MANUSIA lazim melihat sesuatu peristiwa berlaku, kemudian cuba mencari sebab dan akhirnya membentuk kepercayaan berdasarkan tafsiran sendiri. Ada tafsiran yang tepat tetapi banyak juga yang lahir daripada ilusi, imaginasi atau andaian.
Walaupun begitu, tafsiran itu terus hidup dan menjadi sebahagian budaya.
Dalam kalangan kaum India sejak zaman dahulu, pengalaman yang sukar dijelaskan itu turut mempengaruhi cerita rakyat serta teks klasik.
Dari sudut psikologi, sastera, dan filologi, pengalaman itu dirujuk sebagai psikik. Hasil penelitian saya terhadap karya tradisional dan teks klasik dari India, ternyata motif psikik sentiasa wujud untuk menggerakkan cerita.
Pembacaan kajian bertajuk The Fable of the Crow and the Palm-Tree: A Psychic Motif in Hindu Fiction oleh Dr. Maurice Bloomfield (1855-1928) di The American Journal of Phililogy (1919) menambah minat saya terhadap motif atau unsur perulangan berkaitan psikik dalam cerita rakyat.
Motif psikik bergerak bersama naratif, watak serta kepercayaan masyarakat dari generasi ke generasi. Maknanya, motif ini tidak hanya wujud dalam cerita tetapi juga dalam cara manusia berfikir tentang dunia di sekeliling mereka.
Dr. Maurice Bloomfield dalam kajiannya cuba meneliti bagaimana manusia gemar mencari punca yang tidak wujud, kemudian menjadikannya seolah-olah jawapan sahih. Lalu disajikan pula dalam bentuk cerita atau dongengan.
Contoh terbaik motif psikik ialah kisah seekor gagak (kaka) hinggap pada sebatang pokok palma (tala). Pada waktu sama, pokok palma itu tumbang.
Orang yang melihat kejadian itu percaya sang gagak telah menyebabkan pokok tumbang. Sebenarnya, pokok itu sudah reput dan memang akan tumbang juga. Gagak hanya tiba pada saat terakhir. Namun persepsi manusia segera membina hubungan sebab dan akibat.
Daripada cerita ini lahir konsep kakataliyam bermakna tentang gagak dan pokok palma serta kakolukiyam bermakna tentang gagak dan burung hantu dalam bahasa Sanskrit. Maknanya berkaitan unsur kebetulan, pertemuan rawak atau peristiwa yang berlaku tanpa ada kaitan secara langsung.
Konsep itu bergerak luas dalam karya klasik India. Ia muncul dalam cerita rakyat, teks didaktik, dan pelbagai cerita pengajaran. Turut menjadi asas kepada cara penceritaan dan kadang-kadang cara manusia memahami nasib. Bahagian ketiga buku cerita Panchatantra diberi tajuk Kakolukiyam.
Motif ini dipanggil motif psikik kerana berhubungan terus dengan fikiran manusia. Manusia sebenarnya tidak selesa dengan kebetulan. Kita mahu tahu sebab dan perlukan penjelasan. Kita mahukan naratif yang kemas. Kita mahukan jawapan dan penjelasan bagi setiap persoalan.
Maka, sejak zaman dahulu, setiap peristiwa cuba dikaitkan dengan peristiwa lain walaupun tanpa bukti. Hubungan palsu dan dongengan juga mula kelihatan benar kerana menjawab persoalan. Dari segi psikologi, demikian minda manusia berfungsi dan realiti inilah disingkap dalam kajian motif psikik.
Cerita gagak dan palma tadi kelihatan ringkas tetapi sebenarnya cerita itu mencerminkan cara kita berfikir. Kita melihat bagaimana manusia gemar mengaitkan apa yang berlaku di sekeliling dengan pelbagai andaian.
Ada orang jatuh sakit, lalu orang sekeliling mengaitkannya dengan kata-kata atau perbuatan tertentu. Ada kemalangan berlaku dan orang menyalahkan satu peristiwa kecil sebelum itu. Naratif pun terbentuk, kebenaran mula kabur dan motif psikik mula menyerlah.
Dr. Maurice Bloomfield menjelaskan, motif psikik muncul berkali-kali dalam karya klasik India. Ia menjadi alat pengajaran dan digunakan untuk menegur manusia yang terlalu cepat membuat kesimpulan. Pencerita cuba mengingatkan khalayak supaya membezakan antara sebab yang sebenar dan kebetulan yang tidak berasas.
Motif psikik tidak terhad kepada teks klasik semata-mata. Dalam media sosial pada masa kini, ia malah lebih ketara. Satu paparan muncul, kemudian berlaku satu tragedi, lalu orang segera mengaitkan kedua-duanya tanpa bukti dan penelitian berasas.
Cerita yang direka itu menjadi tular dengan pantas. Andaian tidak berasas berubah menjadi punca kepada tragedi tadi. Di sinilah kita dapat melihat bagaimana motif psikik kakataliyam terus hidup dalam zaman digital.
Motif ini juga meresap ke dalam politik, kepercayaan dan budaya popular.
Kadang-kadang, sesuatu frasa dianggap membawa bala. Kadang-kadang, sesuatu pertemuan dilihat sebagai petanda. Ada orang percaya dan ada yang ragu-ragu tetapi cara manusia berfikir tetap sama iaitu mencari kaitan walaupun hanya ada unsur kebetulan.
Hasil penelitian karya klasik India, saya dapati penulis atau pencerita tidak bercerita secara akademik. Namun begitu, melalui cerita gagak dan palma misalnya, mereka sebenarnya cuba membedah psikik manusia.
Cerita itu pendek, jelas dan mudah diingat serta kesannya amat besar.

Pembaca dan pendengar seolah-olah melihat diri sendiri dalam kerangka cerita itu, lalu sedar tentang tabiat suka menuduh, suka mengaitkan dan suka memaksakan makna pada hal-hal yang kebetulan sahaja berlaku.
Motif psikik ada juga dalam sastera Melayu tradisional. Hal ini bukanlah kebetulan kerana sastera klasik India memang secara amat nyata mempengaruhi perkembangan sastera klasik dan cerita rakyat dalam kalangan kaum Melayu.
Contohnya cerita Nujum Pak Belalang daripada teks Katha Sarit Sagara. Sejak zaman dahulu, sastera dan cerita sebenarnya memberi ruang kepada masyarakat untuk bertanya. Ia bukan sekadar hiburan, sebaliknya mendidik secara halus. Pengalaman saya melakukan penceritaan semula Vetalam dan Vikramaditya (2020), Khanda Puranam (2022) dan Katha Sarit Sagara (2023) membuktikan hal ini.
Motif psikik dalam karya klasik pelbagai tamadun manusia di seluruh dunia menunjukkan bagaimana naratif boleh membentuk budaya fikir manusia. Kita diingatkan supaya belajar untuk lebih berhati-hati sebelum menuduh atau membuat andaian.
Kita perlu sedia menerima hal-hal yang berlaku secara kebetulan tanpa mengaitkannya dengan kepercayaan karut. Malah, seperti dibincangkan tadi, motif psikik masih wujud dalam kalangan pengguna media sosial hari ini.
Berhati-hatilah supaya kita tidak terus mengandaikan pokok palma tumbang semata-mata kerana sang gagak hinggap di atasnya.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










