POLEMIK dakwaan orang Rom mungkin pernah belajar daripada orang Melayu nampaknya belum reda. Setiap hari muncul komentar baharu. Ada yang mempersoalkan ketelitian rujukan, menuntut disiplin akademik lebih ketat dan tidak kurang sekadar menambah bising tanpa menambah hujah.
Dalam masa sama, perbahasan ini mula bergerak ke arah yang lebih membimbangkan.
Kritikan terhadap metodologi dan rujukan akhirnya berubah menjadi sindiran berbaur perkauman, seakan-akan apabila sesuatu ilmu dikaitkan dengan Melayu, akan dianggap remeh, tidak sahih dan tidak layak disandingkan dengan standar ilmu dari Barat.
Di sinilah polemik ilmiah bertukar menjadi cermin jati diri bukan sahaja ilmuwan tetapi masyarakat yang menontonnya.
Ramai bersepakat masalahnya mudah iaitu rujukan tidak cukup akademik, kaedah tidak memenuhi piawai dan disiplin tidak dihormati. Titik. Namun jika berhenti di situ, kita sebenarnya menutup mata terhadap persoalan yang lebih dalam.
Kontroversi ini bukan sekadar soal dakwaan sejarah atau makalah yang dipertikai tetapi menyingkap sesuatu yang lebih besar yakni kotak pandora universiti dan budaya ilmu kita sedang terbuka.
‘TIDAK CUKUP AKADEMIK’ ALASAN SEKAT PERBINCANGAN ILMIAH
Teguran tentang rujukan yang lemah dan bacaan yang selektif ada asasnya. Tiada siapa yang waras mahu meraikan dakwaan sensasi tanpa semakan tetapi cara label ‘tidak cukup akademik’ digunakan dalam polemik ini lebih mirip alat untuk menutup perbincangan, bukan membuka medan penyelidikan baharu.
Daripada bertanya, “Jika hipotesis ini salah, data apa yang perlu dikumpulkan untuk membuktikannya atau menolaknya?”, kita sering cepat membuat kesimpulan seperti, “Ini memalukan” atau “Ini bukti ilmuwan tempatan tidak serius.”
Lebih ironik, kita sering jauh lebih pemurah kepada sarjana luar. Andai hipotesis yang sama lahir daripada mulut profesor berkulit putih di universiti ternama, besar kemungkinan akan dilayan sebagai provokasi intelektual yang menarik atau mungkin salah, tetapi wajar diuji.
Sebaliknya bila datang daripada profesor Melayu di universiti tempatan, cepat-cepat dilabel sebagai melalut. Di sini persoalan jati diri mula menjelma iaitu sejauh mana kita percaya akal dan imaginasi intelektual sendiri mempunyai darjat yang sama untuk mengusul hipotesis tentang diri kita?
UNIVERSITI SEBAGAI INSTITUSI ‘KAKAK TUA’
Sebahagian besar reaksi terhadap polemik ini menunjukkan betapa kuatnya cengkaman tekapan kolonial tentang bagaimana ilmu mesti lahir dan disebarkan. Ilmu hanya dianggap sah jika muncul melalui saluran tertentu, dalam bahasa tertentu, mengikut gaya dan format tertentu.
Nilai sesuatu idea diukur terlebih dahulu melalui prosedur, barulah isi. Prosedur penting tetapi apabila menjadi terlalu jumud, universiti mula berfungsi seperti mesin fotostat memastikan setiap idea disalin mengikut piawaian yang diterima bukannya berani menguji batas piawaian itu sendiri.
Dalam suasana ini, universiti bukan sahaja melahirkan ‘kakak tua akademik’ yang pandai meniru tetapi gagal menafsir.
Kita bukan hanya mengambil teori dan konsep dari luar tetapi turut membawa masuk susunan kuasa ilmu iaitu siapa yang berhak menamakan dunia, jurnal mana menjadi penentu dan disiplin mana diberi kuasa menetapkan apa yang dianggap sah atau tidak.
Dalam ekosistem seperti ini, universiti tempatan mudah berubah daripada pusat pencarian kebenaran kepada sekadar cawangan yang mengedar naratif sedia siap yang dibentuk di pusat kuasa global.
Universiti kelihatan sibuk menghasilkan jurnal dan buku tetapi sebenarnya sekadar mengulang prosedur dan acuan ilmu yang sama.
ERA ChatGPT
Zaman ChatGPT dan kecerdasan buatan (AI) menambahkan satu lapisan baharu. Apa yang tidak tertulis, tidak didigitalkan dan tidak berada dalam pangkalan data raksasa seolah-olah tidak wujud dalam radar pengetahuan.
Penulis berada dua hari di Forum Masa Depan Dubai 2025 yang merupakan perkumpulan terbesar pemikir masa depan dan inilah kebimbangan yang semakin lantang disuarakan iaitu AI semakin bijak tetapi nilai ilmu yang diberikan semakin mengecil dan seragam.
Sedangkan jika kita kembali kepada tulisan Louis Liebenberg dalam karya The Art of Tracking: The Origin of Science (1990), sumber pertama sains bukanlah makmal universiti tetapi masyarakat itu sendiri.
Masyarakat adalah makmal awal sains. Apabila mengangkat pangkalan data dan algoritma sebagai hakim kebenaran tanpa sedar kita menurunkan martabat sumber ilmu yang paling awal dan paling dekat dengan kita.
Ilmu lisan dan pengalaman harian masyarakat menjadi ‘cerita’, apa yang termaktub dalam jurnal berbahasa asing pula dianggap ‘pengetahuan’.
Pada lapisan yang lebih dalam, polemik Rom-Melayu ini menyingkap krisis keyakinan yang tidak dapat diselesaikan hanya dengan menambah kursus metodologi atau bengkel penulisan.
Ia menyentuh persoalan siapa yang dianggap berhak memberikan identiti dan sejarah kita?
Kita lebih percaya kepada tafsiran orang lain tentang sejarah dan keupayaan bangsa sendiri, berbanding keberanian membina naratif sendiri dengan disiplin dan kesabaran ilmiah.
Kita meminjam kaca mata mereka, kemudian marah apabila pandangan tentang kita tidak adil tetapi tidak pernah benar-benar melatih mata sendiri untuk melihat.
MEMBUKA KOTAK PANDORA DENGAN BERANI
Kotak Pandora akademia Malaysia semakin terbuka. Dari situ muncul bukan sahaja perdebatan tentang rujukan dan metodologi tetapi juga persoalan yang lebih mendalam, mengapa kita begitu mudah meremehkan daya fikir sendiri, mengapa istilah ‘akademik’ sering digunakan untuk menutup mulut daripada membuka ruang penyelidikan dan mengapa universiti kelihatan lebih pandai meniru pusat ilmu global daripada memelihara hikmah yang lahir di tanah sendiri.
Kontroversi ini tidak boleh diselesaikan dengan ayat klise seperti “kita perlu lebih akademik”. Kita perlu jujur mengakui cara membayangkan, menilai dan mengedarkan ilmu telah lama meletakkan diri kita di pinggir.
Jika ada harapan dalam kotak Pandora ini, ia adalah peluang untuk menuntut semula hak kita sebagai masyarakat yang bukan sekadar pengguna data tetapi juga pencipta makna.
Dalam masa sama peluang untuk membina universiti yang tidak lagi sekadar meniru sebaliknya berani mencuba cara dengan suara sendiri dan memberi identiti kepada dunia.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah Pengarah Pusat Sejahtera Untuk Kelestarian dan Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) & Ahli Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi (PenDaPaT).










