Episod ribut tropika Senyar sudah berlalu, begitu juga luruan sejuk yang melanda Asia Tenggara dan menyebabkan cuaca ekstrem serta banjir di Vietnam, selatan Thailand, Sumatera dan Semenanjung Malaysia. Walaupun sudah berlalu, impaknya masih dirasai di banyak kawasan yang masih banjir.
Sejak pertengahan November 2025, luruan sejuk pertama MTL tahun ini membawa hujan lebat berpanjangan dan banjir teruk di Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Vietnam dan Thailand.
Tidak lama selepas itu, taufan Koto terbentuk di Laut China Selatan, siklon Ditwah muncul di timur Lautan Hindi, dan ribut tropika Senyar pula terbentuk di Selat Melaka, buat pertama kali dalam sejarah.
Melihat tiga sistem ribut dan luruan sejuk berlaku serentak di rantau ini sesuatu yang luar biasa, mengingatkan saya kepada filem The Day After Tomorrow. Kejadian berlaku serentak ini amat jarang, mungkin hampir mustahil. Malaysia sebelum ini hanya pernah dilanda dua ribut tropika: Greg (1996) dan Vamei (2001).
Laluan Senyar juga unik dijana di Selat Melaka, bergerak ke Aceh, membuat pusingan U, kemudian menuju ke pantai barat Semenanjung dan mendarat di antara Selangor dan Negeri Sembilan pada malam 27 November 2025 sebelum melemah dan merentasi Semenanjung. Ketika rencana ini ditulis, sisa-sisa Senyar sedang bergerak ke Laut China Selatan dan dijangka diserap oleh Koto.
Potensi impak Senyar amat meresahkan penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, mengingatkan mereka kepada lekukan tropika pada Disember 2021 yang menyebabkan kecelaruan cuaca dan banjir besar di Lembah Klang.
Namun, kita bersyukur impak ribut tropika Senyar tidak seteruk di Sumatera dan Aceh. Saiz dan intensitinya juga lebih kecil berbanding Koto dan Ditwah, apatah lagi jika dibandingkan dengan Taufan Fung-Wong (atau Uwan), taufan super yang melanda Filipina pada awal November 2025.
Tahun 2025 menyaksikan rentetan taufan melanda Filipina dan Vietnam. Secara purata, sekitar 20 ribut tropika dan taufan melanda negara itu setiap tahun, dengan 8 hingga 9 mencapai kekuatan taufan. Namun, sehingga akhir November, sudah 14 taufan melanda Filipina, dan lima daripadanya adalah taufan kuat termasuk Ragasa dan Fung-Wong, kedua-duanya dikategorikan sebagai taufan super.
Pembentukan taufan dan cuaca ekstrem sangat dipengaruhi oleh suhu permukaan laut; apabila laut semakin panas, lebih banyak ribut tropika dan taufan yang kuat dapat terbentuk.
Tahun 2025 amat unik. La Niña mengukuhkan angin timuran, membawa lebih banyak kelembapan ke Asia Tenggara dan menjadi “bahan api” kepada kecelaruan cuaca.
Pada masa sama, air laut bersuhu tinggi ditolak ke barat Lautan Pasifik, menjana taufan berintensiti tinggi. Di Lautan Hindi pula, Indian Ocean Dipole berfasa negatif turut menumpukan kelembapan dan air laut panas ke rantau Asia Tenggara.
Melihat Ditwah, Senyar, Koto, luruan sejuk, serta kehadiran La Niña dan Indian Ocean Dipole berfasa negatif berlaku serentak adalah sesuatu yang hampir tidak pernah berlaku. Pemanasan global turut menyumbang kepada kecelaruan ini. Laut di rantau kita semakin panas saban tahun, malah lebih cepat berbanding kawasan lain.
Pemanasan global juga mempengaruhi kelakuan luruan sejuk melalui kesannya terhadap polar jet stream dan subtropical jet stream, yang mengawal intensiti, tempoh dan kekerapan luruan sejuk.
Kecelaruan ini tidak akan berakhir dengan episod kali ini, ia boleh menjadi norma pada masa depan jika dunia gagal menangani perubahan iklim. Malaysia perlu meningkatkan kesiapsiagaan, bukan sahaja di pantai Timur Semenanjung, tetapi di pantai Barat dan seluruh negara.
Negara ini juga perlu menyegerakan projek-projek tambatan banjir bagi mengurangkan impak banjir akibat kecelaruan cuaca yang semakin menjadi-jadi ini dan mengurangkan keperitan hidup rakyat.
Fredolin Tangang ialah Profesor Emeritus dalam bidang klimatologi dan perubahan iklim di Universiti Kebangsaan Malaysia, Felo Akademi Sains Malaysia dan kini bertugas di Universiti Brunei Darussalam. Beliau juga bekas Naib Pengerusi Kumpulan Kerja 1 Panel Perubahan Iklim Antara-Kerajaan (IPCC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).










