Tanggapan Pas parti ekstrem semakin terhakis - Utusan Malaysia

Tanggapan Pas parti ekstrem semakin terhakis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Kemenangan sulung Pas di Sabah membuka dimensi baharu terhadap penerimaan parti itu dalam kalangan masyarakat majmuk, khususnya bukan Melayu. Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, DATUK AHMAD YAHAYA menegaskan persepsi lama yang menggambarkan Pas sebagai parti ekstremis semakin tidak relevan, kerana realiti pentadbiran Pas di negeri-negeri ditadbirnya membuktikan keterbukaan dan keadilan untuk semua kaum.

Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL dan jurufoto, SADDAM YUSOFF, Ahli Parlimen Pokok Sena itu menekankan wujudnya keyakinan baharu masyarakat bukan Melayu terhadap Pas yang menandakan perubahan pandangan terhadap perjuangan parti itu.

Beliau turut melihat perkembangan di Sabah sebagai petanda sokongan orang Cina tidak lagi kekal pada satu parti, terutama DAP. Datuk Ahmad percaya wujud gelombang baharu di mana pengundi Cina kini lebih terbuka menilai parti berdasarkan prestasi dan integriti, bukan semata-mata garis sokongan tradisional. Isyarat ini menunjukkan landskap politik negara semakin berubah dan membuka peluang kepada Pas untuk diterima lebih meluas merentas kaum dan kawasan.

PAS DITERIMA SEMUA
MINGGUAN MALAYSIA: Boleh Datuk ulas kemenangan sulung Pas di PRN Sabah?
Perkhidmatan cemerlang Datuk Dr. Aliakbar Gulasan bukan bermula hari ini atau selepas penamaan calon, tapi satu tempoh yang panjang.

Beliau sudah berkhidmat sejak dilantik ADUN lantikan, sebelum jadi Pesuruhjaya negeri, dia ialah Setiausaha perhubungan Sabah.

Jadi, penglibatan beliau dalam masyarakat yang begitu lama, khidmat bakti yang diberi menjadi salah satu faktor penting hingga rakyat memberi kepercayaan kepada Aliakbar.

Malah, dalam Pas ini kita ramai pemimpin yang mempunyai kualiti seperti beliau, jadi tidak menjadi masalah.

Bagaimana hendak bawa momentum kemenangan DUN Karambunai bagi menghadapi pilihan raya seterusnya?
Bagi kita ini isyarat yang baik untuk Pas, maksudnya parti kita boleh diterima.

Terlalu banyak persepsi Pas, Perikatan Nasional (PN) ini parti Malaya, tetapi dengan kemenangan ini terjawablah, maksudnya rakyat boleh sahaja terima.

Bila rakyat boleh terima orang seperti Aliakbar, maka ia juga memberi isyarat bahawa peluang kita bertambah.

Beliau ialah contoh kepada rakyat bahawa rakyat perlukan pemimpin seperti beliau, selepas menang terus turun berkhidmat, dia buktikan dia wakil rakyat yang bekerja.

Bagaimana Datuk melihat penolakan terhadap parti Semenanjung di Sabah dan adakah itu boleh kayu ukur pada pilihan raya seterusnya?
Setiap parti perlu muhasabah, melihat mengapa rakyat Sabah membuat keputusan begitu.

Soal sentimen, dipengaruhi, itu banyak tafsiran, tapi sebenarnya bagi parti Semenanjung, perlu buktikan bahawa sebenarnya semua parti yang bertanding ada peluang untuk dapat sokongan rakyat, tapi kena buktikan apa yang perlu dibuat untuk dapatkan sokongan itu.

Jadi, bagi Pas apabila dapat satu kerusi di Karambunai, ini jadi contoh apa yang rakyat mahu daripada kita, boleh bawa kemajuan dan kesejahteraan kepada mereka.

YAKIN KUASAI PUTRAJAYA
Selain untuk mengekalkan empat negeri bawah tadbiran Pas, menuju pilihan raya akan datang, sejauh mana Pas dan PN optimis untuk menawan lebih banyak negeri?

Pada pandangan saya, bukan negeri lagi tetapi kita yakin mampu menguasai Putrajaya. Kita yakin dengan suasana dan keadaan hari ini rakyat akan beri keyakinan dan sokongan kepada PN.

Selain peluang cerah untuk ambil Selangor, Pahang dan Perak, kita merasakan peluang sangat terbuka sekarang. Ini kerana kepercayaan rakyat terhadap kerajaan Madani semakin terhakis, gagal menunaikan janji reformasi mereka, banyak perkara yang tidak berjaya ditunaikan walaupun sudah memasuki lebih tiga tahun memerintah.

Isu terbaru berkait rasuah juga menambah bukti tentang kegagalan kerajaan.

