Pendidikan awal tonggak masa hadapan generasi

Pendidikan awal tonggak masa hadapan generasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAN tahun, ketika musim pendaftaran sekolah tiba, suasana di sekolah-sekolah seluruh negara pastinya dipenuhi dengan keceriaan dan kesibukan, menandakan kehadiran murid baharu yang melangkah ke alam pendidikan formal. 

Bagi sesetengah kanak-kanak, terutamanya murid Tahun Satu dan pelajar yang memulakan persekolahan menengah, pengalaman ini adalah kali pertama mereka menyertai sistem pendidikan yang lebih tersusun, disiplin dan berstruktur.

Walaupun kelihatan sebagai rutin tahunan, proses pendaftaran sekolah sebenarnya membawa makna yang jauh lebih mendalam. 

Pepatah Melayu menyebut “melentur buluh biarlah dari rebungnya”, menunjukkan bahawa pendidikan awal adalah fasa penting yang membentuk peribadi, sikap dan pemikiran seseorang. Ia bukan sahaja menentukan kejayaan individu, tetapi turut menyumbang kepada kemajuan sesebuah negara.

Pendidikan awal memainkan peranan utama dalam pembentukan asas kehidupan. Pada peringkat ini, nilai murni, disiplin diri, kemahiran sosial, serta minat terhadap pembelajaran mula disemai. 

Pendidikan tidak boleh dilihat semata-mata sebagai penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M), tetapi harus merangkumi pembentukan sahsiah diri, perkembangan emosi, kemahiran interpersonal, serta pemikiran kritis dan kreatif yang akan menyalakan semangat belajar sepanjang hayat.

Pengalaman pertama seorang murid di sekolah memberi kesan mendalam terhadap persepsi mereka terhadap pendidikan dan dunia sekeliling. Sekiranya pengalaman itu positif, mesra, dan menyokong perkembangan diri, pelajar berpotensi membesar menjadi individu yang yakin, bermotivasi dan mencintai ilmu.

Sebaliknya, pengalaman yang kurang menyenangkan boleh meninggalkan kesan negatif jangka panjang, menjadikan mereka kurang bersemangat dalam menuntut ilmu. Oleh itu, minggu pendaftaran harus diurus dengan teliti, disertai aktiviti menarik yang memudahkan penyesuaian murid, sambil menimbulkan rasa seronok dan keinginan untuk hadir ke sekolah.

Bagi murid sekolah rendah, khususnya yang pertama kali menjejakkan kaki ke sekolah, peralihan daripada suasana rumah ke persekitaran formal merupakan perubahan besar. Mereka perlu menyesuaikan diri dengan peraturan baharu, memakai uniform, mematuhi jadual waktu, berinteraksi dengan rakan sebaya daripada pelbagai latar belakang, serta menerima bimbingan dan arahan guru sebagai autoriti utama. 

Dalam konteks ini, pendidikan awal membantu membina keyakinan diri dan rasa selamat, supaya kanak-kanak tidak berasa terasing atau tertekan. Disiplin dan sikap positif yang terbina pada usia ini akan terus berkembang selari dengan pengalaman, membentuk keperibadian yang seimbang, bagaikan kanvas putih yang dicorakkan oleh ibu bapa dan guru untuk membezakan antara baik dan buruk.

Pelajar sekolah menengah pula menghadapi cabaran yang berbeza, kerana berada dalam fasa remaja yang melibatkan perubahan fizikal, emosi, dan psikologi. 

 

 

 

Pendaftaran ke sekolah menengah bukan sekadar pertukaran institusi, tetapi menandakan permulaan pendidikan yang lebih kompleks dan berorientasikan masa depan. Murid yang telah menerima pendidikan awal yang kukuh di peringkat rendah akan lebih bersedia menghadapi cabaran, tidak mudah terpedaya, dan mampu menyesuaikan diri dengan tuntutan akademik serta sosial.

Guru memainkan peranan yang amat penting dalam pendidikan awal. Mereka bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi juga pembimbing yang membentuk sahsiah, nilai, dan tingkah laku pelajar. Sikap penyayang, sabar, dan pendekatan pedagogi yang berkesan mencipta persekitaran pembelajaran kondusif dan inklusif. 

Hubungan positif antara guru dan murid sejak awal akan memberi kesan jangka panjang terhadap pencapaian akademik dan pembangunan nilai. Sesungguhnya, guru umpama lilin yang membakar diri untuk menerangi sekeliling; jasa dan pengorbanan mereka tidak ternilai dalam membentuk generasi berilmu.

Ibu bapa pula merupakan rakan strategik yang tidak kurang penting. Penglibatan aktif mereka dalam pendidikan anak, sama ada melalui sokongan emosi, pemantauan pembelajaran di rumah, atau komunikasi berterusan dengan sekolah, memperkukuh asas pendidikan.

Kerjasama yang erat antara sekolah dan keluarga memastikan perkembangan anak berlaku secara seimbang dan berkesan, selaras dengan pepatah Melayu “bagai aur dengan tebing”.

Selain pencapaian akademik, pendidikan awal perlu menekankan pembentukan nilai insaniah seperti disiplin, integriti, empati, dan tanggungjawab sosial. Dalam dunia yang penuh cabaran, negara memerlukan generasi muda bukan sahaja cemerlang dari segi intelektual, tetapi juga kukuh dari segi jati diri, akhlak dan moral. 

Nilai-nilai murni ini perlu disemai sejak awal lagi agar menjadi sebati dalam diri pelajar, termasuk kesedaran tentang bahaya dadah, merokok, rempit, dan rasuah yang boleh merosakkan masa depan negara.

Pendidikan awal yang berkualiti juga membina modal insan yang kukuh. Pelajar hari ini adalah sumber tenaga kerja, pemimpin, dan pembuat dasar masa hadapan. 

Negara yang menekankan pendidikan sejak awal lebih berpeluang melahirkan generasi berdaya saing, inovatif, dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan global, sekali gus menjamin kelangsungan kemajuan negara.

Kesimpulannya, pendidikan awal bukan sekadar urusan pentadbiran atau formaliti tahunan. Minggu pendaftaran sekolah adalah simbol permulaan pembinaan masa hadapan negara melalui generasi muda. 

Dengan sokongan padu guru, ibu bapa, dan komuniti, pendidikan awal yang berkualiti mampu melahirkan individu berpengetahuan, berakhlak, berdaya saing, dan seiring dengan aspirasi Malaysia Madani yang gemilang.

Pendidikan awal yang mantap adalah asas kepada kecemerlangan dan kemakmuran negara, menjadikan setiap kanak-kanak batu asas masa hadapan bangsa.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×