KETIKA saya bertugas di Kelantan pada 2018, digemparkan dengan kisah seorang kanak-kanak berusia 11 tahun dinikahkan dengan lelaki berusia 41 tahun.
Pada tahun sama, Kelantan mencatatkan 135 kes pernikahan bawah umur daripada 841 kes di seluruh negara. Angka yang menempatkan negeri itu di tangga teratas, menandakan betapa serius dan kompleksnya isu ini.
Apakah undang-undang perkahwinan bawah umur wajar dihapuskan sepenuhnya demi melindungi masa hadapan anak kecil atau masih ada ruang untuk dikekalkan, dengan syarat-syarat tertentu bagi menjaga ‘maslahah’?
Bekas Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang, Datuk Muhamad Abdul Karim Wahab berkata, isu perkahwinan bawah umur sudah berlarutan namun kembali menjadi perhatian apabila beberapa negeri terus berdepan permohonan yang memerlukan penelitian khusus oleh mahkamah syariah.
Walaupun undang-undang keluarga Islam di setiap negeri menetapkan umur minimum tertentu, namun faktor kebenaran mahkamah syariah menjadikan perkara ini bergantung sepenuhnya kepada pertimbangan hakim.
Di kebanyakan negeri, umur minimum perkahwinan ditetapkan pada 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan.
Namun, peruntukan ini bukan bersifat mutlak kerana mahkamah syariah boleh memberikan kebenaran khas jika terdapat keperluan atau keadaan tertentu yang mewajarkan perkahwinan itu diluluskan.
Ini menyebabkan wujud persepsi pintu kelonggaran terlalu luas, sekali gus menimbulkan perdebatan dalam masyarakat.
Muhamad Abdul Karim berkata, apabila pasangan yang belum mencapai umur minimum hadir di pejabat agama untuk memohon kebenaran bernikah, pendaftar nikah akan merujuk permohonan tersebut kepada mahkamah syariah. Di sinilah proses penilaian lebih mendalam bermula.
Jelasnya, Hakim Syarie akan mengambil keterangan pemohon, ibu bapa atau wali serta menilai alasan mengapa perkahwinan ingin disegerakan.
KRITIKAN MASYARAKAT
Perbezaan enakmen antara negeri turut mempengaruhi kelulusan permohonan perkahwinan bawah umur.
Ada negeri yang mengekalkan had umur 16 dan 18 tahun, sementara Selangor sebagai contoh menaikkan had perempuan daripada 16 kepada 18 tahun bagi menyelaraskan peraturan dengan perkembangan semasa.
Bagaimanapun, ruang pengecualian melalui mahkamah syariah kekal wujud. Situasi ini membawa pelbagai pandangan termasuk kebimbangan daripada pihak pendidik, aktivis kebajikan dan pertubuhan hak kanak-kanak yang menegaskan keperluan perlindungan lebih ketat bagi mengelakkan risiko eksploitasi.
Selain itu, wujud seruan agar proses penilaian diperhalusi dan diseragamkan agar keputusan yang dibuat bukan sahaja patuh undang-undang, malah selari kepentingan kanak-kanak dan objektif pembangunan keluarga Islam.
Mahkamah syariah membolehkan pengecualian iaitu apabila seorang hakim syarie boleh memberi kebenaran bertulis untuk perkahwinan di bawah umur biasa ini dalam ‘keadaan tertentu’.
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Perlis (2006) menyatakan umur 18 dan 16 sebagai had biasa tetapi kebenaran boleh diberikan oleh hakim jika permohonan dibuat.
Di Selangor, berlaku pindaan melibatkan umur minimum 18 tahun bagi lelaki dan perempuan (iaitu perempuan naik dari 16 ke 18) dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) dan Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) pada 2018.
RUJUK MAHKAMAH
Penolong pendaftar perkahwinan akan melihat permohonan dan melakukan pemeriksaan jika umur mereka di bawah had minimum enakmen.
Enakmen merujuk kepada proses undang-undang yang digubal oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) dan berkuatkuasa di negeri tersebut.
Jika di bawah umur, contohnya, 14 ke 15 tahun, pendaftar nikah cerai di jabatan agama akan merujuk mahkamah syariah untuk permohonan kebenaran.
Pemohon iaitu bakal pengantin akan memohon kebenaran perkahwinan bawah umur.
Hakim Syarie akan mendengar permohonan dan bertanya sebab mengapa mahu kahwin di usia muda, sama ada ibu bapa atau wali menyokong, adakah mereka bersedia daripada emosi, ekonomi dan pemberian nafkah.
Hakim menilai secara berhati-hati bagi melihat kesediaan kedua-dua pihak, latar belakang serta tanggungjawab masa hadapan.
Sekiranya perkahwinan itu diluluskan, mahkamah akan mengeluarkan perintah kebenaran berkahwin.
Perintah ini dibawa balik ke pendaftar nikah cerai di jabatan agama supaya pendaftar boleh mendaftarkan perkahwinan berdasarkan perintah mahkamah berserta dokumen lain. Selepas itu, akad nikah dilangsungkan seperti biasa.
KRITIKAN SOSIAL
Kelonggaran terlalu besar kerana mahkamah syariah boleh membenarkan perkahwinan di bawah umur ‘minimum’ enakmen, ada kebimbangan ‘pintu sangat terbuka’ kepada perkahwinan sangat muda.
Kerana kuasa negeri, undang-undang berkaitan perkahwinan bawah umur iaitu had umur serta prosedur kebenaran berbeza antara negeri ini menimbulkan ketidakseragaman.
Hakim mesti menilai bukan sahaja umur fizikal tetapi juga kemampuan emosi, kewangan dan nafkah. Ini sebahagian daripada mekanisme perlindungan.
Dalam meneliti isu ini, peranan hakim Syariah menjadi faktor paling utama. Hakim bukan sekadar meluluskan atau menolak permohonan tetapi bertanggungjawab memastikan setiap keputusan selaras dengan prinsip keadilan, kemaslahatan dan maqasid syariah.
Setiap keputusan bukan sahaja tepat daripada sudut undang-undang tetapi mampu melindungi pihak yang lemah, termasuk remaja dan kanak-kanak yang terlibat dalam permohonan nikah bawah umur.
Walaupun mahkamah syariah diberikan kuasa memberi pengecualian, langkah itu sewajarnya disertai penilaian yang teliti, berhati-hati dan berasaskan maslahah.
Dengan peranan hakim syariah yang semakin mencabar dan tuntutan masyarakat yang semakin tinggi, usaha menyelaraskan enakmen dan memperketatkan garis panduan penilaian adalah antara langkah penting dalam memastikan institusi keluarga Islam terus terbela dan terpelihara.
MODAL POLITIK
Apabila kita menyentuh soal hak kanak-kanak di Malaysia, isu pernikahan bawah umur sering menimbulkan percanggahan.
Ada yang menyokong atas nama tradisi dan agama, ada pula yang menentang atas dasar hak asasi dan perlindungan masa hadapan anak kecil.
Lebih malang, isu ini kadangkala dijadikan modal politik, bukan lagi medan memperjuangkan hak kanak-kanak sebagaimana sepatutnya.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pernah mencadangkan agar had umur perkahwinan dinaikkan kepada 18 tahun bagi lelaki dan perempuan, agar ia seiring prinsip dalam Akta Kanak-Kanak dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).
Namun, cadangan itu masih terperangkap di peringkat perbahasan, belum membuahkan sebarang pindaan undang-undang yang benar-benar mampu melindungi kanak-kanak daripada risiko perkahwinan awal.-UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










