PERKEMBANGAN terkini menyaksikan pertempuran langsung antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran menandakan perubahan fasa daripada pencegahan kepada konfrontasi terbuka.
Jika sebelum ini ketegangan dikawal melalui saluran diplomatik dan serangan terhad, kini pertukaran peluru berpandu, serangan balas dan mobilisasi aset ketenteraan berskala besar menunjukkan konflik ini sedang memasuki dimensi lebih bahaya.
Dalam konteks ini, persoalan utama bukan lagi sama ada perang boleh tercetus tetapi sejauh mana ia boleh dikawal dan apakah kesannya kepada kestabilan serantau serta ekonomi global.
Dari sudut punca, konflik ini tidak boleh difahami semata-mata sebagai isu nuklear Iran.
Walaupun program pengayaan uranium Tehran menjadi titik pergeseran utama, namun dinamika semasa menunjukkan elemen lebih luas, termasuk usaha melemahkan struktur kuasa Iran dan membataskan jaringan sekutu serantaunya.
Serangan terhadap kepimpinan dan infrastruktur strategik membawa ciri strategi serangan melumpuhkan kepimpinan yang dalam teori ketenteraan bertujuan melumpuhkan sistem dari atas.
Namun, sejarah membuktikan pendekatan sebegini jarang boleh menjamin kejatuhan segera, sebaliknya sering membawa kepada perang berlarutan dan eskalasi mendatar yang melibatkan lebih banyak aktor.
Iran pula tidak memasuki konflik ini tanpa persediaan. Selama dua dekad, Tehran membangunkan doktrin asimetrik yang menumpukan kepada penyebaran aset, ketahanan struktur dan keupayaan balasan secara berlapis.
Kemudahan strategik dibina secara bertaburan di seluruh negara dengan memanfaatkan kelebihan muka buminya dan sebahagiannya dilindungi di bawah tanah bagi mengurangkan keberkesanan serangan udara.
Di samping itu, Iran mengekalkan rangkaian proksi serantau, sistem peluru berpandu pelbagai jarak dan penggunaan dron kos rendah yang boleh dilancar secara berkelompok.
Pendekatan ini tidak menjamin kemenangan secara konvensional tetapi bertujuan menyerap tekanan awal dan meningkatkan kos kepada pihak lawan. Selari dengan amaran awal oleh pihak Iran, sasaran serangan balas pada hari pertama pula turut menjadikan lokasi-lokasi ketenteraan AS di Asia Barat seperti di Arab Saudi, Qatar, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) , Jordan dan Bahrain sebagai sasaran serangan peluru berpandu Iran yang menjadikan situasi semasa lebih rumit dan kritikal.
Dari segi strategi, kita menyaksikan pertembungan antara dominasi konvensional dan asimetri. AS dan Israel memiliki kelebihan udara, sistem pertahanan berlapis serta keupayaan serangan jarak jauh berketepatan tinggi.
Namun, konflik moden tidak lagi ditentukan teknologi semata-mata tetapi ketahanan industri dan stok peluru.
Pengalaman perang Ukraine menunjukkan kadar penggunaan peluru berpandu dan sistem pemintas boleh mengatasi kemampuan kadar pengeluaran tahunan sesebuah negara.
Justeru, konflik ini berpotensi menjadi perang ketahanan dari sudut logistik, yang mana siapa yang mampu bertahan lebih lama akan memperoleh kelebihan relatif.
Risiko eskalasi pula kelihatan semakin kompleks. Apabila kedua-dua pihak melihat ancaman sebagai eksistensial, dengan ruang kompromi yang semakin mengecil. Iran mungkin memperluas medan peperangan melalui Hezbollah di Lubnan, militan Iraq atau Houthi di Yaman.
Hari pertama perang menunjukkan Israel melihat peluang memusnahkan infrastruktur strategik Iran sebagai keutamaan. Satu kesilapan tafsir atau insiden kecil boleh mencetuskan rantaian tindak balas yang sukar untuk dihentikan.
Sejarah Eropah pada 1914 mengajar perang sering bermula dengan jangkaan singkat tetapi akhirnya berkembang melangkaui kawalan.
Sekiranya objektif asal AS dan Israel gagal, sama ada dalam bentuk kegagalan melemahkan struktur kuasa Iran atau kegagalan memaksa konsesi strategik, menyebabkan implikasi domestik boleh menjadi lebih signifikan.
Di Washington, perang yang berlarutan tanpa hasil jelas akan berpotensi menjejaskan legitimasi kepimpinan Donald Trump, khususnya dalam suasana polarisasi dalaman dan tekanan ekonomi.
Di Israel pula, kegagalan mencapai objektif strategik selepas kos ketenteraan dan ekonomi yang tinggi boleh mencetuskan tekanan politik terhadap kerajaan pimpinan Benjamin Netanyahu.

KESAN PEPERANGAN
Sejarah konflik di Asia Barat menunjukkan keputusan di medan sering mempengaruhi kestabilan politik domestik.
Implikasi ekonomi global tidak kurang serius. Hampir 20 peratus perdagangan minyak dunia melalui Selat Hormuz.
Gangguan sementara sahaja boleh melonjakkan harga tenaga dan meningkatkan kos insurans perkapalan. Jika infrastruktur tenaga Teluk menjadi sasaran, kejutan bekalan akan memberi kesan langsung kepada pasaran Asia, termasuk Malaysia.
Sebagai ekonomi terbuka yang bergantung kepada perdagangan dan kestabilan rantaian bekalan, Malaysia tidak kebal daripada gelombang ketidaktentuan ini.
Dalam konteks dasar luar, Malaysia secara konsisten menjunjung prinsip kedaulatan, menolak tindakan unilateral dan menyokong penyelesaian melalui diplomasi pelbagai hala.
Pendekatan ini perlu dikekalkan. Namun situasi semasa ini menuntut tindakan yang lebih bijaksana.
Pertama, Wisma Putra perlu memperkukuh diplomasi seimbang, mengelakkan retorik yang boleh menjejaskan hubungan dengan mana-mana kuasa besar, sambil terus menyokong penyelesaian aman melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan kerangka serantau yang sesuai.
Kedua, kerajaan perlu menyediakan pelan kontingensi ekonomi yang jelas. Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) harus menilai kesan lonjakan harga minyak, gangguan logistik serta potensi tekanan inflasi.
Kepelbagaian sumber tenaga dan pengukuhan rizab strategik petroleum perlu dipercepatkan. Dalam jangka sederhana, Malaysia wajar mempercepat peralihan tenaga boleh diperbaharui bagi mengurangkan kerentanan terhadap kejutan geopolitik.
Ketiga, keselamatan rakyat Malaysia di Asia Barat mesti menjadi keutamaan. Mekanisme pemantauan dan pelan pemindahan kecemasan perlu dikemas kini secara berkala.
Pada masa sama, kerjasama pertahanan dan keselamatan maritim serantau perlu diperkukuh bagi memastikan kestabilan laluan perdagangan yang kritikal kepada ekonomi negara.
Akhirnya, Malaysia perlu bertindak bijak dalam dunia multipolar. Dalam persekitaran yang semakin digerakkan persaingan kuasa besar, menyebabkan kebijaksanaan bukan terletak pada memilih blok tetapi memastikan kepentingan nasional sentiasa terpelihara. –UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Bakri Mat ialah Felo Penyelidik Kanan, Institut Asia bagi Hal Ehwal dan Diplomasi Antarabangsa (AIIAD), Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (UUM-COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).










