Projek gagal kerana pengurusan kontraktor

Projek gagal kerana pengurusan kontraktor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETER Drucker yang dikenali sebagai “Bapa Pengurusan Moden” berkata “Management is doing things right, leadership is doing the right things”. Ini bermakna pengurusan dan kepimpinan mempunyai hubungkait yang sangat kuat dalam menentukan kejayaan sesuatu projek.

Buku terlaris beliau diterbitkan pada 1966 bertajuk The Effective Executive turut menyentuh tentang kepentingan disiplin di dalam pengurusan. Menurutnya, penghasilan yang baik bermula dengan kombinasi pengurusan yang tersusun, strategi yang berkesan dan kepimpinan yang cekap.

Di Kementerian Kerja Raya, terdapat projek-projek yang agak lambat disiapkan, malah ada yang dibatalkan pembinaannya. Walaupun ‘projek sakit’ ini peratusannya agak kecil iaitu hanya 3.6 peratus pada 2025 tetapi isu kelewatan memberikan imej yang tidak baik kerana mengganggu keselesaan rakyat dan merugikan wang negara. Turut dinyatakan 75 peratus daripada kegagalan menguruskan projek adalah disebabkan faktor pengurusan kontraktor, manakala bakinya disebabkan isu pengambilan tanah dan utiliti. Akibat daripada ini, ramai kontraktor telah memohon Extension of Time (EoT).

Sebenarnya peratus kegagalan ini boleh dikurangkan lagi sekiranya kontraktor mempunyai sistem pengurusan organisasi dan kewangan yang baik untuk mengusahakan perkembangan projek yang berstatus Ahead of Time (AoT).

Pengalaman saya sejak 2023 di kementerian ini, ingin mencadangkan beberapa kaedah pengurusan ABCDE dan pendekatan 5K sebagai usaha untuk meningkatkan kepantasan menyelesaikan projek, pengekalan produktiviti dan kualiti.

Kaedah ABCDE
Kaedah ABCDE ini melibatkan komponen pengurusan organisasi seperti akrab, berpadu, cekap, disiplin dan etika. Organisasi yang mantap hasil daripada hubungan yang akrab dalam kalangan kakitangan pejabat.

Hubungan ini membentuk pasukan saling memahami dan bertindak mengikut arahan yang diberikan oleh ketua. Kebijaksanaan ketua organisasi dalam menentukan hala tuju sangat penting.

Kebijaksanaan ini melalui pengetahuan dan kemahiran dari pengalaman bekerja bertahun-tahun. Pekerja juga harus bijaksana dalam melaksanakan arahan yang diberi. Kemampuan untuk berfikir, merancang dan melaksanakan tugas.

Kecekapan melaksanakan tugas boleh mengurangkan kesilapan. Ini secara langsung boleh menjimatkan masa dan peruntukan kewangan yang disediakan. Keazaman dan kesungguhan dalam melaksanakan tugasan dianggap sebagai dedikasi. Setiap pekerja harus mempunyai komitmen yang tinggi.

Hadir awal ke pejabat, tidak ponteng dan menepati masa serta tidak bertangguh membuat kerja dianggap dedikasi yang baik. Proses bekerja oleh pekerja yang dedikasi akan menghasilkan produk dan hasil kerja yang efektif.

Ini akan memberikan pulangan yang memberikan keuntungan kepada semua pihak, disamping mengurangkan masalah berbangkit yang berkaitan dengan kos dan kualiti.

Kaedah 5K
Terdapat beberapa komponen yang menyokong 5K ini seperti kesejahteraan rakyat, kepantasan tindakan, kos yang munasabah, kualiti yang terjamin dan kebitaraan inovasi.

Untuk melaksanakan sesuatu projek memerlukan kombinasi perancangan yang sangat strategik kerana projek yang dibuat adalah untuk memenuhi keperluan dan kesejahteraan rakyat.

Banyak projek infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik hanya akan berjaya jika dirancang dengan teratur. Malah di sesetengah negara dilihat maju apabila kesempurnaan jalan raya, akses kepada bekalan dan elektrik dapat dicapai dengan mudah oleh rakyat.

Di Malaysia, aduan masalah jalan raya boleh disalurkan melalui aplikasi MyJalan yang berkonsepkan wrong door policy. Seribu satu masalah yang berkaitan jalan berlubang, cerun runtuh, lampu tidak berfungsi kesemuanya boleh dilaporkan oleh aplikasi ini.

Kepantasan tindakan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dapat dilihat apabila kerja-kerja pembaikan diagihkan dengan segera kepada pihak yang berkaitan.

Keberkesanan aplikasi ini dapat dilihat dengan jelas pada tempoh 1 Ogos 2023 hingga 30 September 2025 apabila sebanyak 43,978 aduan berjaya diselesaikan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 13,451 kes diselesaikan oleh JKR dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) manakala selebihnya oleh majlis perbandaran dan sebagainya.

Dalam pembinaan, kos memainkan peranan dan kontraktor yang mengambil bahagian memerlukan keuntungan untuk syarikat.

Bagaimanapun, pemilik projek ataupun pihak kementerian perlu memastikan penilaian kewangan yang tepat supaya tidak melakukan pembaziran dengan membayar pada harga yang sangat tinggi dalam melakukan pembinaan. Ini boleh dilakukan dengan membuat perbandingan harga dan perincian dari sudut reka bentuk serta penggunaan teknologi terkini seperti Building Information Modelling (BIM).

Hasil pembinaan memerlukan kualiti yang tinggi untuk memastikan tiada kerosakan berlaku dan selamat digunakan. Sebarang proses pembaikan akibat kerosakan memerlukan kos tambahan.

Dalam keadaan tertentu projek yang telah siap dibina tidak dapat digunakan. Malah, ada yang perlu dirobohkan kerana tidak selamat digunakan. Jaminan kualiti bukan sahaja dilihat pada peringkat akhir pembinaan tetapi kualiti kerja perlu semasa peringkat awalan dan pertengahan projek.

Dalam sektor pembinaan, teknologi memainkan peranan dalam memudahkan kerja dan meningkatkan kualiti. Semua pemegang taruh seharusnya berterusan melakukan inovasi supaya dapat membantu proses pembinaan atau produk menjadi lebih cekap dan efektif.

Kebitaraan inovasi melalui reka bentuk Smart Traffic Light dan Speed Sign Radar adalah antara inovasi dari JKR yang boleh digunakan untuk membantu kelancaran lalu lintas dan keselamatan pemandu di jalan raya.

Untuk memudahkan proses pemilihan tender, hasil inovasi JKR e-Tender System (JET) dilihat sangat membantu mempercepatkan proses.

Kejayaan projek-projek JKR juga mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa khususnya dalam segmen pembinaan jalan raya dapat dilihat dengan jelas apabila pembinaan Jambatan Bagan Datuk di Perak Tengah memenangi anugerah Projek Terbaik MINO (Mino Best Project Award) sempena Persidangan Ke-16 Persatuan Kejuruteraan Jalan Asia dan Australasia (REAAA) di Goyang, Republik Korea pada 2025.

Malaysia juga dilihat tidak kekurangan bakat dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di peringkat ASEAN dan Asia.

Pada Ogos lalu, kontinjen negara memenangi 13 pingat emas dan menduduki tempat pertama di Worldskills ASEAN 2025. Di peringkat Asia pula Malaysia menduduki tempat ketiga daripada 35 negara yang bertanding.

Pertandingan kemahiran TVET yang diadakan di Taipei, Taiwan pada November tahun lalu telah memberikan kontinjen negara lima pingat emas, lima perak, tiga gangsa dan empat lagi pingat Medallions of Excellence.

Kejayaan ini membuktikan negara mempunyai bakat-bakat yang luar biasa sebagai peneraju bidang pembinaan dan TVET di masa hadapan.

Umumnya, pembinaan yang berkualiti dan berdaya maju memerlukan konsep pengurusan yang baik dan berdisiplin.

Penambahan pendekatan berteraskan tanggungjawab sosial yang tinggi, berkemahiran dan kemampuan berinovasi menghasilkan teknologi yang bersesuaian dilihat sebagai kelebihan di samping kesediaan melahirkan bakat-bakat baharu yang boleh meningkatkan kualiti pembinaan negara di masa hadapan. – UTUSAN

PENULIS adalah Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Pontian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN