“DALAM keadaan masyarakat semakin terperangkap dengan budaya mengejar pencapaian lahiriah sehingga sanggup mengorbankan kebersihan jiwa, adab, akhlak serta tanggungjawab fardu ain dan fardu kifayah, sifat berani mempertahankan kebenaran wajib disemai dan dididik sejak awal kehidupan.” – Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Dalam mendidik anak untuk membesar dan dewasa sebagai seorang yang bersih jiwa, tinggi adab dan akhlak, amat penting untuk mereka diajar dengan sifat mengutamakan maruah dan kehormatan diri.
Sayang sekali, dalam dunia siber yang pesat, rakyat seperti sudah terbiasa disajikan dengan kandungan sampah yang merendahkan maruah diri dan bangsa.
Malah, masyarakat seakan-akan mangli (terbiasa) dengan sajian daripada pencipta kandungan yang memperdagangkan diri secara terbuka di media sosial. Jika dahulu zaman-berzaman orang Melayu dikenali sebagai bangsa yang tinggi adab tetapi kini nilai anak bangsa hanyalah beberapa sen yang dilempar melalui ‘hadiah maya’ ketika bersiaran langsung di media sosial.
Jika dulu, orang yang terlibat dengan aktiviti persundalan dilihat jijik dan jelik sekali. Namun kini ramai pula yang hilang segan. Bahkan, anak muda secara terangan menonjolkan kekaguman dan minat mereka kepada personaliti dan pempengaruh sosial media yang rosak jiwa, tandus adab dan miskin akhlak.
Lihat saja insiden apabila negara digemparkan dengan kes melibatkan Hot Daddy atau nama sebenarnya Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli. Walaupun dia diheret ke mahkamah, namun anak muda tanpa segan silu bergambar dengannya di tempat awam.
Tambah buruk lagi, pencipta saluran audio siar banyak pula yang menjemput penjenayah untuk berkongsi kebebalan mereka.
Lebih merungsingkan akal dan menyebalkan hati, dalam pada penjenayah lain terpaksa berhadapan dengan prosiding mahkamah secara telus, Hot Daddy terlepas dan sehingga kini hidup bebas.
Sedangkan pertuduhan yang dibacakan terhadapnya pada 2024 masih lagi belum ada resolusi. Adakah Pendakwa Raya merangkap Peguam Negara yang bijaksana sudah lupa?
Kronologi kes ini menarik untuk ditelusuri:
- Pada Januari 2024, Hot Daddy dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di bawah Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan kerana mempromosikan aktiviti seks untuk keuntungan. Tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin;
- Pada Mac 2024, sekali lagi tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana memiliki video lucah di bawah Seksyen 5(1)(a) Akta Penapisan Filem 2002 dan menjual video lucah di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan. Sementara menunggu pelupusan kes, tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM5,000 daripada seorang penjamin.
- Namun akhirnya pada Disember 2024, Mahkamah Sesyen melepaskan tanpa membebaskan tertuduh selepas waran tangkap tidak dapat disempurnakan.
- Selepas tertuduh dilepaskan mahkamah, Ketua Polis Kuala Lumpur berkata pihaknya sedang giat memburu tertuduh termasuklah dengan mengesan pergerakan di sempadan negara.
Hot Daddy bukan sahaja berdepan dengan satu pertuduhan tetapi perlu ditekankan ada tiga pertuduhan berbeza. Namun dia masih hidup bebas tanpa undang-undang moraliti mendapatkan pengadilan sewajarnya. Adakah maruah bangsa tidak patut dibela?
Sudah setahun kes ini didiamkan tanpa sebarang kemas kini. Adakah keseluruhan agensi penguatkuasaan negara, khususnya anggota polis, yang bertugas di serata negara termasuklah di pintu keluar masuk negara gagal sama sekali untuk mengesan tertuduh?
Jangan kita lupa, sebelum ini pun sudah ada penjenayah lain yang lolos ke negara jiran sehingga akhirnya berjaya berhijrah ke negara lain tanpa perlu tunduk kepada institusi kehakiman negara.
Dalam kes ini, terdapat penjamin yang memberi jaminan ke atas kehadiran tertuduh ke mahkamah? Adakah polis tanpa rasa bersalah melepaskan penjamin yang tidak memberikan kerjasama? Atau adakah ini tanda sistem birokrasi dan perundangan yang negara pakai sudah terlalu jumud dan kolot untuk masyarakat zaman moden?
Insiden ini bukan sahaja mencoreng arang ke muka pengadilan. Lebih buruk lagi, selagi mana Hot Daddy tidak diberkas dan diheret ke pintu mahkamah, maka insiden ini menunjukkan institusi kehakiman dan kerangka perundangan negara boleh diperkotak-katikkan dan dipandang enteng.
Adakah ini didikan yang ingin kita ajarkan kepada generasi muda?

WUJUD PENDAKWAAN TERPILIH?
Yang lebih menyebalkan, dalam pada Hot Daddy dan dua orang rakan subahatnya bebas, terdapat empat lagi orang yang bersubahat dengannya yang telahpun dikenakan hukuman mahkamah manakala dua orang lagi memilih untuk melalui proses perbicaraan.
Adakah wujud pendakwaan terpilih apabila dalang utama di sebalik jenayah ini masih hidup senang-lenang dan bebas sementara wanita-wanita yang bersubahat dengannya dihukum mahkamah?
Bukankah prinsip utama Kedaulatan Undang-Undang yang dimaktubkan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dengan nyata menjelaskan hak kesamarataan bagi setiap rakyat Malaysia tanpa mengenal jantina?
Sikap berdiam diri pihak penguatkuasaan dan kegagalan mereka mengesan penjenayah memberikan isyarat yang sangat membimbangkan. Adakah rakyat di Malaysia wajar terus merasa selamat dan sejahtera dalam pada undang-undang dikhianati dan penjenayah bermaharajalela?
Tanpa pengakhiran yang kemas, kes ini akan selamanya menjadi tugu peringatan tentang betapa lemahnya sistem negara sehingga boleh diperolok oleh seorang penjenayah yang biadab. Inikah isyarat yang ingin kita berikan kepada anak-anak kita?-UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).










