PRU16: Ujian kejujuran perpaduan Melayu

PRU16: Ujian kejujuran perpaduan Melayu

KONVENSYEN Khas Pemuda UMNO bertema 'Hala Tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan pada 3 Januari, lalu  di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGANJURAN Konvensyen Khas Pemuda UMNO bertema ‘Hala Tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan pada 3 Januari, lalu  di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menarik perhatian para pemerhati politik negara.  Konvensyen tersebut mengangkat semula persoalan besar dalam kehangatan kehadiran sekitar 2,000 orang,  adakah UMNO perlu kekal dalam Kerajaan Perpaduan atau keluar dan membina semula kerangka perpaduan baharu bersama Pas.

Seruan Ketua Pemuda UMNO agar UMNO menarik diri daripada kerajaan bukan muncul dalam vakum sebaliknya bersambung dengan tekanan akar umbi dan juga denyut wacana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang sejak beberapa bulan lalu mendesak penyatuan Melayu–Islam dihidupkan semula. Semua pihak yang citakan perpaduan Melayu terutamanya mendesak agar UMNO menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN) atau menjalin semula hubungan dengan Perikatan Nasional (PN).

Berdasarkan kepada rekod semasa, pendirian Pas dilihat tidak berubah dengan mereka sentiasa menyeru kepada perpaduan dan kesatuan. Malahan Presiden Pas dalam kenyataannya sehari sebelum konvensyen pemuda masih lagi tidak berubah, iaitu mengekalkan pendirian terbuka, kesatuan itu mesti melangkaui satu parti dengan merentas parti, NGO dan tokoh masyarakat.

Bahkan komitmen Pas untuk bersatu ini ditegaskan oleh Ketua Pengarah Pilihan Rayanya iaitu pintu bekerjasama dan bersatu ini sentiasa terbuka kepada ahli UMNO yang mahu bersama perjuangan. Namun persoalan kritikalnya, adakah ini benar-benar ‘ambil yang baharu’ (kesatuan berinstitusi dan berdisiplin), atau sekadar mengulang ‘yang lama’ (tawar-menawar kuasa tanpa keputusan tuntas)?

Kepentingan perpaduan

Perpaduan yang sedang dibahaskan ini bukan sekadar sebagai taktikal menjelang pilihan raya dan jangka masa pendek. Bahkan ia harus menjangkau lebih jauh lagi, dengan kestabilan negara dan keupayaan kerajaan menjaga kerangka Perlembagaan yang menjadi tiang seri hubungan kaum menjadi keutamaan.

Sejarah terpahat, PRU15 membuktikan realiti baharu politik negara, apabila tiada pihak yang menang secara mutlak. Pakatan Harapan (PH) menang 81 kerusi manakala PN (73) dan Barisan Nasional (BN) (30). Situasi ‘parlimen tergantung’ ini mengajar satu hakikat yang mana gabungan  lemah struktur dan disiplin akan mudah terheret oleh krisis dalaman, lalu mengganggu tadbir urus negara.

Dalam konteks Melayu pula, seruan perpaduan lahir daripada kebimbangan sebahagian besar masyarakat Melayu bahawa beberapa perkara status quo semakin kerap diuji melibatkan sensitiviti Islam, institusi raja-raja, dan kedudukan Melayu-bumiputera dalam ekosistem kebangsaan. Ketua Pemuda UMNO sendiri mengangkat isu ‘garis merah’ yang didakwa berulang kali dilanggar, lalu menuntut UMNO menilai semula kedudukannya demi maruah bangsa dan kepentingan Islam serta institusi raja.

Dari sudut sejarah politik, Malaysia relatif stabil apabila kelompok majoriti yang memerintah memiliki mandat yang jelas, disiplin yang kuat, serta kesediaan melindungi kepentingan semua kaum tanpa membiarkan mana-mana pihak menekan yang lain. Kekuatan majoriti bukan lesen menindas sebaliknya boleh menjadi penstabil apabila disertai tadbir urus adil, prinsip kebertanggungjawaban dan kesepakatan nasional yang menghormati perlembagaan.

UMNO terdesak

Ketika UMNO dilihat berusaha untuk bersama Pas dalam kerangka kesatuan Melayu, UMNO dilihat bagi sebahagian orang Melayu agak terdesak kembali mengangkat agenda kesatuan Melayu. Agenda ini bukan semata-mata kerana idealisme tetapi kerana realiti kelangsungan hidup politiknya semakin menekan. Terdapat kajian yang menunjukkan graf sokongan Melayu terhadap BN menjunam secara drastik, dengan faktor utama ialah persepsi  UMNO-BN gagal mempertahankan prinsip perjuangan asal Agama, Bangsa, Tanah Air”(ABATA) apabila bekerjasama dengan DAP.

Kejatuhan ini bukan sekadar soal sentimen tetapi krisis kepercayaan akar umbi menilai UMNO melanggar janji dan slogan yang pernah menjadi identiti sendiri, termasuk ‘No Anwar, No DAP’, lalu memupuk ketidakpercayaan terhadap integriti dan kesetiaan politik UMNO. Lebih kritikal, ia turut mengisyaratkan hanya sekitar 30 peratus kekal sokongan terhadap UMNO diperolehi oleh ahli tegar, manakala sokongan Melayu terhadap UMNO sendiri merosot kepada bawah 25 peratus.

