KEGIATAN politik di negara kita umumnya dijalankan melalui politik kepartian yang selaras dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin kebebasan untuk bercakap, berhimpun dan berpersatuan.
Malah juga sejajar dengan semangat demokrasi yang diamalkan. Namun, setiap aktiviti politik mesti mematuhi semangat perlembagaan dan tidak boleh menggunakan cara yang bercanggah dengan prinsip demokrasi.
Perkara 149 (1) dengan jelas menentang sebarang tindakan subversif atau perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam, sama ada dilakukan oleh kumpulan dalam atau luar Persekutuan.
Oleh itu, parti politik tidak sepatutnya menggunakan kaedah yang boleh mengancam keselamatan awam atau negara.
Malah, perlembagaan parti juga tidak sepatutnya memuatkan agenda perjuangan yang bertentangan dengan Perlembagaan. Jika berlaku, wajar bagi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk menegur atau membatalkan pendaftaran parti tersebut kerana tiada perlembagaan parti boleh mengatasi kedudukan Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan menegaskan Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara, menjadi asas kepada semua undang-undang lain. Tiada mana-mana undang-undang lain yang boleh mengatasinya. Justeru, ahli politik perlu memahami setiap aktiviti berpolitik di negara ini harus berpandukan Perlembagaan Persekutuan.
Parti politik yang memenangi pilihan raya membentuk kerajaan untuk melaksanakan mandat yang diberikan rakyat. Perlembagaan menetapkan bagaimana kerajaan dibentuk, termasuk pembahagian kuasa antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, kerajaan tempatan serta pemisahan kuasa antara tiga badan utama negara iaitu eksekutif, legislatif, dan kehakiman.
Dengan itu, Perlembagaan menjadi sumber kuasa dan panduan untuk memastikan pemerintahan dan pentadbiran berjalan lancar serta menjadi rujukan dalam menyelesaikan pertikaian antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.
Secara lebih luas, Perlembagaan negara menggariskan hak, kuasa, tanggungjawab dan tatacara bagi menjamin kestabilan kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Ia menjadi asas dan tonggak penting dalam mengekalkan kestabilan politik, keharmonian sosial serta kelangsungan negara-bangsa dan kesetiaan warganegara.
Selain itu, terdapat pelbagai undang-undang lain yang digubal dan dikuatkuasakan oleh badan berautoriti untuk memastikan rule of law ditegakkan secara adil dan telus.
Parlimen Malaysia, sebagai badan perundangan tertinggi (Perkara 66), bertanggungjawab menggubal undang-undang. Wakil rakyat yang dipilih menjadi ahli Dewan Rakyat atau ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memainkan peranan dalam membahas, meluluskan dan menegakkan undang-undang tersebut.
Undang-undang yang digubal Parlimen dikenali sebagai akta, manakala undang-undang negeri dikenali sebagai enakmen, yang mesti selaras dengan Perlembagaan Persekutuan (Perkara 75).

Mahkamah pula wujud untuk memastikan perlembagaan dan undang-undang ditegakkan dengan adil, mentafsir peruntukan undang-undang secara jelas dan menjadi pelindung terhadap sebarang campur tangan politik atau eksekutif. Ini memastikan keadilan tidak hilang dan institusi kehakiman kekal bebas.
Perlembagaan negara juga mendukung falsafah tertentu yang selaras dengan ideologi negara iaitu demokrasi berparlimen dan sistem raja berperlembagaan. Ahli politik perlu menghormati Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.
Walaupun baginda tidak boleh berpolitik atau digunakan untuk tujuan politik sempit oleh mana-mana pihak, namun mempunyai hak-hak keistimewaan tertentu yang mesti dihormati.
Baginda mempunyai prerogatif atau budi bicara tertentu yang mesti dihormati dan dilaksanakan seperti titah adendum berkaitan dengan kuasa pengampunan.
Dalam keadaan berlakunya kekacauan politik negara yang menuju ke arah anarkisme maka baginda boleh menggunakan kuasa untuk mengisytiharkan darurat. Begitu juga sekiranya kerajaan yang memerintah hilang kepercayaan sehingga politik dan pentadbiran negara menjadi kucar kacir maka baginda boleh membubarkan Parlimen untuk mengadakan plihan raya bagi pembentukan kerajaan lebih stabil.
Selain itu, politik negara ini juga harus mengambil kira semangat Perlembagaan Persekutuan yang mendukung semangat ‘kontrak sosial’ berasaskan warisan sejarah negara seperti kedudukan raja-raja Melayu, agama Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak-hak istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera Sabah dan Sarawak.
Aktiviti politik juga harus mendukung prinsip Rukun Negara yang bertujuan membina masyarakat yang stabil, harmoni, bersatu, progresif dan maju.
Kesimpulannya, ahli politik dan rakyat perlu memiliki kefahaman asas tentang kaitan politik dengan Perlembagaan negara. Parti politik yang memerintah mesti menghormati nilai dan falsafah yang terkandung dalam Perlembagaan.
Sebarang usaha untuk mencabuli semangat perlembagaan, sama ada secara rahsia atau terbuka, boleh dianggap sebagai derhaka atau pengkhianatan terhadap Yang di-Pertuan Agong.-UTUSAN
PENULIS ialah Penganalisis Sosiopolitik bebas.










