Selamatkan beras putih tempatan

Selamatkan beras putih tempatan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHAP Sara Diri (Self-Sufficiency Level, SSL) beras negara dilaporkan berada di bawah 60 peratus merupakan satu petunjuk yang membimbangkan dan tidak boleh dipandang ringan.

Kenyataan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, bahawa kedudukan ini “tidak berapa baik dan perlu ditangani segera” wajar dijadikan isyarat jelas bahawa sektor makanan ruji negara sedang berdepan cabaran struktur yang serius.

Beras bukan sekadar komoditi ekonomi, malah merupakan makanan asas majoriti rakyat Malaysia serta elemen strategik dalam keselamatan negara.

Kemerosotan SSL beras berpunca daripada gabungan beberapa faktor utama.

Antaranya ialah penyusutan kawasan sawah padi akibat penukaran guna tanah kepada projek perumahan dan perusahaan, perubahan iklim yang semakin ketara seperti banjir dan cuaca tidak menentu, serta cabaran pasaran yang menyaksikan sambutan terhadap beras putih tempatan kekal rendah.

Kesemua faktor ini saling berkait dan jika tidak ditangani secara menyeluruh, berisiko menjerumuskan negara kepada tahap kebergantungan import yang lebih tinggi.

Penukaran kawasan sawah padi kepada pembangunan bukan pertanian merupakan antara punca paling kritikal. Dalam konteks urbanisasi pesat dan peningkatan nilai hartanah, tanah sawah sering dianggap tidak ekonomik berbanding pembangunan perumahan atau komersial.

Akibatnya, kawasan pengeluaran padi semakin mengecil, khususnya di luar jelapang utama. Trend ini menjejaskan kapasiti pengeluaran domestik dalam jangka panjang dan melemahkan asas keterjaminan makanan negara.

Lebih membimbangkan, proses ini sering berlaku tanpa perancangan guna tanah yang mengambil kira kepentingan keselamatan makanan nasional.

Dalam masa yang sama, perubahan iklim menambah tekanan terhadap sektor padi. Banjir luar jangka, hujan lebat berpanjangan, serta musim kering yang tidak menentu menjejaskan kitaran tanaman, merosakkan infrastruktur pengairan, dan meningkatkan risiko kegagalan tuaian.

Pesawah kecil khususnya terdedah kepada kerugian pendapatan, sekali gus mengurangkan minat generasi muda untuk kekal dalam sektor pertanian padi.

Tanpa pelaburan serius dalam adaptasi iklim dan teknologi pertanian pintar, pengeluaran padi tempatan akan terus terdedah kepada ketidaktentuan alam sekitar.

Mohamad Sabu turut menjelaskan bahawa permintaan terhadap beras putih tempatan masih rendah hanya sekitar 10 hingga 15 peratus sahaja.

Realiti ini menunjukkan bahawa masalah SSL bukan semata-mata isu pengeluaran, tetapi turut melibatkan tingkah laku pengguna dan struktur pasaran.

Penurunan harga beras import menyebabkan pengguna memilih beras yang lebih murah, walaupun beras tempatan menawarkan jaminan kualiti dan menyokong pendapatan pesawah tempatan.

Keadaan ini menimbulkan dilema dasar antara menjaga kebajikan pengguna dan memastikan kelangsungan pengeluaran domestik.

Sekiranya SSL beras terus merosot, implikasinya terhadap negara adalah besar dan berlapis.

Dari sudut ekonomi, kebergantungan tinggi kepada import mendedahkan Malaysia kepada risiko turun naik harga global, gangguan rantaian bekalan, serta ketidaktentuan geopolitik.

Krisis makanan global, sekatan eksport oleh negara pengeluar, atau konflik antarabangsa boleh menyebabkan bekalan beras terganggu dan harga melonjak mendadak. Dalam keadaan ini, golongan berpendapatan rendah akan menjadi golongan yang paling terkesan.

Dari sudut sosial pula, kemerosotan SSL boleh meningkatkan ketidaksamarataan dan tekanan kos sara hidup, khususnya di kawasan bandar dan luar bandar miskin.

Beras sebagai makanan ruji yang murah dan mudah diakses berfungsi sebagai “penampan sosial”. Apabila harga meningkat atau bekalan terhad, kestabilan sosial turut terancam.

Dalam jangka panjang, kegagalan menjamin bekalan makanan asas boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan mengurus keperluan asas negara.

Oleh itu, intervensi dasar yang menyeluruh dan bersepadu amat diperlukan. Pertama, perlindungan kawasan sawah padi strategik mesti diperkukuh melalui undang-undang guna tanah yang lebih tegas.

Kawasan jelapang padi dan sawah produktif perlu diwartakan sebagai zon keselamatan makanan yang tidak mudah ditukar guna. Insentif fiskal dan pampasan munasabah boleh diberikan kepada pemilik tanah bagi memastikan aktiviti pertanian kekal berdaya maju.

Kedua, pelaburan dalam adaptasi perubahan iklim perlu dipercepat. Ini termasuk menaik taraf sistem pengairan dan saliran, penggunaan varieti padi tahan banjir dan kemarau, serta penerapan teknologi pertanian pintar seperti ramalan cuaca berasaskan data dan mekanisasi moden.

Sokongan kewangan dan latihan kepada pesawah kecil amat penting bagi meningkatkan daya tahan mereka terhadap risiko iklim.

Ketiga, isu permintaan terhadap beras putih tempatan perlu ditangani melalui pendekatan pasaran dan kesedaran pengguna.

Kempen nasional yang konsisten boleh dilaksanakan bagi meningkatkan keyakinan terhadap kualiti beras putih tempatan, termasuk pelabelan yang jelas, jaminan kualiti, dan strategi penjenamaan yang lebih kompetitif.

Dalam masa yang sama, mekanisme harga yang lebih seimbang perlu dirangka supaya beras tempatan kekal mampu milik tanpa menekan pendapatan pesawah.

Selain itu, pembangunan kawasan luar jelapang wajar dijadikan alternatif strategik dalam usaha meningkatkan SSL. Selama ini, tumpuan pengeluaran padi banyak bergantung kepada jelapang utama seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

Walaupun kawasan ini penting, kebergantungan berlebihan meningkatkan risiko sistemik apabila berlaku bencana atau gangguan. Pembangunan sawah padi berskala sederhana di luar jelapang, khususnya boleh mempelbagaikan sumber pengeluaran dan meningkatkan daya tahan nasional.

Pembangunan luar jelapang perlu disokong dengan infrastruktur asas, akses pembiayaan, pemindahan teknologi, serta penglibatan koperasi dan sektor swasta.

Pendekatan kluster pertanian dan integrasi rantaian nilai boleh membantu meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos pengeluaran.

Di samping itu, inisiatif ini berpotensi merancakkan ekonomi luar bandar, mengurangkan jurang wilayah dan menarik penyertaan belia dalam sektor pertanian moden.

Kemerosotan SSL beras di bawah 60 peratus bukan sekadar isu pertanian, tetapi cabaran strategik yang menyentuh keselamatan makanan, kestabilan ekonomi dan kesejahteraan sosial negara.

Tindakan segera, berani dan berasaskan bukti amat diperlukan bagi membalikkan semula trend ini.

Melalui perlindungan tanah pertanian, adaptasi perubahan iklim, pembaharuan pasaran beras, serta pembangunan kawasan luar jelapang, Malaysia masih berpeluang memperkukuh SSL beras dan memastikan keterjaminan makanan untuk generasi kini dan akan datang.

Jika langkah-langkah ini dilaksanakan secara konsisten dan bersepadu, Malaysia bukan sahaja mampu meningkatkan SSL beras, malah membina sistem makanan yang lebih berdaya tahan, inklusif dan lestari.

Kegagalan bertindak sekarang hanya akan mewariskan risiko yang lebih besar kepada generasi akan datang. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Ahmad Zubir Ibrahim ialah pensyarah di Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN