DALAM meniti hari-hari penghujung tahun 2025 ini, kami berdua ingin membawa penelitian para pembaca kepada sumbangan yang amat bermakna oleh tokoh unggul Pendeta Za’ba.
Beliau adalah tokoh yang unik kerana sebagai pencinta bahasa dan bangsa, beliau menjalinkan kedua-dua unsur ini bagi memimpin dan menyuluh seluruh generasinya agar lahir sebagai insan yang tidak hanya pasrah kepada nasib dan hanya berpeluk tubuh menantikan bulan jatuh ke riba.
Obor kebijaksanaan Pendeta Za’ba menyala menyinari bangsa dekad-dekad lamanya sehingga ke saat ini ke segenap pelosok negara tercinta khususnya kepada golongan belia pada ketika itu.
Keteguhan serta keprihatinan yang tinggi akan anak bangsanya dalam pemikirannya dipindahkan ke media penulisan meliputi disiplin bahasa, sastera, agama, ekonomi, politik dan sudah tentulah berkaitan pendidikan bangsa.
Pendeta Za’ba adalah tokoh sejagat negara yang wajar dicontohi oleh pemimpin era kini bagi setiap lapisan kepimpinan, tidak kiralah kepimpinan mahasiswa, pertubuhan bukan kerajaan, organisasi mahupun badan-badan korporat.
Daripada Za’ba kita memahami bahawa pemuda itu mesti menjadi insan yang berbakti, pemuda juga mesti memiliki jiwa sebagai pembina jati diri, golongan pemuda itu sebagai penerus perjuangan dan pemuda harapan bangsa itu mestilah memiliki intelektual yang sentiasa dipertingkatkan dan pemuda kelak lahir sebagai seorang nasionalis yang mencintai negara bangsanya.
Belia hari ini sewajarnya memahami serta menghayati sebuah perjalanan yang panjang telah dilalui oleh negara bagi membina serta mewujudkan negara yang memiliki masyarakat yang maju dalam semua aspek dan seterusnya menyumbangkan kepada kemakmuran negara secara holistik.
Belia merupakan aset strategik negara kerana mereka bakal menjadi peneraju utama dalam pembangunan ekonomi, inovasi dan kepimpinan nasional. Namun realitinya, dalam era perubahan teknologi yang begitu pantas,
Malaysia perlu memastikan golongan belia dibekalkan dengan pendidikan berkualiti, kemahiran relevan dan akses kepada peluang ekonomi baharu dan sudah tentu strategi yang dilaksanakan oleh Pendeta Za’ba harus kita telitikan untuk mengembalikan golongan belia sebagai paksi kemajuan negara.
Dalam konteks inilah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) hadir sebagai pemangkin transformasi industri negara, sekali gus membuka ruang baharu kepada generasi muda.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), golongan belia Malaysia berumur 15 hingga 40 tahun kini berjumlah 15.7 juta, iaitu 46.5 peratus daripada keseluruhan populasi.
Jumlah hampir separuh rakyat Malaysia ini menandakan bahawa kedudukan belia amat kritikal dalam menjayakan agenda ekonomi nasional. Namun, laporan Bank Dunia 2024 menunjukkan hampir 36 peratus majikan di Malaysia mendapati graduan tidak memiliki kemahiran yang sepadan dengan keperluan industri, satu petunjuk jelas mengenai jurang kemahiran yang perlu ditangani segera.
Dalam konteks inilah, NIMP 2030 memperkenalkan Dana Pelaburan Bersama Strategik (NIMP CoSIF) sebagai usaha memperkukuh ekosistem pembiayaan industri.
Dana ini bukan sahaja menyokong syarikat besar, tetapi turut memberi ruang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta syarikat pertengahan (MTC).
Melalui keserasian dengan inisiatif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, ia memperluas akses kepada pembiayaan melalui platform Equity Crowdfunding (ECF) dan Peer-to-Peer Financing (P2P). Langkah ini amat penting untuk membuka peluang penyertaan belia dalam keusahawanan teknologi dan industri masa hadapan.
