Tahun baharu 2026 peluang untuk urus kewangan lebih baik

Tahun baharu 2026 peluang untuk urus kewangan lebih baik

TAHUN baharu membawa peluang untuk memperbaiki tabiat lama dan membina amalan kewangan baharu yang lebih bijak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN baharu sering menjadi titik permulaan kepada banyak perkara. Ini masa yang tepat untuk kita melihat kembali perjalanan hidup, menilai semula apa yang perlu diperbaiki dan menetapkan matlamat baharu.

Dalam senarai azam tahunan, perancangan kewangan wajar diberi keutamaan kerana keupayaan mengurus wang memberi kesan besar kepada kestabilan hidup, emosi dan masa depan keluarga.

Ekonomi hari ini tidak lagi seperti dahulu. Kos sara hidup meningkat secara berterusan, komitmen kewangan bertambah dan dunia digital membuka peluang serta risiko baharu.

Ramai individu bekerja keras setiap hari, tetapi masih bergelut mengurus perbelanjaan asas. Ada yang mempunyai pendapatan tetap tetapi tidak mempunyai simpanan kecemasan.

Ada yang berbelanja mengikut emosi tanpa memahami kemampuan sebenar. Ada juga yang bergantung kepada hutang jangka pendek untuk menampung perbelanjaan bulanan. Situasi ni menunjukkan keperluan mendesak untuk membina asas kewangan yang lebih kukuh.

Dalam masa yang sama, perkembangan teknologi yang pesat turut membawa cabaran besar kepada keselamatan kewangan. Jenayah kewangan siber meningkat dengan ketara dan kini menjadi salah satu ancaman utama kepada masyarakat.

Statistik mencatatkan bahawa dari Januari hingga September 2025, sebanyak hampir 47,000 kes penipuan dalam talian dilaporkan dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM1.9 billion.

Angka ini bukan sekadar statistik, tetapi gambaran jelas bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa jenayah kewangan siber.

Mereka yang terdedah kepada ancaman ini ialah individu yang berada dalam tekanan kewangan atau kurang peka terhadap keselamatan digital.

Perkara yang paling dibimbangi ialah tiadanya perancangan kewangan dalam kalangan individu itu sendiri.

Ketiadaan perancangan kewangan yang baik menjadikan seseorang lebih mudah terperangkap dalam skim cepat kaya, pelaburan palsu dan serangan siber yang menyasarkan kelemahan pengguna.

Mangsa kerap terdiri daripada mereka yang terdesak mendapatkan duit tambahan dengan cepat. Tidak mempunyai simpanan kecemasan atau terbeban dengan komitmen bulanan.

Keadaan ini menunjukkan bahawa literasi kewangan dan disiplin perbelanjaan bukan sahaja penting untuk kestabilan hidup, tetapi juga sebagai benteng perlindungan daripada ancaman kewangan moden.

Perancangan kewangan yang berkesan tidak memerlukan formula yang rumit. Ia bermula dengan langkah mudah seperti menilai keadaan kewangan sendiri.

Melihat kembali corak perbelanjaan tahun lalu membantu seseorang mengenal pasti punca kebocoran wang. Ada yang menyedari bahawa perbelanjaan kecil yang dilakukan setiap hari memberikan kesan besar kepada baki kewangan bulanan.

Ada pula yang hanya sedar setelah menghitung jumlah langganan aplikasi yang jarang digunakan. Langkah kecil ini membuka ruang untuk perubahan yang lebih teratur.

Setelah menyedari kedudukan kewangan sendiri, menetapkan matlamat kewangan menjadi langkah seterusnya. Matlamat yang realistik lebih mudah dicapai berbanding sasaran yang terlalu besar.

Menyimpan sedikit setiap bulan, mengurangkan pembelian tidak perlu atau menyelesaikan satu hutang kecil merupakan permulaan yang baik. Apabila dilakukan secara berterusan, matlamat kecil ini berubah menjadi pencapaian yang memberi keyakinan kepada diri.

Penyediaan bajet bulanan juga sangat membantu. Bajet memberi gambaran jelas tentang kemampuan sebenar seseorang.

Ia bukan bertujuan menyekat keseronokan hidup, tetapi memastikan setiap ringgit dibelanjakan dengan penuh kesedaran dan tanggung jawab. Dalam banyak situasi, masalah kewangan berlaku kerana perbelanjaan dibuat tanpa perancangan.

Oleh itu, bajet membantu mengurangkan tekanan kewangan dan mengelakkan keputusan tergesa-gesa yang akhirnya membawa kepada hutang.

Selain itu, simpanan kecemasan perlu dijadikan keutamaan. Kehidupan penuh dengan perkara tidak dijangka.

Oleh itu simpanan kecemasan sekurang-kurangnya satu bulan perbelanjaan asas dapat menjadi penyelamat ketika berlaku kejadian mendesak.

Dana ini juga mengurangkan kecenderungan seseorang untuk mencari “jalan mudah” melalui tawaran meragukan atau terjerat dengan skim pinjaman yang membebankan.

Dalam hal ini, pengurusan hutang memainkan peranan penting dalam memacu kesejahteraan kewangan. Hutang kad kredit dan skim pinjaman peribadi wajar diberi perhatian kerana kadar faedah pinjaman yang tinggi.

Oleh itu, menyusun semula bayaran, menyelesaikan hutang kecil atau mengurangkan penggunaan kad kredit membantu mengurangkan tekanan kewangan. Apabila hutang terkawal, keputusan kewangan dapat dibuat dengan lebih rasional.

Dalam dunia digital hari ini, perancangan kewangan perlu seiring dengan kesedaran keselamatan siber. Penipu semakin kreatif dan menggunakan pelbagai taktik untuk memerangkap mangsa melalui mesej, panggilan palsu atau laman web tiruan.

Prinsip asas seperti tidak berkongsi maklumat perbankan, menyemak kesahihan pelaburan dan tidak terburu-buru membuat keputusan mampu melindungi seseorang daripada kerugian besar. Individu yang stabil secara kewangan biasanya lebih berhati-hati dan tidak mudah diperdayakan kerana mereka tidak berada dalam keadaan terdesak.

Akhirnya, perancangan kewangan bukan sekadar menabung atau mengira perbelanjaan. Ia adalah proses membina kehidupan yang lebih tenang, lebih teratur dan lebih selamat.

Tahun baharu membawa peluang untuk memperbaiki tabiat lama dan membina amalan kewangan baharu yang lebih bijak. Dengan kesedaran, disiplin dan sikap berhati-hati dalam urusan kewangan, setiap individu mampu menghadapi tahun baharu dengan penuh keyakinan.

Tahun baharu ialah lembaran kosong yang menunggu untuk ditulis dengan cerita yang lebih baik.

Kewangan yang terancang memberikan ruang untuk kita bergerak dengan lebih bebas, membuat keputusan dengan lebih bijak dan melindungi keluarga daripada risiko yang tidak dijangka.

Semoga tahun baharu 2026 menjadi titik perubahan kepada kewangan yang lebih sihat, pilihan hidup yang lebih bijak dan masa depan yang lebih cerah. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Azwan Abdullah ialah Ketua Bahagian Jaringan dan Data Raya di Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Universiti Malaysia Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×