PERGERAKAN Puteri UMNO tidak lantang untuk bergaduh tetapi tegas apabila prinsip dicabar. Itu tegas Ketua Pergerakan Puteri UMNO, DATUK NURUL AMAL MOHD. FAUZI.
Pendirian ini sejak dahulu dan masih relevan dalam mendepani landskap politik yang semakin rencam, bising dan sarat dengan emosi.
Katanya dalam wawancara bersama Wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR, dalam suasana politik hari ini, suara lantang sering disalahertikan sebagai keberanian, manakala ketenangan pula dianggap kelemahan. Hakikatnya, Puteri memilih jalan tengah iaitu bersuara dengan prinsip tetapi berlandaskan adab dan nilai seorang wanita.
Sebagai sayap yang menjadi tapak semaian kepimpinan wanita, Puteri tidak pernah berundur namun, pendekatan yang diambil lebih matang, terukur dan berfokus kepada kelangsungan parti, bukan sensasi jangka pendek.
Wawancara ini turut disertai jurufoto, ISKANDAR ISHAK dan jurukamera, MOHD. FIKRI FADZIL.
UTUSAN: Bagaimana sambutan dan mod perwakilan Puteri?
NURUL AMAL: Puteri sebenarnya sangat teruja. Ini perhimpunan setahun sekali, ruang untuk kami berkumpul, berjumpa dan menyatukan semangat. Sambutan sebagai pemerhati juga memberangsangkan walaupun lokasi tahun ini beralih ke dewan yang lebih kecil. Yang penting, semangat Puteri UMNO itu masih utuh.
Bagaimana dengan jumlah keahlian Puteri sekarang?
Jumlah Puteri sekitar 230,000 orang dan tahun ini ada peningkatan kira-kira 30,000 ahli. Namun, Puteri unik kerana faktor umur. Apabila mencecah 35 tahun, ahli akan berpindah secara automatik ke Wanita. Jadi ada tahun keahlian naik, ada tahun nampak menurun tetapi sebenarnya ia proses semula jadi.
Jika Datuk boleh kongsikan berkaitan Ucapan Dasar Ketua Puteri tahun ini?
Kami mahu suara wanita tidak diabaikan. Ini kerana golongan wanita merupakan majoriti pengundi tetapi perwakilan di Parlimen masih rendah. Isu wanita perlu dibawa oleh kaum wanita sendiri. Beri ruang, bukan untuk berlawan tetapi untuk memimpin bersama. Jika mahu perubahan, ia mesti dimulakan sekarang.
Puteri dilihat agak senyap dalam isu prinsip Melayu dan Islam. Mengapa?
Puteri bukan takut. Puteri memilih untuk bersuara secara berhemah. Kami wanita dan kematangan itu nilai penting. Bersikap lantang tidak semestinya kasar. Teguran boleh dibuat tanpa meninggalkan adab dan nilai seorang perempuan. Itu bukan kelemahan, itu kekuatan.
Bagaimana Puteri melihat kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan hari ini?
Dinamika politik ini bukan hanya berlaku di Malaysia tetapi fenomena global. UMNO mungkin tidak dominan tetapi prinsip UMNO tidak pernah berubah dalam perjuangan agama dan bangsa. Walau jumlah kerusi sedikit atau banyak, prinsip itu kekal.
Ada yang kata UMNO sudah tidak relevan, khususnya kepada orang muda. Pandangan Datuk?
UMNO adalah ‘kilang pemimpin’. Suka atau tidak, hakikatnya ramai pemimpin negara lahir daripada UMNO. Malah, apabila calon muda diketengahkan seperti dalam Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN), sokongan saluran muda dapat ditawan. Ini bukti UMNO masih relevan, cuma perlu strategi yang betul.
Pengundi hari ini kelihatan keliru. Apa sebenarnya yang mereka mahukan?
Betul, pengundi sendiri pun keliru. Ada yang mahu wakil rakyat lantang bersuara, ada pula yang mahu wakil rakyat bekerja secara senyap tetapi menjaga kebajikan. Sebenarnya rakyat mahu keseimbangan kerja dan suara. Politik ke hadapan perlu gabungkan idealisme dan keupayaan mentadbir.
Isu sensitif Melayu dan Islam pula bagaimana?
Dalam hal bangsa dan agama, UMNO tidak boleh diam. Tetapi ini bukan tugas UMNO sahaja. Semua parti Melayu dan Islam perlu bersama, ketepikan perbezaan politik demi kepentingan lebih besar. Ini soal maruah dan masa hadapan.
Namun ramai Melayu rasa tidak selesa kerana UMNO bersama kerajaan yang ada DAP?
Perlu jelas yang UMNO tidak bergabung dengan DAP. UMNO berada dalam Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) sebagai keperluan politik untuk kestabilan negara. UMNO sendiri berada dalam Barisan Nasional (BN). Ini koalisi, bukan penggabungan ideologi.
Di ruang awam, Puteri tetap bersuara berlandaskan prinsip UMNO yang mempertahankan bangsa dan agama. Cuma pendekatan itu tidak sentiasa lantang atau agresif. Bukan kerana tiada pendirian tetapi kerana Puteri memilih cara yang lebih beradab dan terukur.
Ada masanya suara Puteri tidak menjadi tumpuan kerana ia tidak disampaikan dengan nada kasar atau provokatif. Dalam politik hari ini, kenyataan yang tenang sering tidak diangkat, sedangkan yang keras mudah dipetik dan dimainkan. Namun Puteri tidak mahu terperangkap dalam budaya provokasi semata-mata untuk meraih perhatian.
Pendekatan berhemah ini bukan bermakna Puteri kekal pasif atau enggan berubah. Sebaliknya, ia adalah pilihan sedar untuk membawa kebaikan jangka panjang kepada parti, sambil memelihara nilai dan kematangan seorang wanita dalam berpolitik.
Bagi Puteri, ketegasan tidak perlu disampaikan dengan kemarahan dan keberanian tidak harus mengorbankan adab. Prinsip tetap dipertahankan tetapi dengan cara yang lebih membina, menghormati perbezaan dan mencerminkan peranan Puteri sebagai tapak semaian kepimpinan wanita masa hadapan.
Jadi apa yang Puteri harapkan daripada orang Melayu hari ini?
Beri kepercayaan semula kepada UMNO. Kita pernah ada kerajaan Melayu-Islam tetapi jatuh kerana perpecahan sesama sendiri. UMNO hari ini ibarat atlet yang cedera kaki patah, berbesi. Tidak boleh terus berlari pecut. Ia perlukan masa untuk pulih.
Maksudnya UMNO perlu dominan semula?
Ya. Cuba beri peluang UMNO kembali dominan dalam kerajaan. Bila UMNO kuat, orang Melayu akan rasa lebih selamat. Hari ini ramai merindui kestabilan dulu, tetapi untuk membinanya semula, kepercayaan itu mesti dipulangkan.-UTUSAN