Dalam era digital kini, peluang pekerjaan baharu muncul dalam bidang seperti automasi, kecerdasan buatan, keselamatan siber, mobiliti pintar dan logistik berteknologi tinggi.
Namun Malaysia masih berdepan kesenjangan kemahiran digital. Kajian Institut Penyelidikan Khazanah mendapati lebih 60 peratus belia tidak memiliki kemahiran digital pertengahan atau lanjutan, walaupun pasaran kerja semakin bergantung kepada teknologi. Statistik ini menuntut perubahan besar dalam sistem pendidikan, termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pembangunan modal insan negara.
Pendidikan berkualiti adalah kunci utama untuk memperkasakan belia. Pengkaji pembangunan, Profesor Amartya Sen menekankan bahawa pendidikan bukan hanya alat untuk mendapatkan pekerjaan, tetapi juga proses meluaskan keupayaan manusia bagi membuat pilihan kehidupan yang lebih bermakna.
Dalam konteks Malaysia, pendidikan harus lebih inklusif, futuristik dan responsif kepada keperluan industri. Belia mesti diberi ruang untuk membuat keputusan tentang masa depan pendidikan mereka sama ada akademik, TVET, keusahawanan atau laluan karier alternatif.
Malaysia memerlukan belia yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi mempunyai daya tahan, pemikiran kritis dan kemahiran insani seperti empati, komunikasi, kepimpinan serta kemampuan bekerja dalam persekitaran digital.
Laporan UNESCO pada 2022 mengingatkan bahawa kemahiran insani menjadi kebergantungan masa depan kerana iatidak dapat digantikan sepenuhnya oleh automasi.
Justeru, pendidikan abad ke-21 harus menyeimbangkan kemahiran teknikal dan nilai kemanusiaan agar belia tidak hanya cemerlang sebagai pekerja, tetapi juga sebagai insan dan warganegara.
NIMP 2030 dengan misi memodenkan industri boleh membuka ribuan peluang pekerjaan bernilai tinggi, namun keupayaan belia untuk merebut peluang tersebut bergantung kepada kesiapsiagaan mereka.
Laluan TVET perlu diperkukuh dan diangkat setaraf laluan akademik, sebagaimana negara maju seperti Jerman, Korea Selatan dan Singapura.
Di Malaysia, hanya enam hingga tujuh peratus pelajar lepasan menengah menyertai TVET, jauh lebih rendah daripada standard negara industri.
Jika negara ingin menjadi hab ekonomi serantau, penyertaan belia dalam TVET mesti digandakan agar industri memiliki tenaga mahir yang mencukupi.
Pada masa yang sama, kerajaan dan institusi pendidikan perlu mempromosi budaya keusahawanan belia.
Dengan bantuan pembiayaan seperti CoSIF, ECF dan P2P, belia kini mempunyai peluang lebih besar untuk membangunkan idea inovatif dan menyertai ekonomi digital. Malaysia tidak boleh hanya melahirkan pencari kerja, kita mesti melahirkan pencipta kerja.
Akhirnya, kejayaan masa depan negara bergantung kepada sejauh mana kita mampu membangunkan kapasiti belia hari ini. Setiap graduan yang melangkah ke dewan konvokesyen membawa harapan besar terhadap transformasi Malaysia.
Kita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan, ibu bapa dan pensyarah yang telah menjadi tulang belakang kepada kejayaan mereka.
Semoga detik gemilang ini menjadi permulaan kepada perjalanan profesional yang cemerlang dan penuh makna. Selamat Menyambut Tahun Baharu 2026 dan selamat membina masa depan Malaysia yang lebih maju, berdaya tahan dan inklusif! – UTUSAN
PROFESOR Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Felow Institut Masa Depan Malaysia (MASA).
Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh ialah Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka.










