Bajet Melaka 2026 perlu pelaksanaan, pemantauan telus

Bajet Melaka 2026 perlu pelaksanaan, pemantauan telus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI sebalik angka dan peruntukan Bajet Melaka 2026, ukuran sebenar “Melaka Sayang Rakyat” terletak pada kesannya terhadap kehidupan seharian rakyat. Sejauh mana bajet negeri benar-benar menyentuh realiti kos sara hidup, pendidikan, pekerjaan dan kesejahteraan komuniti.

Slogan boleh dicipta, angka boleh diumumkan, tetapi kehidupan rakyat tidak boleh dipalsukan.

Dalam realiti hari ini, rakyat menilai bajet bukan melalui ucapan pembentangan atau dokumen rasmi, sebaliknya melalui dapur rumah mereka: Kos sara hidup yang kian menekan, kestabilan pekerjaan yang tidak menentu, pendidikan anak-anak yang semakin mahal dan kehadiran kerajaan ketika tekanan hidup semakin terasa.

RAKYAT tidak mengukur pembentangan bajet semata-mata, sebaliknya melalui pelaksanaan yang telus, pemantauan berterusan dan keberanian membetulkan kelemahan.

Atas kerangka inilah Bajet Negeri Melaka 2026, yang membawa tema Melaka Sayang Rakyat, perlu dinilai secara jujur dan kritis. Tema ini selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan kesejahteraan, keadilan sosial dan tadbir urus berintegriti.

Namun persoalan utama bukan terletak pada niat atau naratif yang diangkat, sebaliknya pada sejauh mana bajet ini benar-benar menyentuh realiti kehidupan rakyat Melaka di lapangan.

Bajet Melaka 2026 mengunjurkan hasil negeri sebanyak RM528.9 juta dengan perbelanjaan mengurus RM528.8 juta dan peruntukan pembangunan RM93 juta, sekali gus mengekalkan kedudukan bajet lebihan.

Pendekatan ini mencerminkan pengurusan fiskal yang berhati-hati dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu. Dari sudut angka, ia menunjukkan kestabilan.

Namun bagi rakyat, persoalan sebenar ialah sama ada kestabilan ini diterjemahkan kepada kehidupan yang lebih mudah, selamat dan kurang membebankan.

Antara langkah yang memberi kesan langsung kepada realiti kehidupan rakyat ialah peningkatan pemindahan fiskal ekologi (EFT) kepada RM8 juta berbanding sekitar RM2.5 juta pada tahun sebelumnya.

Isu alam sekitar seperti banjir kilat, pengurusan sungai dan hakisan bukan lagi sekadar isu teknikal tetapi masalah harian yang menjejaskan keselamatan, harta benda dan emosi rakyat.

Peningkatan peruntukan ini memberi isyarat bahawa kelestarian alam mula dilihat sebagai sebahagian daripada kebajikan rakyat, bukan isu pinggiran.

Dari sudut ekonomi makro, Melaka mencatat pertumbuhan sekitar 4.4 peratus, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hampir RM49 bilion dan kadar pengangguran sekitar 2.4 peratus. Pelaburan pula mencecah berbilion ringgit.

Namun, realiti kehidupan rakyat tidak sentiasa selari dengan statistik makro.

Pertumbuhan ekonomi hanya bermakna apabila ia menghasilkan pekerjaan berkualiti, pendapatan yang stabil dan peluang mobiliti sosial yang sebenar.

Dalam konteks ini, penekanan Bajet 2026 terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) wajar diberi perhatian serius.

Bajet kali ini memperlihatkan peralihan daripada pembinaan ekosistem kepada usaha menangani masalah sebenar rakyat seperti kos kemasukan, akses penyertaan dan kebolehpasaran graduan.

Peruntukan bagi sokongan kemasukan golongan B40, latihan industri berelaun serta pemerkasaan TVET Tahfiz berpotensi memberi kesan langsung kepada realiti kehidupan belia yang tercicir daripada laluan akademik konvensional.

Sektor pendidikan pula terus diletakkan sebagai teras pembelaan rakyat.

Bantuan bersasar seperti tuisyen percuma, insentif kecemerlangan serta kesinambungan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) dengan peruntukan RM15 juta mencerminkan komitmen terhadap masa depan generasi muda.

Namun, realiti kehidupan keluarga berpendapatan rendah menuntut agar pengurusan dana pendidikan dilaksanakan secara berdisiplin dan lestari supaya pembelaan hari ini tidak menjadi beban kewangan pada masa hadapan.

Pendigitalisasian semakin menjadi sebahagian daripada kehidupan harian rakyat melalui inisiatif seperti Sistem E-mel Rakyat, Kampung Digital dan peluasan WiFi percuma termasuk ke kawasan luar bandar dan kampung Orang Asli.

Inovasi seperti Kubur Digital memperlihatkan pendekatan teknologi yang berteraskan nilai kemanusiaan. Namun, realiti kehidupan digital juga membawa risiko.

Kerugian besar akibat jenayah siber membuktikan bahawa tanpa literasi digital dan perlindungan yang kukuh, teknologi boleh menjadi beban kepada rakyat.

Penubuhan pasukan khas menangani penipuan siber merupakan langkah penting untuk memastikan pendigitalisasian tidak mengorbankan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Dalam sektor pelancongan, sasaran 19 juta pelawat dan pengembangan ekonomi malam membuka peluang pendapatan kepada peniaga kecil, belia dan komuniti setempat. Namun, realiti kehidupan penduduk menuntut keseimbangan.

Pelancongan yang terlalu agresif boleh membawa kesesakan, kebisingan dan tekanan terhadap kualiti hidup.

Kejayaan sebenar sektor ini bukan diukur melalui jumlah pelawat semata-mata, tetapi sejauh mana manfaatnya benar-benar dirasai rakyat tanpa mengorbankan keharmonian bandar warisan.

Bajet Melaka 2026 mempunyai asas untuk menterjemahkan slogan Melaka Sayang Rakyat kepada dasar yang menyentuh realiti kehidupan.

Namun, kasih kepada rakyat tidak diukur melalui pembentangan bajet semata-mata, sebaliknya melalui pelaksanaan yang telus, pemantauan berterusan dan keberanian membetulkan kelemahan.

Di situlah letaknya ujian sebenar Bajet Melaka 2026 sama ada ia benar-benar memudahkan kehidupan rakyat atau sekadar kelihatan indah di atas kertas. – UTUSAN

PENULIS ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Sosial, Universiti Islam Melaka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×