UMNO mati, DAP hidup? - Utusan Malaysia

UMNO mati, DAP hidup?

UMNO mungkin sedang berdepan masalah besar tetapi parti itu belum ‘mati’.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJADI kelaziman saya dan beberapa rakan minum kopi di kedai mamak di depan Maju Junction, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Dekat dengan pejabat saya.

Lazimnya, korum tetap minum kopi saya ialah berempat. Tiga kawan saya ialah seorang pemilik sebuah portal berita, seorang ahli perniagaan muda yang berusia lewat 30-an dan seorang ‘Zillennials’ yang tegar dengan sosialis.

Kadang-kadang ada kawan lain turut serta. Selalunya orang media dan orang yang ada kena-mengena dengan politik.

Selepas lebih seminggu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berakhir baru kami dapat bersidang di ‘port’ biasa kerana masing-masing sibuk. Dan seperti biasa juga, saya orang terakhir sampai walaupun pejabat saya yang paling dekat.

Sebaik sahaja letak punggung, saya buka panggung sambil senyum.

“Macam mana UMNO boleh kalah teruk.”

“Kau sembang apa lagi pasal UMNO. UMNO dah mati,” terus kawan saya sambut.

“Tidaklah…,” saya cuba membantah tetapi belum habis ayat, dia terus sambung.

“Tidak apa lagi, semua orang tahu UMNO sakit apa tetapi makan ubat yang tak betul. Ubat itu mudah, bukan payah nak cari, ada depan mata. Kalau ubat tak jalan, kerat saja anggota yang rosak, jangan bagi berjangkit habis satu badan.

“Macam manalah orang UMNO masih boleh bawa naratif masih dapat pingat gangsa di Sabah dan keadaan di Sabah dan Semenanjung berbeza.

“Bagi aku, UMNO masih dalam sindrom penafian, tunggu dan lihat sajalah. Kau tengok mana ada orang bercakap lagi pasal UMNO, dah tidak ada apa,” katanya.

Saya tersenyum, tetapi tidak sepenuhnya bersetuju. Ya, UMNO sedang berdepan masalah besar, tetapi parti itu belum ‘mati’.

Saya nyatakan wakil UMNO dalam jemaah menteri masih menjalankan tugas dengan baik dan tidak mencetuskan kontroversi besar. Prestasi itu dilihat dan difahami rakyat. Namun saya akui kepercayaan politik bukan bergantung semata-mata pada prestasi individu tetapi kekuatan organisasi.

Sakit UMNO nyata dan kronik tetapi masih boleh dirawat jika parti berani menjalani pembedahan politik yang sebenar, bukan sekadar menukar pembalut luka.

Selepas itu, cerita fasal UMNO mati di situ sahaja. Ada kawan buka cerita lain, namun secara tidak sedar perhatian kami diubah kepada DAP, PKR dan PH pasca PRN Sabah. Nampaknya itu lebih mengiurkan.

Sejak kekalahan teruk di Sabah, kepemimpinan DAP khususnya Setiausaha Agung, Anthony Loke Siew Fook berhadapan tekanan yang amat tinggi.

Kami simpulkan bahawa penahanan Albert Tei oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehari sebelum hari mengundi telah meranapkan terus kepercayaan masyarakat Cina Sabah kepada DAP dan Pakatan Harapan (PH).

Soalnya, adakah mood ini akan dibawa ke Semenanjung?

Kebimbangan tersebut jelas. Sejak 30 November, pemimpin DAP mula mengalihkan tekanan tersebut kepada kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tiga anak Karpal Singh iaitu Gobind, Ramkarpal dan Sangeet Kaur Deo memberikan ‘isyarat’ yang jelas. Paling nyata, Sangeet berkongsi semula video kritikan keras mendiang bapanya terhadap Anwar.

Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming pula membangkitkan kembali isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), satu langkah yang mengejut dan berisiko tinggi dalam suasana politik yang masih belum stabil selepas Sabah.

Ini memang cara DAP, memainkan kad yang mampu menggerakkan sokongan asas mereka, walaupun sedar ia berpotensi melebarkan jurang persepsi antara kaum dan parti-parti dalam kerajaan.

Paling keras ialah kata dua daripada Anthony Loke dan bekas Setiausaha Agung, Lim Guan Eng, yang menuntut Perdana Menteri memberi perhatian serius terhadap isu masyarakat Cina.

DAP kini ditolak sampai ke dinding, dan apabila sesebuah parti ditekan sedemikian rupa, tindakan luar biasa pasti berlaku.

Sukar untuk mempertahankan naratif tatakelola dan integriti Kerajaan Madani. Kes Albert Tei memberi gambaran yang cukup kuat bahawa persepsi awam semakin goyah.

Selepas ini, jangan terkejut jika DAP menuntut semua perkara yang menjadi perjuangan mereka sebelum ini dilaksanakan dengan segera. UEC hanyalah permulaan.

Terus terang, saya berpendapat kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) sudah tidak lagi selari dengan keperluan semasa. Asal-usul penubuhannya ialah sebagai persediaan untuk generasi imigran sebelum merdeka, bukan sebagai struktur kekal sistem pendidikan negara.

Jika terus dibiarkan SJK akan terus modal oleh parti politik sempit untuk meniupkan sentimen ekstrem bagi meraih keuntungan yang mudah. Perlu ada satu tindakan afirmatif yang matang dan berasaskan fakta, bukan sentimen.

Persoalan sebenar yang perlu kita jawab ialah: Bagaimanakah sistem pendidikan negara boleh memupuk integrasi nasional tanpa memadam identiti budaya mana-mana kaum?

Lihat Amerika Syarikat (AS) dan Singapura tanpa SJK, identiti masyarakat Cina dan India tetap subur. Dalam masa sama, semakin ramai ibu bapa Cina sendiri memilih sekolah antarabangsa berbanding SJK. Ini menunjukkan isu ini lebih kompleks daripada sekadar ‘hak kaum’.

Bagaimanapun saya percaya DAP akan terus mempertahankan Pakatan Harapan (PH) tetapi dalam masa sama akan ‘memaksa’ parti-parti lain mengikut kerangka tuntutannya kerana mereka paling besar dan paling berpengaruh dalam kerajaan.

Dengan percaturan ini, DAP akan terus ‘survive’ kerana mereka berjaya membina penyokong tegar yang konsisten, cuma perlu memastikan ‘iman’ politik kumpulan ini tidak goyah, lebih-lebih lagi ketika belum ada parti lain yang mampu menggantikan DAP seperti Warisan di Sabah.

Bagaimana pula dengan PKR yang bertanding di kerusi campuran, serta UMNO/BN (jika kekal bersama PH) yang bertanding di kerusi majoriti Melayu?

Sebelum kami semua bersurai, seorang kawan menyimpulkan:

“Bergolak dan ‘bergocoh’ teruk macam mana sekalipun parti-parti ini, ia tidak memberikan banyak kesan kepada kerajaan kerana lawan mereka terlalu lemah.”

Kata-kata itu ada benarnya. Politik Malaysia hari ini bukan sekadar tentang siapa kuat tetapi siapa yang lebih lemah. Dan selagi blok lawan tidak mampu bangkit sebagai alternatif, pergolakan dalaman kerajaan tidak akan menggoyahkan kedudukan mereka.

PENULIS ialah pengamal komunikasi yang pernah bertugas sebagai wartawan Utusan Malaysia, setiausaha akhbar kepada menteri serta pegawai khas (media dan komunikasi strategik) kepada Perdana Menteri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN