajaran umum yang bakal diperkenalkan di seluruh universiti dalam negara, termasuklah universiti swasta.

Kata beliau, “isu perlembagaan, isu sejarah Malaysia itu dimasukkan dalam kurikulum, ia tidak terlalu menekan dan kita tetap mahu anak-anak dalam pelbagai bidang dan disiplin yang memerlukan tumpuan yang lebih.” 

Mengulas tentang kepentingan hal ini, Perdana Menteri menegaskan tidak wajar bagi seorang anak Malaysia tidak mengerti mengenai sejarah negara.

Inisiatif ini amatlah baik dan sangat dialu-alukan memandangkan pemahaman tentang Perlembagaan Persekutuan dan sejarah Malaysia ialah tonggak penting dalam menanam semangat kesetiaan kepada negara.

Namun, saya berharap agar proses pembelajaran bagi isu perlembagaan dan isu sejarah Malaysia ini diolah dengan teliti supaya pelajar bukan sekadar menghafal apa yang dipelajari tetapi dapat memahami roh Perlembagaan Persekutuan.

Kita hanya benar-benar dapat merealisasikan kerangka besar, berakar di bumi jika kita benar-benar menghayati ilmu yang dipelajari. Segala usaha baharu dalam RPN hanya sia-sia jika ibu bapa, guru dan murid hanya menekankan bab penghafalan.

Tiada gunanya menghantar anak jauh ke sekolah dan universiti jika mereka hanya ingin menghafal buku teks dan teori yang diajar guru. Kita perlu tekankan sudut penghayatan ilmu serta pembangunan insan sejahtera dalam kalangan anak kita.

Jangan kerana malas belajar dan malas mengajar, kita ambil jalan singkat semata-mata. Kita sudah pelajari daripada masalah soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi dibuat untuk murid berfikir, namun mereka akhirnya terpaksa mengikut skema jawapan ditetapkan para pemarkah.

Jika kita mampu melonjak tinggi menggapai ke awan dan pada masa sama tetap teguh berakar di bumi, kita bukan sahaja berjaya memajukan negara tetapi dapat membina ketamadunan bangsa yang hebat dan kuat.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×