ISU pemberian surat sokongan kontraktor hospital oleh setiausaha politik Perdana Menteri bukan sekadar insiden teknikal dalam pentadbiran. Sebenarnya, ia adalah ujian paling jelas terhadap komitmen reformasi dan integriti yang selama ini diperjuangkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Apabila beliau mengakui telah menegur dengan keras pegawainya kerana melanggar peraturan kerajaan, rakyat menghargai keterbukaannya.
Namun pengakuan itu juga membuka persoalan penting dalam dunia politik yang serba teliti dan penuh ketidakpercayaan, adakah teguran sahaja mencukupi untuk melindungi maruah Perdana Menteri dan memastikan Kerajaan MADANI berjalan atas landasan prinsip yang benar?
Rakyat tidak membaca insiden ini sebagai salah faham kecil atau kesilapan prosedur. Mereka melihatnya sebagai kegagalan orang kanan Perdana Menteri memahami garis sempadan kuasa, integriti birokrasi dan prinsip ketelusan yang selama ini ditekankan oleh Anwar.
Bukan Perkara Baharu
Lebih menghairankan, insiden itu berlaku walaupun garis panduan kerajaan jelas menyatakan bahawa surat sokongan bagi mana-mana projek, lebih-lebih lagi yang bersangkut dengan hospital, adalah tindakan yang bercanggah dengan tatacara pentadbiran. Ia bukan perkara baharu, dan bukan juga peraturan yang kabur. Maka timbul persoalan, bagaimana mungkin seorang setiausaha politik kepada Perdana Menteri sendiri tergamak mengambil langkah yang begitu berisiko hingga mencemarkan imej ketuanya?
Setiausaha politik bukan sekadar staf teknikal. Mereka adalah cerminan kepada nilai dan budaya kepimpinan seseorang Perdana Menteri. Setiap langkah mereka, setiap tindakan mereka dan setiap kata-kata mereka sentiasa dilihat sebagai lanjutan daripada dasar dan watak pemimpin tertinggi negara.
Jika seorang setiausaha politik boleh mengeluarkan surat sokongan kepada kontraktor yang tidak memenuhi syarat kelayakan, ia menimbulkan gambaran seolah-olah pejabat Perdana Menteri sendiri tidak mengambil serius prinsip integriti yang dilaungkan.
Meskipun tindakan itu mungkin tidak mendapat restu Perdana Menteri, keredhaan politik bukanlah ukuran yang rakyat lihat. Yang rakyat lihat ialah kesan, tanggapan dan mesej yang dihantar kepada seluruh negara.
Rakyat Menunggu Tindakan
Dalam konteks pentadbiran yang sedang berjuang memulihkan kepercayaan rakyat, teguran keras sahaja tidak memberi kekuatan simbolik untuk menunjukkan ketegasan kerajaan.
Anwar berulang kali menegaskan bahawa kerajaan ini menolak rasuah, salah guna kuasa dan budaya kronisme.
Namun apabila salah laku datang daripada staf beliau sendiri, rakyat tidak mahu mendengar penjelasan semata-mata, mereka menunggu tindakan. Di sinilah letaknya cabaran moral seorang Perdana Menteri iaitu keberanian untuk menghukum orang sendiri dengan standard yang sama, atau lebih tinggi, daripada apa yang beliau tuntut daripada orang lain.
Dalam politik Malaysia yang sudah lama dibanjiri dengan kes salah guna kuasa, rakyat telah sampai ke satu tahap di mana mereka mahu melihat perubahan dalam bentuk tindakan, bukan ucapan. Mereka tidak meminta Perdana Menteri menghukum secara melulu, tetapi mereka mahukan tindakan yang selari dengan prinsip yang dilaungkan.
Imej dan Prinsip Kepimpinan
Jika ahli politik lain boleh dikenakan siasatan, tindakan tatatertib atau pemecatan kerana salah guna kuasa, mengapa setiausaha politik Perdana Menteri sendiri hanya diberi teguran? Ini bukan persoalan menghukum individu, tetapi persoalan menjaga imej dan prinsip kepimpinan.
Malah, kegagalan bertindak lebih tegas memberi ruang kepada pihak lawan untuk mempersoalkan kesungguhan Pentadbiran MADANI. Mereka akan menggunakan insiden ini sebagai bukti kononnya kerajaan hanya tegas terhadap pihak lawan, tetapi lembut apabila melibatkan orang sendiri.
Persepsi sebegini, jika dibiarkan, berpotensi mencipta luka politik yang lebih besar kepada Perdana Menteri. Ia boleh menggugat naratif reformasi yang beliau bina sejak awal pentadbiran.
Perdana Menteri harus menilai situasi ini dari sudut yang lebih besar. Pegawai yang berada paling hampir dengan beliau harus menjadi individu yang paling berhati-hati, paling mematuhi tatakelola dan paling memahami sensitiviti politik.
Jika seorang setiausaha politik gagal membezakan antara membantu rakyat dan mencampuri proses pemilihan kontraktor kerajaan, maka beliau telah melewati sempadan kepercayaan.
Dan apabila sempadan itu dilanggar, tindakan pembetulan perlu dilakukan dengan segera, bukan sekadar teguran yang mungkin diterjemahkan sebagai peluang kedua.
Kewajipan Politik
Rakyat juga melihat bahawa menjaga integriti bukan lagi pilihan, tetapi kewajipan politik. Anwar telah meletakkan dirinya sebagai pemimpin yang menolak rasuah, menolak salah guna kuasa dan menolak gaya lama politik yang berpusat pada kroni.
Maka tindakan beliau terhadap stafnya sendiri mesti mencerminkan idealisme itu. Jika tidak, wujud risiko bahawa imej Perdana Menteri sendiri menjadi tercemar bukan kerana perbuatannya, tetapi kerana kelembutan beliau kepada orang kanan yang melakukan kesilapan besar.
Sebelum persepsi negatif itu berkembang, Perdana Menteri perlu bertindak lebih tegas. Pemecatan, pertukaran jawatan atau tindakan tatatertib formal bukanlah hukuman keras.
Ia adalah langkah melindungi maruah pejabat Perdana Menteri, menafikan ruang manipulasi politik dan mengingatkan semua pegawai bahawa integriti bukan slogan. Ia adalah garis hidup sebuah kerajaan.
Jika hanya berdiam diri atau berpuas hati dengan teguran sahaja, beliau berisiko dilihat tidak konsisten dengan prinsip yang beliau sendiri perjuangkan.
Namun jika beliau berani bertindak tegas terhadap pegawai kanan yang tersalah langkah, beliau bukan sahaja mempertahankan kerajaannya, tetapi mengangkat kembali keyakinan rakyat bahawa Kerajaan MADANI memang berbeza daripada kerajaan sebelumnya.
Dalam kepimpinan, teguran mendidik, tetapi tindakan tegas mempertahankan maruah. Dan maruah itulah yang sedang dipertaruhkan hari ini!
Atriza Umar
Calon Ijazah Kedoktoran, Kepimpinan Wanita