Dalam keadaan begini, kekal dalam Kerajaan Perpaduan tanpa pelan pemulihan imej yang meyakinkan hanya mempercepat hakisan. Justeru, dorongan keluar kerajaan dan mencari blok kesatuan Melayu ditafsirkan kebanyakan orang Melayu sebagai strategi survival bukan sekadar pilihan taktikal.

Jujur dengan perpaduan Melayu

Justeru, persoalan utama untuk pembentukan MN 2.0 bukan siapa paling lantang di pentas tetapi siapa paling jujur ketika berdepan kos politik sebenar. Di sinilah UMNO dilihat berada dalam dilema yang memakan kepercayaan, mahu kekal dalam Kerajaan Perpaduan untuk memelihara akses kuasa tetapi pada masa sama mengangkat wacana kesatuan Melayu seolah-olah bersedia meninggalkan kerajaan.

Dalam bacaan pengkritik, ini kelihatan seperti strategi ‘tarik tali’ tidak mahu berada di luar kuasa sebelum pilihan raya benar-benar hampir, namun mahu kembali bersatu apabila Parlimen dibubar kerana sedar risiko kehilangan kerusi jika bertanding tanpa gabungan besar lebih-lebih lagi apabila pertandingan banyak penjuru boleh memecahkan undi dan membuka ruang kepada parti-parti lain, termasuk komponen kerajaan semasa, merebut kawasan yang dahulu milik UMNO.

Pada pihak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula, ketidaktentuan juga wujud ada rasa curiga dan berhati-hati terhadap UMNO kerana sejarah persaingan kerusi dan ketidakseimbangan kuasa dalam gabungan Melayu, malah ‘cita-cita kepimpinan tertinggi’ dalam blok ini boleh menjadi isu senyap yang membekukan rundingan. Natijahnya, selagi semua pihak enggan membuang prasangka, enggan mendahulukan disiplin dan masih membaca perpaduan sebagai ‘alat runding kuasa’, kesatuan ini mudah berakhir sebagai slogan, bukan institusi.

Bukan hak eksklusif

MN pernah menjadi simbol besar apabila Piagam MN dimeterai UMNO–Pas pada 14 September 2019, membawa agenda penyatuan ummah dan kestabilan negara majmuk. Tetapi sejarah MN juga memberi amaran, kesatuan yang hanya bergantung pada semangat tanpa mekanisme membuat keputusan, pembahagian kerusi yang adil dan pengurusan konflik yang berinstitusi akan menemui kegagalan.

Sebab itu, apabila Pas menyahut seruan UMNO untuk bermuafakat, ia mendefinisikannya dengan yang lebih luas, iaitu melibatkan Bersatu, UMNO, NGO, dan parti bukan Melayu yang tidak ekstrem. Ini merupakan satu ujian untuk melihat kematangan baharu. Perpaduan Melayu harus diperkukuhkan sebagai teras namun dalam masa yang sama ia tidak boleh meminggirkan realiti Malaysia yang majmuk.

Oleh itu, gabungan yang mahu memerintah bukan sekadar memenangi undi Melayu tetapi juga perlu meyakinkan rakyat pelbagai kaum bahawa kestabilan yang dibina tidak menghasilkan penindasan. Di sinilah kesatuan perlu ‘bukan eksklusif’ pada makna yang tepat, teras Melayu–Islam yang jelas, namun dengan jambatan politik yang tersusun, bahasa dasar yang boleh diterima dan keutamaan rakyat yang merentas identiti, kos sara hidup, peluang kerja, pendidikan, keselamatan serta  integriti pentadbiran.

Akhirnya, ‘tinggalkan yang lama’ mesti bermaksud meninggalkan politik separuh hati dan permainan persepsi yang memakan keyakinan rakyat. Jika UMNO benar-benar merasakan dirinya semakin diperkecilkan dalam Kerajaan Perpaduan termasuk persepsi sebahagian akar umbi bahawa DAP sering memandang rendah UMNO, maka UMNO perlu bertindak sekarang. Jika tidak bertindak, konflik UMNO–DAP yang berulang-ulang berisiko ditafsir rakyat sebagai ‘sandiwara politik’ untuk memujuk semula penyokong teras masing-masing yang semakin hilang keyakinan.

Pas serta Bersatu pula harus berlapang dada dalam apa jua isu yang berbangkit selagi mana ia memberi manfaat untuk Melayu. Jika perpaduan Melayu benar-benar hendak dibina untuk kestabilan negara, ia mesti dibina atas kejujuran, disiplin gabungan, dan keberanian membayar harga politik, barulah ‘yang baharu’ itu bukan sekadar slogan tetapi arah baharu yang rakyat boleh percaya.

DR. Mukhtaruddin Musa ialah Ketua Penyelidik (Governans & Polisi), Yayasan Strategik Lestari dan pemerhati politik semasa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN