Tiada lagi tolak ansur, hapuskan premis seks songsang

Tiada lagi tolak ansur, hapuskan premis seks songsang

UNDANG-UNDANG sedia ada jelas mengharamkan kegiatan tidak bermoral, namun pengusaha premis masih berani melanggarnya berikutan kelemahan penguatkuasaan dan penyalahgunaan lesen perniagaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Amat merisaukan apabila sebuah negara yang terkenal dengan kepimpinan Melayu Islam digemparkan dengan serbuan di pusat spa dan kesihatan yang beroperasi untuk kunjungan khusus daripada komuniti gay.

Premis berkenaan didakwa bukan sekadar menjadi premis tumpuan untuk komuniti songsang itu berkumpul, bersenam dan menjaga kesihatan, malah turut diubahsuai bagi menggalakkan perlakuan seks bebas tanpa segan silu.

Lebih memualkan lagi, ulasan-ulasan di Google Review pusat kesihatan yang terbabit, dengan terbuka mengupas kebebasan pengunjung memilih pasangan sejantina untuk melampiaskan nafsu songsang.

Ulasan yang ditinggalkan pengunjung dari serata dunia termasuklah dari Russia, Jerman, China, Sri Lanka, Filipina dan Indonesia, benar-benar mencemar nama baik dan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang mendaulatkan prinsip ketimuran.

Jika dulu di rantau ini hanya Thailand yang menyajikan percutian seks kepada pelancong secara terbuka, rupanya negara ini juga kini hampir setanding. Adakah kepimpinan negara sudah terlalu lena sehingga bagai air keruh, limbat pun keluar?

Keberanian mereka beroperasi mengisyaratkan sikap biadab dan angkuh terhadap sistem jenayah negara, ketika pemimpin pula dilihat alpa.

Premis di Chow Kit yang diserbu pada 28 November lalu bukanlah satu-satunya premis yang menawarkan kelainan songsang sebegitu. Pada 29 November lalu, polis Bukit Mertajam turut menyerbu sebuah premis yang menggunakan modus operandi yang sama. Bersembunyi di sebalik khidmat kesihatan yang menempatkan gimnasium, jakuzi dan sauna, premis sebegini bebas beroperasi.

Bahkan, sejak Ogos 2018 lagi, pihak berkuasa menghidu kegiatan maksiat seumpama ini yang berleluasa di ibu negara. Melalui Operasi Banteras Aktiviti Haram (Ops Bah) yang diketuai Kementerian Wilayah, anggota polis daripada Bahagian D7 (kongsi gelap, judi dan maksiat) telah menyerbu sebuah pusat kesihatan gay yang kononnya telah beroperasi selama 30 tahun di Bukit Bintang.

Pada November 2021, serbuan ke atas sebuah pusat urut di Taman Pelangi, Johor Bahru pula mendapati pekerja premis turut menawarkan khidmat seks kepada pelanggan gay yang kerap melanggani perniagaan tersebut.

Amat memalukan apabila kegiatan tidak bermoral yang melampau sebegini berlaku secara berleluasa di Malaysia, apatah lagi agama Islam dimartabatkan sebagai agama Persekutuan.

Tambahan lagi, kegiatan yang jelik ini berterusan walaupun prinsip moraliti terserlah apabila kita melihat kepada kerangka perundangan yang dengan ketara mengharamkan kegiatan tidak bermoral.

Sebagai contoh utama, Seksyen 373 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman pemenjaraan sehingga 15 tahun dan denda bagi membasmi kewujudan rumah-rumah persundalan.

Selain itu di bawah Seksyen 18 Akta Kesalahan Kecil 1955 [Akta 336], mana-mana penjaga rumah awam yang membenarkan kelakuan tidak senonoh di dalam premisnya boleh dikenakan denda sehingga RM300 dan untuk kesalahan kedua boleh dikenakan denda sehingga RM500.

Di bawah Seksyen 13 Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan, yang digubal menurut Akta Kerajaan Tempatan 1976, mana-mana pemegang lesen pusat kesihatan dilarang membenarkan sebarang aktiviti yang dianggap tidak munasabah atau sesuai dilakukan di premisnya.

Selain itu, pengoperasi premis juga dilarang membenarkan mana-mana orang, yang diketahuinya atau dengan sebab yang munasabah mempercayai, berwatak jahat untuk berada dalam pusat kesihatan tersebut.

Peruntukan yang sama turut melarang pemegang lesen daripada mengambil kerja atau membenarkan mana-mana orang yang diketahui atau disyakinya dengan munasabah menghidap sesuatu penyakit berjangkit atau penyakit boleh merebak bekerja atau memasuki pusat kesihatan tersebut.

Kegagalan mana-mana pemegang lesen dan pengoperasi pusat kesihatan mematuhi larangan dalam Seksyen 13 Undang-Undang Kecil tersebut membolehkan pihak berkuasa tempatan menyita, melucut hak dan mengenakan kompaun ke atas premis itu.

PERANAN PBT

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sepatutnya memikirkan jalan keras yang lebih tegas bagi membasmi kegiatan maksiat di setiap negeri apabila melihat ramai pengoperasi perniagaan berani menyalahgunakan lesen premis mereka.

Kita tidak boleh hanya bergantung pada penguatkuasaan polis semata-mata. Yang lebih penting ialah memperkukuh kerangka undang-undang supaya bukan sahaja masyarakat dihalang daripada terlibat dalam kegiatan tidak bermoral tetapi juga memastikan tiada pihak boleh meraih keuntungan melalui perniagaan yang berasaskan perbuatan jijik dan tidak bermaruah.

Malaysia bukanlah negara kotor yang bergelumang dengan duit noda dan wang ‘lendir’.

Harapan saya untuk melihat kepimpinan negara pada tahun hadapan membenamkan semua operasi premis tidak bermoral khususnya pusat kesihatan yang diwujudkan khas untuk memenuhi nafsu seks bebas komuniti gay dan rumah-rumah perlacuran yang menyajikan kehidupan seks rambang.

Jangan rosakkan maruah bangsa hanya kerana wang picisan yang disaluti ‘lendir tebal’.-UTUSAN

PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×