Antara sorok kerja kosong, ‘kabel’, dan gaji cacamarba - Utusan Malaysia

Antara sorok kerja kosong, ‘kabel’, dan gaji cacamarba

Karnival kerjaya sering mendapat sambutan ramai tetapi berapa ramaikah dapat kerja melaluinya? – MINGGUAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SUDAH setahun lebih saya kerja kak. Belajar sains politik. Macam-macam kerja minta. Ini paling lama kerja di sini, sambil-sambil jual insurans,” kata seorang pekerja barista ketika saya membasahkan tekak waktu hujan lebat di sebuah kedai kopi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mendengar cakapnya itu, secepat kilat juga saya berkata- “Akak sudah ada banyak insurans.” Lelaki itu ketawa.

Dia menambah, siapa kata anak muda memilih kerja? Ramai kawan satu kursus dengannya, ‘rembat’ saja apa kerja yang ada demi kelangsungan hidup. Tak akan mahu bergantung lagi dengan duit orang tua dari belajar hingga habis pengajian.

“Ada bawa Grab, ada jual insurans, ada kerja hartanah, jual rumah, cari penyewa rumah. Kerja, kena dicari bukan ditunggu kak. Lagi bengang bila orang keliling asyik tanya bila nak kerja? Macam tanya bila nak kahwin lah. Rimas sungguh kak,” bualnya ramah.

Ceritanya lagi, mana-mana tempat yang dia pergi temuduga sebelum ini, masing-masing bertanyakan tentang pengalaman kerja yang mustahil dia ada kerana baru habis belajar.

“Jadi, daripada berpuluh-puluh kerja yang saya interview, akhirnya dapat kerja sini. Sebab, saya ada banyak pengalaman. Pengalaman buat kopi hari-hari di rumah,” katanya sambil tersengih.

Beberapa hari lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengeluarkan kenyataan, pada Oktober 2025 kadar pengangguran di Malaysia kekal pada 3.0 peratus, membabitkan sekitar 518,900 penganggur.

Sebelum itu, kadar 3.0 peratus juga direkodkan pada Jun dan Julai 2025. Bagi suku pertama 2025, jumlah penganggur dianggarkan sekitar 526,300 orang daripada angkatan kerja 17.23 juta orang.

Secara kasar, kadar 3.0 peratus itu nampak rendah malah dibandingkan dengan beberapa tahun lalu, angka ini dianggap bertambah baik.

Namun, bagi siswazah yang baru menamatkan pengajian, penurunan ini bagaikan tidak mengubah apa-apa. Angka tidak menggambarkan mudahnya dapat kerja. Ada ramai lagi yang lapan bulan hingga setahun atau lebih dari tempoh itu masih gagal cari kerja.

Tetapi itulah, dalam kesukaran mendapatkan kerja kerana persaingan sengit yang mana negara ini melahirkan ratusan ribu siswazah setiap tahun, kita masih meneruskan sistem ‘kabel’ (orang dalam) dan yang terbaru didedahkan majikan sembunyikan jawatan kosong.

Ada sisiwazah dari ceruk kampung dan pedalaman, datang dari jauh temuduga dengan berbekalkan sedikit wang dan doa orang tua, diberi harapan seperti akan dapat kerja, rupanya dia hanya ‘melengkapkan’ prosedur pengambilan kerja syarikat. Sebenarnya sudah ada calon yang dipilih iaitu anak kawan, saudara mara dan adik beradik ‘orang dalam’ itu.

Ketika kita sudah mahu masuk tahun 2026. Tapi cerita pasal kabel, kroni, nepotisme dan surat sokongan ini tetap ‘bermain’, makan berdekad lamanya.

Ramai siswazah akhirnya terpaksa bekerja di luar bidang. Jika tidak, terpaksa menunggu lama sebelum mendapat pekerjaan tetap.

Dalam situasi kos sara hidup meningkat, graduan mungkin terpaksa menerima pekerjaan sambilan, kontrak sementara, atau posisi di luar bidang sekali gus melewatkan peluang untuk kerjaya jangka panjang.

Mereka ini bekerja sebagai ‘kerja bawah kelayakan’ iaitu pekerjaan separa mahir atau tidak memerlukan kelulusan tinggi, sebab itu di premis makanan atau pusat beli-belah ramai graduan bekerja di situ yang mana mereka terpaksa bersaing pula dengan yang ada sijil latihan atau sijil persekolahan.

Baru-baru ini, Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia, Shafie BP Mammal berkata, masalah utama susah dapat kerja bukan terletak kepada kekurangan graduan berkualiti tetapi tahap ketelusan yang rendah penyebaran maklumat tentang peluang pekerjaan.
Katanya, kebanyakan iklan pekerjaan ketika ini hanya dikongsi melalui portal persendirian, grup WhatsApp atau rangkaian tertutup.

Akibatnya, banyak jawatan kosong tidak pernah diiklankan secara terbuka, Ia satu ‘gerakan senyap” melalui rujukan dalaman menyebabkan peluang untuk graduan biasa terhad.

Bagi kebanyakan majikan mengiklankan jawatan, menyaring pelbagai pemohon, temuduga proses ini memakan masa dan kos. Memberi pekerjaan kepada seseorang yang sudah dikenali (kabel) dianggap lebih efisien.

Pada saya, penyebaran melalui ‘pintu belakang’ inilah menimbulkan ketidakadilan dan merendahkan peluang mereka yang bersedia dan layak, tetapi tiada kabel.

Di Singapura, kadar pengangguran secara keseluruhan pada suku pertama 2025 dilaporkan sekitar 2.0 peratus. Bagi penduduk tetap pula, kadar kira-kira 2.8-2.9 peratus. Jelas angka ini lebih rendah sedikit dari Malaysia, tetapi persaingan di sana dianggap sangat sengit, di mana ramai graduan mengadu susah mendapat pekerjaan yang sesuai, walaupun ekonomi tampak kukuh.

Menurut laporan global, kumpulan negara maju di bawah Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) mencatat kadar pengangguran sekitar 4.8–4.9 peratus pada awal 2025.

Ini menunjukkan meskipun Malaysia berada di bawah purata OECD dari segi kadar pengangguran, realiti pekerjaan terutama bagi graduan tidak semestinya lebih mudah di negara-negara ini, persaingan, automasi, keperluan kemahiran tinggi dan perubahan struktur pasaran turut memberi kesan besar.

Di rantau Asia, contohnya dalam data suku pertama 2025, Indonesia dilaporkan berada di sekitar 4.8 peratus, manakala Thailand mencatat sekitar 0.9 peratus.

Malaysia mungkin berada di posisi sederhana tidak terlalu buruk, tetapi jauh dari sempurna. Bagi siswazah, kadar rendah sahaja tidak cukup; yang menentukan adalah akses kepada pekerjaan yang sesuai, adil, dan berdasarkan merit.

Penting untuk difahami kadar pengangguran nasional yang rendah seperti 3.0 peratus tidak semestinya menggambarkan nasib graduan dengan seadilnya.

Statistik pengangguran merangkumi semua peringkat umur dan pekerjaan; ia tidak spesifik kepada siswazah, belia, atau mereka yang baru memasuki pasaran kerja.

Tambahan pula, perbandingan dengan negara jiran atau negara maju menunjukkan bahawa walaupun kadar keseluruhan mungkin lebih baik di Malaysia atau negara lain, rintangan bagi graduan tetap wujud persaingan sengit, ekspektasi tinggi, kemahiran yang cepat berubah, dan budaya kabel.

Jawatan kosong mesti diberi peluang sama rata kepada semua, bukan hanya kepada mereka yang berhubung baik. Jika tidak, rendahnya kadar pengangguran hanyalah ‘angka manis’ manakala masa depan generasi muda tetap menggantung, tergantung harapan pada kabel dan kroni.

Lebih memburukkan keadaan, apabila kerajaan menetapkan gaji minimum RM1,700 sebulan, majikan pun pukul rata semua pekerja baru termasuk lepasan universiti ini diambil dengan gaji permulaan sebanyak itu.

Tiada skim gaji yang membezakan pekerja berijazah, berpengalaman dengan pekerja yang ada sijil persekolahan. Skim gaji mengikut ‘sistem rimba’ ini, merumitkan lagi hidup dalam kos sara hidup yang tinggi terutamanya di bandar besar.

Kerajaan perlu berbuat sesuatu dan bertegas untuk memastikan setiap majikan ada skim gaji ikut kelayakan. Sistem gaji cacamarba yang tidak membezakan golongan profesional, berpengalaman dan sijil ini seolah menghina sistem pendidikan negara.

Pada masa sama, ini membuatkan majikan hanya menganggap pekerja sebagai ‘kuli’ yang dibayar upah, bukan aset untuk diberi pendedahan, latihan apatah lagi menerima imbuhan lain.

FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN