SIKAP, yakni pemikiran dan tindakan, sesetengah daripada kita terhadap pihak yang mengalami kesusahan, yang ditunjukkan secara terbuka, antaranya dalam media sosial, bukan sahaja amat menjijikkan.
Juga ia provokatif sekali sehingga telah menyebabkan kemarahan yang kemudiannya boleh mencetuskan perbalahan.
Hal ini bertambah parah selain malang apabila yang terlibat ialah mereka yang bukan sahaja tergolong dalam kepimpinan negara, juga dalam pemerintahan semasa. Sehubungan sikap tidak bertanggungjawab ini, ia mendapat sambutan pula daripada ramai yang seetnik dengan golongan pemimpin ini.
Hal ini sedemikian pada etnik berkenaan itu kerana sudah menjadi norma, iaitu perbuatan yang tidak dianggap salah pun dalam sesuatu keadaan itu.
Juga nilai, yakni kelakuan yang dianggap tidak salah, justeru, tiada larangan untuk dihentikan. Inilah yang sebenarnya berlaku dengan sikap buruk yang diperlihat itu. Ia tiada simpati, apatah lagi empati, terhadap pihak yang ditimpa kesusahan.
Sesungguhnya norma dan nilai ini secara umumnya bukan sahaja dikongsi secara berleluasa, juga diamalkan tanpa adanya rasa segan, malah dengan tiada berasa bersalah apa-apa pun oleh etnik Cina.
Hal begini dapat dilihat pada banyak keadaan kerana itulah yang kini diamalkan etnik Cina di negara ini.
Antaranya pada kematian satu sosok Cina beberapa tahun yang lepas. Mendiang yang tidak menyebelahi etnik Cina dalam banyak tuntutan mereka kerana langsung tidak berasas di bumi Melayu-Islam ini, bukan sahaja dikutuk habis-habisan.
Juga kematiannya diraikan oleh ramai dalam kalangan etnik Cina di negara ini.
Itulah rata-rata amalan etnik Cina yang bukan lagi ibarat nilai setitik rosak susu sebelanga, iaitu kesalahan segelintir yang memusnahkan nama baik seluruh etnik Cina. Sebaliknya ia sesungguhnya adalah cara hidup yang dipelajari, kemudian dikongsi pula dan akhirnya disebarkan dalam kalangan mereka.
Seperkara penting mengenai cara hidup ini ialah ia tidak sama, malah kekadang amat berbeza antara satu sama lain.
Hal ini dapat dilihat dengan jelas pada sikap tiada simpati, sebaliknya yang penuh dengan provokasi, daripada etnik Cina terhadap kesusahan yang berlaku pada pihak lain, termasuklah etnik sendiri.
Dalam pada ini, walaupun kesusahan itu berlaku pada hanya pihak tertentu dalam etnik Melayu, seluruh etnik Melayu tidak dapat menerima provokasi yang dilemparkan oleh banyak pihak dalam etnik Cina.
Ini kerana bukan sesekali cara hidup etnik Melayu untuk meraikan kesusahan yang menimpa pihak lain, walau pada pihak lawan mereka sekali pun.
Ia sesekali bukan norma, apatah lagi nilai dalam budaya etnik Melayu yang mengandungi ajaran Islam yang melarang keras umatnya melakukan perkara yang terkutuk itu dalam apa-apa jua bentuk.
Sebaliknya kesusahan itu hendaklah dijadikan iktibar untuk sama-sama disedari lalu diinsafi. Sudah tentu tidak sesekali sebagai hiburan yang sangat biadap sifatnya selain berdosa.
Perbezaan cara ini hendaklah ditangani dengan bijak sekali oleh etnik Cina. Ini kerana mereka tinggal di bumi Melayu-Islam dan sebagai minoriti pula.
Dengan ini, etnik Cina bukan sahaja hendaklah, malah wajib bertindak dengan jauh lebih bijak dalam konteks budaya etnik Melayu dan ajaran Islam.
Oleh itu, kesalahan yang berlaku itu hendaklah segera dipohon maaf. Jika boleh secara ikhlas untuk tidak melakukannya lagi.
