DARI sudut sejarah negara ini dan juga sejarah rantau Asia Tenggara, bangsa Melayu telah lama dikenali sebagai bangsa teras yang membina peradaban unggul di wilayah geopolitik yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai Tanah Melayu, sebelum dinamakan Malaysia.
Pembentukan Persekutuan Malaysia pada 1963 tidak pernah menafikan hakikat bangsa Melayu ialah teras demografi dan budaya negara ini. Ia bukan sekadar naratif emosi sebaliknya fakta yang berakar daripada sejarah, warisan sosiobudaya serta struktur sosiopolitik negara.
Hakikat ini dimaktubkan dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan melalui beberapa peruntukan penting yang menggambarkan warisan dan kedudukan Melayu sebagai bangsa teras.
Antaranya ialah kedudukan raja-raja Melayu, hak-hak istimewa bumiputera, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Malah, takrif siapa itu orang Melayu diperincikan dalam Perkara 160 (2), manakala konsep bumiputera yang merangkumi orang Melayu, Orang Asli serta pribumi Sabah dan Sarawak difahami melalui Perkara 153.
Kesemua peruntukan ini bukan sekadar hiasan undang-undang tetapi merupakan fasal-fasal penting yang mencerminkan sejarah keberadaan dan peradaban bangsa Melayu serta kaum bumiputera di tanah air ini. Ia diterima tanpa keraguan oleh penggubal Perlembagaan ketika negara menuju kemerdekaan dan menjadi sebahagian daripada apa yang sering dirujuk sebagai kontrak sosial.
Kaum-kaum bukan Melayu pula diberikan kewarganegaraan sebagai tanda penerimaan dan kepercayaan, demi membina sebuah negara yang aman dan harmoni.
Dalam kerangka sejarah dunia dan Asia Tenggara, ketamadunan serta ketuanan politik Melayu turut diiktiraf oleh para sarjana. Kaum Cina dan India yang dibawa masuk secara besar-besaran oleh British bagi memenuhi keperluan ekonomi penjajah kemudiannya diberikan hak untuk hidup dan membina masa hadapan di negara ini melalui pemberian status kewarganegaraan.
Toleransi bangsa Melayu terhadap mereka sangat tinggi, sehingga membolehkan kaum-kaum ini membina kehidupan yang stabil dan berjaya. Dalam banyak aspek, kedudukan ekonomi dan sosial mereka bahkan lebih baik berbanding sebahagian besar orang Melayu sendiri.
Namun, landskap ini mula berubah sejak sedekad dua kebelakangan ini, khususnya selepas perubahan politik yang menyaksikan kuasa tidak lagi didominasi sepenuhnya oleh kepemimpinan Melayu di peringkat Persekutuan dan beberapa negeri.
Dalam tempoh ini, wujud dakwaan pelbagai cubaan untuk menggugat fasal-fasal penting Perlembagaan yang berkaitan dengan elemen kemelayuan. Perkara-perkara yang menyentuh identiti Melayu dan Islam semakin kurang diberi penekanan, malah ada yang dipersoalkan secara terbuka.
Fenomena ini berkait rapat dengan agenda ‘Malaysian Malaysia’ yang menyelinap secara halus dalam struktur pemerintahan hari ini, khususnya dengan penglibatan DAP dalam kerajaan.
Umum mengetahui DAP merupakan parti yang konsisten memperjuangkan konsep tersebut. Kedudukan kerusi Parlimen DAP yang besar dalam gabungan kerajaan memberi ruang kepada kehendak mereka dilaksanakan secara tersirat, tanpa perlu meminda Perlembagaan. Akibatnya, elemen-elemen yang melibatkan kedudukan Melayu dan Islam didakwa mula dilemahkan melalui dasar-dasar yang bersifat liberal dan berorientasikan kesamarataan mutlak.
Suara-suara yang mempertikaikan hak istimewa Melayu-bumiputera dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan semakin lantang. Tuntutan kesamarataan disertai penolakan terhadap konsep keistimewaan Melayu dan peranan Islam dalam struktur negara. Dalam masa yang sama, muncul tuntutan terhadap kuasa politik yang lebih besar, keinginan untuk menerajui kepemimpinan negara serta usaha meletakkan sekolah aliran Cina setaraf dengan sekolah kebangsaan, bersama pelbagai agenda lain yang berasaskan kepentingan kaum.

Serangan psikologi daripada kelompok politik yang anti-Melayu-Islam, ditambah sokongan segelintir Melayu liberal, telah memberi kesan mendalam terhadap keyakinan dan jati diri orang Melayu.
Mereka diasak dengan gambaran kepemimpinan Melayu bersifat korup dan gagal, sehingga akhirnya kuasa politik Melayu melemah. Apabila kuasa beralih, isu-isu berkaitan bangsa Melayu semakin terpinggir. Walaupun terdapat janji untuk terus menjaga hak orang Melayu, ia sering kedengaran sekadar ‘manis di bibir’.
Proklamasi Orang Melayu yang pernah dicetuskan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mempertahankan nasib bangsa Melayu juga tidak diberi ruang sewajarnya. Dalam masa sama, larangan membangkitkan isu bangsa, agama dan raja (3R) yang kabur tafsirannya menyebabkan sesiapa yang menyuarakan kepentingan Melayu dan Islam mudah dituduh memainkan isu sensitif.
Sebelum tumbangnya ketuanan politik Melayu pimpinan UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), pembelaan terhadap nasib bangsa Melayu dilaksanakan secara nyata melalui dasar-dasar perlindungan yang konkrit.
Setiap pembentangan belanjawan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) menzahirkan komitmen memperkasa kedudukan Melayu-bumiputera secara strategik dan berpijak di bumi nyata.
Semua Perdana Menteri daripada UMNO memberikan tumpuan terhadap agenda mengangkat martabat bangsa Melayu tanpa meminggirkan kaum lain.
Namun, di bawah kerajaan baharu, agenda ini semakin kabur dan mengecil. Peruntukan dan perhatian terhadap kedudukan Melayu-bumiputera tidak lagi menyerlah. Hak-hak ini seolah dicairkan melalui dasar yang condong kepada liberalisasi dan kesamarataan mutlak. Negara ini seakan-akan kehilangan teras ketuanan Melayu, malah menyebut istilah ‘ketuanan Melayu-Islam’ sendiri menjadi sesuatu yang dianggap menjengkelkan.
Pemimpin Melayu seharusnya sedar amanah memelihara bangsa, agama dan tanah air adalah tanggungjawab besar. Tanpa kuasa politik di tanah air sendiri, bagaimana martabat bangsa mahu diangkat dan kedaulatan Islam ditegakkan? Jika kedudukan Melayu semakin lemah, kita akan mudah dicatur oleh pihak lain yang sememangnya mempunyai agenda tersendiri.
Justeru, tapak penyatuan seperti Muafakat Nasional (MN) atau sekurang-kurangnya Perikatan Nasional (PN) tidak wajar diabaikan. Ia boleh menjadi landasan untuk mengembalikan kekuatan politik Melayu-Islam, sekali gus menjadi tonggak kestabilan negara serta kesepaduan hidup bermasyarakat dan bernegara.-UTUSAN
PENULIS adalah penganalisis sosiopolitik bebas.










