TAHUN Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) bukan sekadar kempen promosi pelancongan tetapi merupakan peluang strategik untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara, khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
TMM 2026 menyasarkan 47 juta pelancong dan menjana hasil pelancongan bernilai RM329 bilion. Sektor pelancongan menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara dengan 15.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2024.
TMM 2026 perlu dimanfaatkan PMKS tempatan bagi meningkatkan pendapatan, mengembangkan pasaran dan melonjakkan daya saing.
PMKS membentuk lebih 97 peratus daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia dan menyumbang secara signifikan kepada guna tenaga negara.
Justeru, kejayaan atau kegagalan TMM 2026 dalam memberi impak ekonomi sangat bergantung kepada tahap kesiapsiagaan dan keupayaan PMKS untuk menyertai rantaian nilai industri pelancongan secara aktif dan berimpak tinggi.
Setiap kedatangan pelancong bukan sahaja memberi manfaat kepada hotel dan syarikat penerbangan tetapi turut membuka peluang PMKS dalam sektor makanan dan minuman, kraftangan, pengangkutan, perkhidmatan pelancongan, inap desa, acara kebudayaan, fesyen, kosmetik semula jadi, produk halal dan ekonomi kreatif.

Namun, realitinya masih banyak PMKS terlibat secara pasif dan berada di peringkat nilai rendah, seperti hanya bergantung kepada jualan bermusim, margin kecil dan persaingan harga.
Ini bermakna TMM 2026 seharusnya menjadi pemangkin perubahan minda PMKS dengan mencipta pengalaman pelancongan bernilai tinggi.
Trend pelancongan global menunjukkan peralihan daripada pembelian produk fizikal kepada pencarian pengalaman autentik. Pelancong lebih tertarik kepada naratif budaya, komuniti setempat, kelestarian alam dan pengalaman unik yang tidak boleh diperoleh di negara lain.
Sebagai contoh, PMKS dalam sektor makanan tradisional tidak seharusnya hanya menjual produk siap tetapi boleh membangunkan pakej pengalaman seperti demonstrasi memasak atau integrasi dengan pelancongan desa.
Begitu juga pengusaha inap desa yang boleh mempelbagaikan tawaran melalui aktiviti komuniti, agropelancongan dan ekopelancongan.
Pendekatan berasaskan pengalaman ini bukan sahaja meningkatkan nilai jualan, malah membolehkan PMKS mengenakan harga premium tanpa bergantung kepada persaingan harga semata-mata.
Dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), TMM 2026 tidak boleh dipisahkan daripada agenda pendigitalan.
Pelancong antarabangsa hari ini membuat keputusan berdasarkan platform digital seperti carian Google, media sosial, ulasan dalam talian dan aplikasi tempahan. PMKS yang masih bergantung sepenuhnya kepada kaedah konvensional berisiko tercicir daripada arus utama pelancongan.
PMKS perlu memperkukuh kehadiran digital melalui laman web, media sosial, sistem tempahan dalam talian, e-pembayaran dan pemasaran berasaskan data.
Penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) untuk analisis permintaan, pengurusan inventori dan khidmat pelanggan juga semakin relevan, walaupun pada skala kecil.
Kerajaan dan institusi pendidikan perlu memainkan peranan sebagai pemudah cara, namun PMKS sendiri mesti bersedia untuk melabur dalam kemahiran digital dan perubahan proses kerja.
Dalam pelancongan mesra Muslim dan hab halal global, TMM 2026 perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh penjenamaan halal, bukan sahaja dari sudut pensijilan tetapi juga dari aspek nilai, kebersihan, etika perniagaan dan kelestarian.
Pelancong masa kini juga semakin peka terhadap isu alam sekitar dan tanggungjawab sosial.
PMKS perlu mengamalkan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), seperti penggunaan bahan mesra alam, sokongan kepada komuniti setempat dan tadbir urus beretika, berpotensi menarik segmen pelancong berkualiti tinggi yang sanggup berbelanja lebih.
TMM 2026 seharusnya tidak dilihat semata-mata sebagai sasaran angka ketibaan pelancong tetapi sebagai usaha membina industri pelancongan yang lestari dan berdaya tahan.
Satu lagi cabaran PMKS ialah kekurangan tenaga kerja mahir dan profesionalisme perkhidmatan. Pengalaman pelancong banyak ditentukan oleh kualiti interaksi dengan pekerja barisan hadapan dari pemandu pelancong, pengusaha inap desa, peniaga kecil hingga kakitangan restoran.
PMKS perlu melihat latihan dan pembangunan modal insan sebagai pelaburan jangka panjang, bukan kos tambahan. Kerjasama dengan institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan universiti boleh dimanfaatkan bagi melatih tenaga kerja dalam bidang hospitaliti, bahasa asing, pemasaran digital dan pengurusan kualiti.
TMM 2026 juga membuka ruang kepada pelajar dan belia untuk terlibat secara langsung dalam industri pelancongan melalui latihan industri, keusahawanan sosial dan projek komuniti.
Pendekatan ini bukan sahaja membantu PMKS, malah menyumbang pembangunan bakat tempatan dan pengurangan kebergantungan kepada pekerja asing.
PMKS tidak boleh bergerak secara bersendirian. Kejayaan memanfaatkan TMM 2026 memerlukan kerjasama dalam bentuk kluster industri, rangkaian tempatan dan integrasi rantaian nilai.
Pendekatan kluster ini membolehkan perkongsian sumber, pemasaran bersama dan peningkatan kecekapan operasi. Pada masa sama, dapat mengurangkan persaingan tidak sihat sesama PMKS dan menggalakkan budaya kolaborasi.
Pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan perlu menyokong pembentukan kluster ini melalui dasar, insentif dan penyelarasan, agar manfaat ekonomi TMM 2026 dapat diagihkan secara lebih seimbang ke seluruh negara, termasuk kawasan luar bandar.
Pun begitu, terdapat satu kelemahan utama industri pelancongan ialah sifatnya yang bermusim. PMKS perlu merancang strategi jangka sederhana dan panjang agar manfaat TMM 2026 tidak terhenti selepas tahun tersebut berakhir. Ini termasuk membina pangkalan data pelanggan, menembusi pasaran eksport melalui pelancongan dan mempelbagaikan sumber pendapatan.
Sebagai contoh, produk tempatan yang mendapat sambutan pelancong boleh dikembangkan ke pasaran antarabangsa melalui e-dagang. Begitu juga perkhidmatan dan kepakaran tempatan yang boleh dijenamakan semula sebagai produk pelancongan berterusan.
Manfaat peluang
TMM 2026 merupakan peluang keemasan yang tidak wajar disia-siakan oleh PMKS. Pelancongan boleh menjadi pemangkin kepada peningkatan pendapatan, inovasi dan kelangsungan perniagaan PMKS jika dimanfaatkan secara strategik.
Namun, peluang ini tidak datang secara automatik sebaliknya menuntut perubahan minda, pelaburan dalam digital dan modal insan, pengamalan nilai kelestarian serta kesediaan untuk bekerjasama.
PMKS yang bersedia berubah dan berinovasi bukan sahaja akan menikmati manfaat TMM 2026, malah akan lebih berdaya tahan dan kompetitif dalam ekonomi masa hadapan.
TMM 2026 bukan sekadar tentang menyambut pelancong tetapi bagaimana PMKS membina masa hadapan ekonomi yang lebih inklusif, lestari dan berdaya saing dalam industri pelancongan. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Md. Fauzi Ahmad ialah Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).