Ia bukan yang sebaliknya dengan memburukkan keadaan apabila banyak pihak lain dalam etnik Cina ikut tampil, untuk bukan sahaja menyokong kesalahan itu. Juga mengapi-apikan keadaan dengan memberi pelbagai dalil bahawa perbuatan meraikan itu adalah tidak salah pun.
Dengan sikap yang sebegini, bagaimanakah etnik Cina boleh diharapkan oleh etnik Melayu untuk ikut memerintah mereka. Apatah lagi mahu menjadi Ketua Kerajaan di bumi Melayu-Islam ini seperti yang sangat dihasratkan mereka.
Inilah persoalan besar lagi serius apabila etnik Cina melalui kepimpinan mereka didapati gagal mengetahui, apatah lagi memahami budaya etnik Melayu, walaupun sedikit, untuk ikut mengurus tadbir bumi Melayu-Islam ini.
Sesungguhnya pengetahuan dan pemahaman ini penting sekali untuk mereka ikut serta dalam memerintah bersama-sama etnik Melayu. Malang sekali unsur pragmatik semudah ini pun gagal dikenal pasti oleh etnik Cina.
Walaupun selalu membangkit keadaan progresif di sebilangan tempat di dunia di mana etnik lain yang mendatangi sesebuah tempat itu, boleh menerajuinya sebagai Ketua Kerajaan, etnik Cina sememangnya bukan sahaja gagal, juga bebal melihat kebenaran yang wujud.
Dalam hal ini, etnik Cina lupa, atau sengaja buat-buat tidak tahu tentang realiti etnik lain yang mendatangi sesebuah tempat itu. Etnik lain itu bukan sahaja menjadi penting dalam bisnes setempat sehingga ikut membangunkan ekonominya dengan pesat.
Juga jauh lebih utama daripada itu ialah etnik lain itu bersama-sama dengan etnik setempat juga membangunkan institusi budaya lokal, antaranya bahasa dan warisan yang ikut mereka hayati.
Dengan ini, mereka didapati sanggup berasmilasi atau setidak-tidaknya sedia berintegrasi sepenuhnya ke dalam struktur sosiobudaya tempatan.
Inilah yang sangat membezakan etnik Cina Malaysia dengan etnik lain yang berhijrah ke tempat baharu. Sehubungan ini, etnik Cina Malaysia mahu hanya meraih kejayaan dalam bidang ekonomi sahaja di bumi Melayu-Islam ini.
Dalam hal perbezaan ini, etnik Cina Malaysia didapati tidak mahu menyokong institusi budaya Melayu. Ini dapat dilihat apabila sebilangan besar masih tidak boleh berbahasa Melayu dan juga tidak mengetahui cara hidup etnik Melayu.
Dengan sikap sedemikian yang berterusan, sukar sekali untuk etnik Cina diterima oleh etnik Melayu untuk mereka ikut memerintah negara ini. Ini kerana citra bumi Melayu-Islam tidak mampu diangkat, malah diuruskan untuk melestarikannya.
Ini kerana pandangan dunia etnik Cina, iaitu konsepsi mereka yang terdiri daripada sikap, nilai, etika dan seumpamanya pada amalan Cina itu, didapati bukan sahaja sangat tidak selari. Malah amat bertentangan dengan budaya etnik Melayu yang terikat dengan ajaran Islam.
Sehingga etnik Cina sedar dan insaf akan norma dan nilai mereka yang bukan sahaja tidak sesuai. Juga yang bertentangan dengan yang ada dalam budaya etnik Melayu, selagi itulah mereka tidak layak untuk ikut serta dalam memerintah bumi Melayu-Islam ini.
Natijahnya ialah etnik Cina bukan sahaja hendaklah, malah wajib menyanjung tinggi filsafat peribahasa Melayu di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Ia tidak lain tidak bukan adalah pematuhan adat dan peraturan di tempat mereka berada.
Justeru, sesuaikanlah diri dengan persekitaran setempat untuk ikut mempertingkat citra Melayu-Islam di negara ini. Dengan ini, ikutilah norma dan nilai setempat dengan sebaik-baiknya sebagai cara hidup wajib di bumi Melayu-Islam ini.
Selanjutnya jangan sesekali angkuh di tempat orang dengan sikap komunalisme etnik Cina yang melampau. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