Kalau kita lihat waktu pilihan raya, perkara yang diperjuang dan dibangkitkan dulu pada waktu mereka menjadi pembangkang, antaranya tidak menggunakan jentera kerajaan, tapi kita saksikan daripada PRN di Sabah, malah pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini, kita rasa apa yang dulu mereka perjuangkan, itu yang sedang berlaku secara terbuka, tanpa ada segan silu.

Jadi, rakyat boleh buat penilaian. Akhirnya orang akan persoalkan apa sebenarnya yang hendak dibawa oleh kerajaan ini.

Apa yang berlaku hari ini menambah bukti kegagalan kerajaan, sebab apa yang dipersoalkan kepada Perdana Menteri apabila peringkat awal setiausaha politiknya dipertahankan, tidak perlu pecat, namun apabila pendedahan terus dibuat, pegawainya itu meletak jawatan.

Jadi, persoalannya sekarang setiap perkara dibuat setiausaha politik, dia tidak akan buat sendiri melainkan menerima arahan atau diberi kuasa untuk buat sesuatu, jadi inilah yang menyebabkan ia terkait secara langsung dengan Perdana Menteri.

TARIK SOKONGAN BUKAN MELAYU
Dalam usaha menawan Putrajaya pada PRU-16, bagaimana cara Pas dan PN untuk memenangi kawasan bukan Melayu dan bercampur?

Kita akui Pas mendapat sokongan yang maksimum di kawasan Melayu. Jadi, menjadi cabaran untuk kita mendekati pengundi di kawasan bercampur, di bandar dan sebagainya.

Tapi pelbagai pendekatan akan diambil oleh setiap negeri yang ada kaedah tersendiri. Kalau kita tengok di Utara, Pantai Timur atau di Selangor sendiri, tentunya tidak sama pendekatan dalam menyantuni dan meraih sokongan pengundi.

Kalau hari ini kita ada Bersatu dan yang terkini kemungkinan MIC akan bersama kita, saya yakin sebelum sampai pilihan raya nanti akan ada banyak lagi sokongan daripada pelbagai pihak untuk bersama PN. Ini membuka ruang untuk lebih banyak parti dekati kita dan untuk rakyat bersama kita.

Dengan kerjasama lebih banyak parti pelbagai kaum dalam gabungan PN, adakah ini akan mengubah persepsi rakyat terutama orang Cina terhadap Pas, yang sebelum ini turut dilabel berideologi ekstrem?
Saya melihat apa yang berlaku di Sabah membawa isyarat bahawa tidak semestinya orang Cina akan kekal menyokong DAP, sekarang terbukti dan saya yakin calon kita juga mendapat sokongan daripada bukan Melayu dan Islam.

Jadi, ini menunjukkan ada sudut pandang baharu dalam kalangan orang bukan Islam kepada Pas. Jadi, dengan usaha, kita akan buktikan dengan keterbukaan yang ada pada Pas.

Bahkan jika bukan Islam memahami apa yang kita perjuangkan, keadilan untuk semua dan sebagainya, ini akan membuka ruang untuk mereka mendekati kita, itu keyakinan Pas.

Apa yang berlaku di Sabah itu boleh difahami sebagai satu gelombang yang boleh berlaku di Semenanjung.

Maksudnya orang Cina tidak akan kekal memberi sokongan kepada satu parti sahaja, mereka semakin terbuka untuk memberi sokongan kepada pelbagai parti dan antaranya Pas.

PEMIMPIN PELAPIS
Bagaimana dengan kesediaan pemimpin pelapis dalam Pas?
Dalam mana-mana parti itu biasa, kita akan beri lebih ruang kepada anak muda. Dari dulu lagi dalam Pas banyak gelombang yang dicipta anak muda.

Contoh 1984, gagasan kepimpinan ulama yang dibawa pemuda, itu perkara besar dikemukakan sehingga merubah kepimpinan dan pendekatan Pas.

Jadi, kita bagi ruang luas kepada anak muda untuk main peranan dan pada masa sama bina pengalaman, meneroka peluang.

Jumlah pengundi anak muda sangat besar sekarang, kalau lihat di Sabah pun, pengundi muda mempunyai suara yang besar di mana-mana DUN dan Parlimen. Pas ada ramai pemimpin muda berpotensi. Saya juga yakin suatu masa negara ini juga akan dipimpin pemimpin muda.

Adakah masalah dalam Bersatu boleh menjejaskan kerjasama dan peluang gabungan PN dalam PRU-16?
Pas ada banyak pengalaman kerjasama, kita bekerjasama dengan parti yang kuat, pertengahan, lemah, jadi pelbagai.

Seingat saya dalam 15 pilihan raya umum, ada dua sahaja Pas bertanding solo, jadi saya hendak simpulkan bahawa peranan kerjasama ini sangat besar bagi Pas.

Jadi, kita tidak nafikan apa yang berlaku kepada rakan-rakan komponen akan beri kesan kepada kita.

Berdasarkan pengalaman dari dulu sampai sekarang, kadang-kadang berlaku sedikit sebanyak perbezaan pandangan mungkin ditafsirkan sebagai pergeseran, itu perkara biasa dalam sesebuah parti dan ia akan selesai.

Dalam hal ini, kita mengharapkan rakan kita dapat selesaikan sebelum hadapi PRU-16. Cuma apa yang berlaku sedikit sebanyak ia akan memberi kesan kepada PN. Malah kekalahan di Sabah juga jadi isyarat untuk kita perbaiki dan memulihkan keyakinan masyarakat terhadap PN.

Krisis dan pertembungan yang berlaku dalam parti perlu diselesaikan kepimpinan. Kita perlu tampil sebagai sebuah parti atau gabungan yang bersedia untuk menjadi kerajaan.

Adakah MIC boleh menjadi nilai tambah jika sertai PN?
Sebagai parti yang sudah lama di negara ini, pasti ada nilai tambah. Sebab, sokongan rakyat ini boleh berubah-ubah.

Contoh, dulu Gerakan pernah jadi kerajaan Pulau Pinang kemudian hilang sokongan dan diambil DAP. Saya tidak tolak kemungkinan satu hari nanti orang Cina akan kembali menyokong Gerakan.

DAP satu waktu dulu pun pernah hilang sokongan tapi dapat kembali.

Maksudnya ini keunikan rakyat Malaysia tidak kira apa bangsa, UMNO satu waktu, tiada orang kata UMNO boleh kalah, tapi hari ini mereka tidak dapat sokongan.

Jadi, saya yakin mana-mana parti berpeluang untuk dapat sokongan dan kembali dapat sokongan.

Mungkin rakyat hendak lihat MIC dalam gabungan mana, jadi rakyat boleh beri keyakinan semula sebab masing-masing ada rekod dan kejayaan tersendiri dalam memberi khidmat kepada rakyat.

PERDANA MENTERI DARIPADA PAS

Jadi, Pas yakin boleh memberi cabaran kepada parti lain di kawasan bukan kubu seperti di bandar?
Ya, kita ada keyakinan itu boleh berlaku melihat kepada kemenangan sulung di Sabah.

Setakat mana keyakinan Datuk untuk melihat bahawa pemimpin daripada Pas juga mampu menjadi Perdana Menteri?
Akan sampai masanya, saya selalu ulang, Perdana Menteri akan datang daripada parti Pas, tapi bila itu belum ada jawapan tepat. Sebagaimana rakyat menyaksikan Menteri Besar daripada Pas.

Dalam Pas juga ada ramai berkemampuan untuk jadi Perdana Menteri, dan saya melihat pandangan umum rakyat, ada yang meletakkan Menteri Besar Terengganu selain Menteri Besar Kedah, jadi di situ sudah ada pandangan yang pelbagai daripada rakyat. Ini perkembangan baharu yang menggambarkan bahawa pemimpin Pas mula diterima bukan sekadar di negeri tapi juga peringkat Persekutuan.

Sebelum ini orang tidak bertanya siapa bakal perdana menteri daripada Pas, tapi sekarang selalu soalan yang sama diulang. Sewaktu muktamar di Kedah baru-baru ini, hampir setiap kali sidang media ada persoalan itu, hingga Presiden jawab (pemimpin) yang bukan 70 tahun dan ke atas.

Lebih dari 20 tahun negara ini dibentuk dari sudut politiknya jadi pembangkang mesti ada calon Perdana Menteri dan kita lihat sebelum ini Datuk Seri Anwar Ibrahim sering diangkat sebagai calon, jadi ia seolah menjadi lali, maksudnya setiap parti mesti ada nama yang perlu dicalonkan sebagai Perdana Menteri. Tapi itu bukan budaya dalam Pas.

Adakah budaya Pas yang tidak mahu menonjolkan calon Perdana Menteri itu memberi kesan keyakinan rakyat untuk memilih Pas?

Daripada satu sudut lain, kalau terlalu menonjolkan individu tertentu, atau dalam situasi mutakhir ini, individu itu akan menerima serangan, pelbagai tekanan dan ancaman dan sasaran.

Jadi, buat masa sekarang ini belum sampai masa untuk kita kemukakan (calon Perdana Menteri). Tetapi Pas sentiasa bersedia.

MANA DATANG EKSTREMISNYA?
Bagaimana hendak tepis tanggapan Pas parti ekstremis, menggunakan agama dan perkauman untuk dapat undi?
Bagi saya ini yang cuba dan sengaja digambarkan oleh lawan Pas, sebab itu pada saya mungkin satu-satunya ‘senjata’ yang dirasakan boleh menjarakkan rakyat dan sokongan orang bukan Melayu kepada Pas adalah apabila parti ini digambarkan ekstremis.

Tapi kalau rakyat menilai dengan pandangan terbuka, mereka boleh lihat sendiri bagaimana kita menjadi kerajaan negeri di Kedah, Kelantan mahu pun Terengganu, di mana ekstremnya? Tidak nampak dan tidak ada orang dalam kalangan bukan Melayu yang ditindas pun, bahkan keterbukaan kerajaan negeri kepada pelbagai kaum dan agama diakui oleh mereka yang pergi dan tinggal di sana.

Bagi saya, ketakutan bukan Melayu dan bukan Islam kepada Pas dari sehari ke sehari semakin terhakis, lebih-lebih lagi bila mereka menyaksikan sikap keterbukaan yang ada pada Pas.

Jadi, menjadi tanggungjawab kita untuk menangkis semua gambaran negatif yang tidak sepatutnya kepada Pas dengan kita menyantuni dan mendekati semua pihak.

NEGERI BAWAH PAS MUNDUR?
Bagaimana pula untuk melenyapkan persepsi bahawa negeri ditadbir Pas mundur, tidak maju?
Ini satu lagi gambaran lawan terhadap kerajaan ditadbir Pas. Namun daripada sudut dalaman ia menjadi satu cabaran untuk kita menjawab. Jawab tidak perlu dengan lisan tapi kerja kita dan buktikan.

Saya kira proses untuk menyelesaikan masalah rakyat itu sentiasa berjalan, bertambah baik dari hari ke hari. Kita ambil contoh di Kedah, yang kehidupan rakyat dan negeri itu sendiri seolah-olah digazet negeri pertanian.

Ini antara faktor menyebabkan kita tidak ada tanah yang boleh diguna untuk industri dan sebagainya. Tapi dari sehari ke sehari kita berjaya buktikan bahawa kita boleh maju dan berada seiring dengan negeri lain apabila pelaburan masuk.

Peringkat Persekutuan juga perlu menunaikan hak-hak negeri dengan baik, dengan kemajuan yang seimbang untuk semua negeri. Sampai bila hendak ‘menganaktiri’ sesebuah negeri itu kerana tidak dipimpin oleh parti yang tidak sealiran dengan Pusat?

Kalau itu budaya yang mahu terus dibawa, tidak akan berlaku reformasi di negara ini. Semua negeri dan semua rakyat patut mendapat hak pembangunan dan keperluan asas yang sama.

Saya rasa rakyat yang semakin bijak dan boleh membuat penilaian, dan jika dibangkitkan soal kalau Pas pimpin akan mundur, miskin dan melarat, saya rasa satu masa orang dah tidak boleh terima pandangan sebegitu.

Kalau kita tengok kepada negara-negara luar, pertukaran parti yang memerintah jadi perkara biasa dan pelaksanaan dasar dan sudut pembangunan diteruskan seperti biasa walau bertukar kerajaan atau parti.

Yang paling utama rakyat mahu lihat adalah ketelusan kita dalam bekerja. Suatu hari orang akan mengakui dengan ketelusan yang ada pada Pas dalam melaksanakan kerja, inilah yang akan mengubah lanskap negeri yang ditadbir kita.

LGBT DAN KELOMPONGAN UNDANG-UNDANG
Isu dan masalah LGBT, membarah dalam negara? Apa komen Datuk?
Ini satu lagi kegagalan sistem sosial negara kita. Mungkin daripada satu sudut, terlalu terbuka, diberi kebebasan menyebabkan orang tidak lagi ada rasa takut melakukan perkara luar tabiie.

Ada banyak perkara, satunya kelompongan kepada undang-undang, sehingga polis tidak boleh tahan dan kenakan tindakan. Kalau tidak ada undang-undang sivil, kita ada undang-undang syariah.

Kita juga perlu masyarakat yang peka, kerana isu ini melibatkan semua. Apa yang berlaku ini mendedahkan sesuatu yang terselindung dan tersembunyi dalam bentuk yang sudah parah dan membarah bila melibatkan sejumlah yang ramai dan pelbagai latar belakang termasuk pendidik.

Memang kita rasa terpukul kerana isu seumpama ini, kita kena bersama semua pihak.

Ini baru satu yang terdedah, mungkin ada tempat-tempat lain turut berlaku dan kerana itu sistem pendidikan kita perlu diperbaiki dalam menangani masalah sosial. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN