NEGARAKU,
Tanah tumpahnya darahku,
Rakyat hidup
Bersatu dan maju.
Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan,
Raja kita
Selamat bertakhta
Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan,
Raja kita
Selamat bertakhta.
Setiap kali lagu Negaraku berkumandang, hati setiap warganegara Malaysia pasti bergetar dengan perasaan yang sukar diungkapkan. Dari bait pertama hingga nota terakhirnya, lagu ini membangkitkan semangat cinta yang mendalam terhadap tanah air tercinta. Negaraku bukan sekadar lagu kebangsaan malahan ia adalah nadi perpaduan, simbol kemerdekaan, dan cerminan jati diri setiap rakyat Malaysia yang mengidamkan hidup harmoni dalam kepelbagaian budaya dan bangsa.
Lirik yang ringkas ini menyampaikan mesej yang besar. Ia melambangkan semangat cintakan negara, kesetiaan kepada raja, serta doa agar Malaysia terus berada dalam rahmat dan keamanan Ilahi. Setiap kali lagu ini dinyanyikan dalam perhimpunan sekolah, majlis rasmi, atau acara sukan antarabangsa, rakyat tanpa mengira bangsa akan berdiri tegak sebagai tanda taat setia dan bangga menjadi anak Malaysia.
Sejarah Negaraku
Lagu Negaraku mempunyai sejarah yang panjang dan menarik. Sebelum merdeka, Tanah Melayu belum mempunyai lagu kebangsaan rasmi. Pada 1956, satu pertandingan mencipta lagu kebangsaan telah diadakan oleh sebuah jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama Persekutuan Tanah Melayu. Namun, tiada satu pun daripada 514 penyertaan yang diterima memenuhi cita rasa dan semangat kebangsaan yang diinginkan.
Akhirnya, Tunku Abdul Rahman mencadangkan agar lagu rasmi negeri Perak, iaitu “Allah Lanjutkan Usia Sultan”, dijadikan asas melodi lagu kebangsaan. Melodi ini pada asalnya diambil daripada lagu berjudul “La Rosalie”, ciptaan seorang pemuzik dari Seychelles bernama Pierre Jean de Beranger, yang kemudiannya diadaptasi oleh orang Eropah yang tinggal di negeri Perak pada abad ke-19.
Melodi tersebut kemudian digubah semula dengan lebih bersemangat dan bersifat kebangsaan oleh Saiful Bahri Elias, seorang pemuzik berbakat dari Indonesia. Setelah lirik baharu ditulis dan disemak, lagu ini diisytiharkan secara rasmi sebagai lagu kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu pada malam 30 Ogos 1957, sempena detik bersejarah pengisytiharan kemerdekaan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Sejak itu, Negaraku berkumandang di seluruh pelosok tanah air sebagai lambang kedaulatan dan kemerdekaan Malaysia. Ia turut menjadi saksi kepada pelbagai detik penting bermula daripada peristiwa 13 Mei 1969, kemenangan sukan antarabangsa, hingga kejayaan rakyat di pentas dunia. Lagu ini mengiringi suka dan duka perjalanan sebuah bangsa merdeka dan berdaulat.
Lirik Lagu Negaraku
Baris pertama, “Negaraku, tanah tumpahnya darahku”, menggambarkan hubungan mendalam antara manusia dan tanah airnya. Ia bukan sekadar tempat lahir, tetapi tempat di mana segala perjuangan, pengorbanan, dan harapan tumpah. Dalam baris “Rakyat hidup bersatu dan maju”, terserlah aspirasi nasional iaitu perpaduan sebagai asas kemajuan. Tanpa kesatuan rakyat, tidak mungkin kemakmuran dapat dicapai.
Sementara itu, rangkap “Rahmat bahagia Tuhan kurniakan, Raja kita selamat bertakhta” melambangkan sistem pemerintahan Malaysia yang mendaulatkan institusi diraja sebagai payung negara. Ia mengajak rakyat agar sentiasa mendoakan kesejahteraan raja dan negara, serta menginsafi bahawa segala nikmat keamanan dan kebahagiaan adalah anugerah Tuhan yang perlu disyukuri.
Alat Penyatuan
Lagu kebangsaan juga berfungsi sebagai alat penyatuan nasional. Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, yang dihuni oleh pelbagai kaum dan etnik, Negaraku memainkan peranan besar menyatukan rakyat. Ketika lagu ini dinyanyikan, semua berdiri tegak, dada ke depan dan suara bersatu tanpa mengira warna kulit. Pada detik itu, tiada siapa berbeza, semuanya rakyat Malaysia yang sama-sama menghormati Jalur Gemilang dan tanah tumpah darah sendiri.
Lagu kebangsaan juga memainkan peranan penting dalam pembentukan jati diri nasional. Di sekolah, nyanyian Negaraku menjadi amalan mingguan yang menanam rasa hormat dan cinta tanah air sejak kecil. Ia mengingatkan pelajar bahawa mereka adalah sebahagian daripada keluarga besar Malaysia.
Dalam konteks pendidikan, semangat ini membentuk generasi yang berdisiplin, bersyukur dan berjiwa patriotik serta generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga dalam tanggungjawab terhadap bangsa dan negara.
Simbol Cinta dan Kesetiaan
Apabila bait “Negaraku, tanah tumpahnya darahku” dinyanyikan, ia mengingatkan kita kepada pengorbanan besar para pejuang terdahulu yang mempertahankan tanah air daripada penjajah. Mereka bukan sahaja berjuang dengan senjata, tetapi juga dengan pena, minda dan semangat yang tidak pernah luntur. Hasilnya, kita kini menikmati kemerdekaan dan kemakmuran yang menjadi impian generasi terdahulu.
Sebagai rakyat yang hidup dalam zaman serba moden, kita mungkin tidak lagi berjuang di medan perang. Namun, perjuangan hari ini adalah perjuangan ilmu, nilai dan maruah bangsa. Kita berjuang menentang kemiskinan, ketidakadilan, rasuah dan perpecahan. Semangat Negaraku harus terus hidup dalam setiap hati rakyat Malaysia, semangat untuk membina, bukan meruntuh; menyatu, bukan memecah.
Kepelbagaian yang Menyatukan
Malaysia terkenal di mata dunia sebagai negara berbilang bangsa dan budaya yang mampu hidup dalam keharmonian. Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan banyak lagi etnik lain membentuk satu keluarga besar di bawah Jalur Gemilang. Perbezaan bukan halangan, sebaliknya menjadi warna-warni yang memperindah wajah negara.
Setiap perayaan Aidilfitri, Deepavali, Tahun Baharu Cina, Gawai dan Krismas, diraikan bersama-sama dengan semangat kekeluargaan. Itulah Negaraku: Tanah yang menyuburkan kasih sesama insan tanpa mengira warna kulit atau agama.
Namun, keharmonian ini tidak boleh diambil mudah. Dalam dunia media sosial yang sarat dengan fitnah dan perpecahan, rakyat mesti bijak menilai dan berfikir secara matang. Cinta kepada negara juga bermaksud menolak kebencian, menyemai toleransi dan menjaga perpaduan yang diwariskan kepada kita.
Negaraku bukan sekadar lagu, tetapi pernyataan jiwa seorang anak Malaysia. Di sebalik lagu yang dinyanyikan itu, tersembunyi nilai kasih, kesetiaan dan pengorbanan yang harus terus dihayati. Walau ke mana kita pergi, alunan Negaraku tetap mengalun lembut di hati dan seharusnya mengingatkan kita kepada tanah yang melahirkan, bangsa yang membesarkan, dan negara yang dicintai sepenuh jiwa.
Selagi lagu ini berkumandang, selagi itu roh kebangsaan harus berkobar dan terus hidup. Semoga Negaraku kekal menjadi nadi kepada setiap rakyat Malaysia. Nadi yang memacu semangat untuk terus bersatu, berjuang dan membina masa depan yang gemilang buat tanah air tercinta.
Negaraku, tanah airku. Negaraku, jiwaku.
Negaraku, negaraku…. Negara Aku. – UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah Akademik Kolej Matrikulasi Pahang.











