Menambat kepercayaan nasional: Usaha Bahagian Asimetri PTPKM dalam mengejar Kriptografi Tahan Kuantum

Menambat kepercayaan nasional: Usaha Bahagian Asimetri PTPKM dalam mengejar Kriptografi Tahan Kuantum

PTPKM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Dr. Tea Boon Chian

KRIPTOGRAFI, yang menjadi nadi kepada keselamatan komunikasi digital, berfungsi memastikan kerahsiaan, integriti dan kesahihan maklumat dalam dunia siber yang semakin kompleks. 

Sistem kriptografi moden hari ini banyak bergantung kepada dua kaedah utama, iaitu RSA (Rivest–Shamir–Adleman) dan Elliptic Curve Cryptography (ECC), yang kekuatannya terletak pada kerumitan matematik yang sukar diuraikan. 

Namun, kemunculan komputer kuantum kini mengubah segalanya dan bersama perubahan itu, datang ancaman besar terhadap keselamatan digital global.

Pada tahun 1999, pakar matematik Peter Shor memperkenalkan algoritma revolusioner yang membuktikan komputer kuantum mampu memecahkan sistem penyulitan RSA dan ECC dengan lebih pantas berbanding komputer klasik. 

Penemuan ini membawa implikasi besar apabila komputer kuantum mencapai kapasiti operasi penuh, algoritma kriptografi sedia ada akan menjadi lapuk. 

Hari itu, yang diramalkan tiba menjelang 2030, dikenali sebagai “Q-Day”, menandakan detik di mana sistem penyulitan tradisional tidak lagi selamat.

Penubuhan PTPKM

Menyedari kepentingan strategik isu ini terhadap keselamatan negara, kerajaan Malaysia menubuhkan Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia (PTPKM) pada tahun 2025 di bawah seliaan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri. 

PTPKM berfungsi sebagai pusat penyelidikan nasional dalam bidang kriptologi, dengan matlamat membina kesiapsiagaan negara terhadap ancaman kuantum melalui penyelidikan, inovasi dan dasar keselamatan digital yang bersepadu.

Struktur organisasi PTPKM merangkumi lima bahagian teras iaitu Asimetri, Simetri, Integrasi Teknologi, Dasar dan Pematuhan, serta Migrasi Kriptografi Pasca-Kuantum (PQC), disokong oleh dua bahagian sokongan melibatkan pentadbiran dan pengurusan aset. 

Bahagian Asimetri berperanan penting dalam merancang, menyelaras dan menyelia pembangunan sistem kriptografi kunci awam agar sentiasa selaras dengan piawaian keselamatan global serta berdaya tahan terhadap ancaman baharu, termasuk serangan berasaskan komputer kuantum.

Dalam menghadapi ancaman tersebut, penyelidikan terhadap Kriptografi Pasca-Kuantum (Post-Quantum Cryptography, PQC) kini giat dijalankan di seluruh dunia. 

Algoritma PQC

Pada Ogos 2024, Institut Piawaian dan Teknologi Kebangsaan (NIST) Amerika Syarikat memuktamadkan tiga algoritma PQC utama yang kini dijadikan piawaian global, iaitu ML-KEM (berasaskan CRYSTALS-KYBER), ML-DSA (berasaskan CRYSTALS-Dilithium), dan SLH-DSA (berasaskan SPHINCS+). 

Piawaian ini sedang diadaptasi secara berperingkat oleh pelbagai negara termasuk China, Korea Selatan, United Kingdom dan Kesatuan Eropah, sebagai persediaan menghadapi Q-Day.

Mengambil semangat yang sama, sekumpulan penyelidik Malaysia yang diketuai oleh Profesor Dr. Muhammad Rezal Dato’ Kamel Ariffin, Pengarah PTPKM, telah berjaya membangunkan keluarga algoritma PQC tempatan yang dinamakan KAZ-Family (Kriptografi Atasi Zarah). 

Keluarga algoritma ini terdiri daripada KAZ-KA untuk pertukaran kunci, KAZ-KEM untuk mekanisme enkapsulasi kunci, dan KAZ-SIGN bagi tandatangan digital. Inovasi ini diterbitkan di bawah AKBA MySEAL 2.0, inisiatif oleh CyberSecurity Malaysia (CSM) bagi mengiktiraf dan menilai algoritma kriptografi tempatan yang berpotensi digunakan dalam sistem keselamatan negara.

Persidangan dan pameran antarabangsa

Dalam usaha memperkukuh kesedaran dan kolaborasi antarabangsa, PTPKM dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan sokongan NACSA akan menganjurkan Persidangan dan Pameran Antarabangsa Kriptografi Pasca-Kuantum (ICE-PQC) 2025 pada 12 hingga 13 November 2025 di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM. 

Acara berprestij ini bakal menghimpunkan pakar keselamatan siber dan kriptografi dari Jepun, Rusia, Jerman, ASEAN serta pelbagai negara lain bagi membincangkan kemajuan, cabaran dan hala tuju penyelidikan PQC di peringkat global.

Lebih 30 syarikat teknologi dijangka menyertai pameran tersebut untuk memperkenalkan penyelesaian kriptografi baharu termasuk PQC Proof-of-Concept (PoC) Sandbox, yang menampilkan KAZ-Family sebagai inovasi PQC buatan Malaysia pertama seumpamanya. 

PTPKM melihat penganjuran ini sebagai platform penting untuk memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan, industri dan akademia, serta merangka pelan tindakan kebangsaan bagi migrasi sistem keselamatan negara ke arah kriptografi tahan kuantum.

Persediaan ini bukan sekadar soal teknologi, tetapi soal kepercayaan nasional. Dalam dunia yang bergantung sepenuhnya kepada komunikasi digital, kestabilan ekonomi, ketenteraan dan sosial negara amat bergantung kepada keupayaan melindungi data. 

Dengan pendekatan berasaskan penyelidikan, inovasi dan kolaborasi rentas sektor, PTPKM berazam menjadikan Malaysia bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi peneraju serantau dalam bidang kriptografi tahan kuantum iaitu satu langkah penting dalam menambat kepercayaan nasional dan mempertahankan kedaulatan digital negara.

Dr. Tea Boon Chian adalah Pakar, Bahagian Asimetri, Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia (PTPKM) dan Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×