Kanak-kanak pun tidak terlepas daripada hukuman - Utusan Malaysia

Kanak-kanak pun tidak terlepas daripada hukuman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak kebelakangan ini kita telah dikejutkan dengan berita-berita kanak-kanak yang terlibat di dalam jenayah serius atau berat.

Maksud kanak-kanak di bawah Akta Kanak-kanak 2001 adalah yang di bawah umur 18 tahun dan berhubung dengan prosiding jenayah, ertinya sudah mencapai umur bagi tanggungjawab jenayah sebagaimana ditetapkan dalam Seksyen 82 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Apakah maksud jenayah serius ini? Seksyen 52B Kanun Keseksaan menyatakan kesalahan serius adalah yang mengenakan hukuman penjara 10 tahun ke atas.

Di bawah Akta Kanak- kanak 2001 menakrifkan jenayah berat termasuklah kesalahan pembunuhan, cubaan membunuh; semua kesalahan di bawah Akta Senjata Api, kesalahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (Akta 82) yang boleh dihukum penjara seumur hidup atau hukuman mati; semua kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan semua kesalahan di bawah Akta Penculikan 1961 (Akta 365).

Kanak-kanak sebenarnya tidak terlepas daripada pengadilan dan hukuman.

Cara pengendalian kes kanak-kanak adalah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 yang mana prosedur atau tatacara bagaimana kanak-kanak dibicarakan dan diberikan hukuman bagi kesalahan jenayah.

Bukanlah mudah untuk menentukan hukuman bagi kanak- kanak, ini dapat dilihat daripada kes PP v. Muhamad Abdul Rahim & Satu Lagi (2007) 9 CLJ 672, di mana diputuskan seperti berikut;

“Adalah diakui bahawa penentuan hukuman yang sesuai dalam sesuatu kes jenayah terutama kes melibatkan kanak- kanak adalah suatu pelaksanaan budi bicara yang sukar oleh pihak mahkamah atas pelbagai sebab. Pertama, dalam kebanyakan kes, Parlimen hanya menetapkan pilihan hukuman yang boleh dijatuhkan atau menetapkan hukuman maksimum. Dengan demikian terpulanglah kepada mahkamah membuat pilihan mengenai hukuman sesuai berdasarkan fakta sesuatu kes. Kedua, dalam memilih hukuman sesuai, mahkamah bukan sahaja perlu mempertimbangkan fakta kes tetapi juga mengambil kira kesan hukuman itu kepada kepentingan awam sebagai langkah kawalan sosial. Oleh itu, kesan hukuman yang perlu dipertimbangkan bukan sahaja terhad ke atas pesalah tetapi terhadap masyarakat seluruhnya.”

Hukuman-hukuman yang dinyatakan di bawah Akta Kanak-kanak adalah Seksyen 91 Akta Kanak-kanak 2001 memperihalkan kuasa mahkamah bagi kanak-kanak apabila kesalahan dibuktikan iaitu:
 Untuk memberikan amaran dan melepaskan kanak-kanak tersebut.

 Melepaskan kanak-kanak tersebut apabila dia menyempurnakan satu bon berkelakuan baik dan untuk mematuhi apa-apa syarat-syarat yang dikenakan oleh mahkamah, memerintah kanak-kanak itu diletakkan dalam pemeliharaan seseorang saudara atau orang lain yang layak dan sesuai selama tempoh dan syarat yang ditetapkan oleh mahkamah.

 Memerintahkan supaya kanak-kanak itu didenda, pampasan atau kos, membuat perintah percubaan di bawah Seksyen 98 Akta Kanak-kanak 2001, memerintah supaya kanak-kanak itu dihantar ke sebuah sekolah yang diluluskan atau Sekolah Henry Gurney, memerintahkan seorang kanak-kanak itu jika seorang lelaki disebat tidak lebih 10 kali rotan dengan rotan yang ringan di mahkamah dan di hadapan ibu bapa atau penjaganya.

 Mengenakan hukuman pemenjaraan ke atas kanak-kanak tersebut jika ia berumur lebih daripada 14 tahun tertakluk kepada Seksyen 96 Akta Kanak-kanak 2001.
Hukuman bagi kanak-kanak ini disesuaikan dengan prinsip-prinsip yang dinyatakan di atas kerana dalam mempertimbangkan hukuman perlu berlandaskan undang-undang khas untuk mereka dan tidak sama bagi mereka yang mencapai umur dewasa.

Di dalam kes MNZMN v. PP(2023) 6 CLJ 505,yang mana Mahkamah Rayuan telah mendengar rayuan bagi kanak-kanak berumur 15 tahun bagi pertuduhan berikut:

Pertuduhan:
Bahawa kamu pada 9 Julai 2020 jam lebih kurang 3 petang bertempat di no. 12, Jalan Nusaputra 1/3C Bandar Nusaputra, di daerah Sepang, telah melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan dengan menyentuh, meramas payudara dan cuba memasukkan jari ke dalam kemaluannya. Oleh demikian, kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dituduh dan dihukum di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

Pertuduhan Pertama:
Bahawa kamu pada 2 Mac 2020 antara pukul 4 petang di bumbung foyer Tamarind Square Cyberjaya melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak dengan cara menyentuh mana-mana bahagian fizikal mangsa dengan itu kamu melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

Semasa mahkamah mendengar kes rayuan ini, dia sudah berumur 18 tahun, namun setelah mendapati kanak-kanak ini banyak berubah daripada segi sikap dan perwatakan sejak ditahan selama tiga bulan di Sekolah Henry Gurney dan tidak terlibat dalam tabiatnya sebelum ini dan menduduki SPM dan setelah melebihi umur tidak boleh dihantar ke Sekolah Henry Gurney lagi, maka Mahkamah Rayuan memutuskan dia dikehendaki menjalani program khidmat masyarakat dan tidak perlu melalui pemulihan.

Bagaimanapun, sekiranya kanak-kanak itu memerlukan pemulihan keinstitusian maka peruntukan di bawah Seksyen 67 Akta Kanak-kanak 2001 boleh digunakan.

Berikut adalah contoh hukuman bagi kanak-kanak yang terlibat dalam kesalahan lebih serius umpamanya kes membunuh tanpa niat:

PP lwn. Muhamad Abdul Rahim & Satu Lagi (2007) 9 CLJ 672: Kesalahan yang dilakukan adalah di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan bersama-sama dengan seorang yang lain. Pada masa hukuman dijatuhkan pesalah kanak-kanak itu berumur 20 tahun. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun daripada tarikh tangkap. Mahkamah memilih hukuman penjara daripada menghantar pesalah kanak-kanak ke Sekolah Henry Gurney.

Dalam kes PP v. Francis Kuin (2006) 6 CLJ 103: Pada masa kejadian pesalah kanak-kanak berumur 17 tahun enam bulan lima hari. Pesalah kanak-kanak ini telah dihantar ke Sekolah Henry Gurney sehingga berumur 21 tahun.

PP v. Saiful Firus (1996) 3 CLJ 629: Pesalah kanak-kanak telah dihantar ke Sekolah Henry Gurney sehingga berumur 21 tahun. Pada masa kejadian pesalah berumur 16 tahun dan satu bulan.
Namun demikian tidak bermakna mahkamah mengambil sambil lewa dalam memberikan hukuman terhadap kanak-kanak kerana setiap kes tidak sama faktanya. Dan mahkamah masih boleh mengenakan hukuman penjara terhadap kanak-kanak.

Mengikut laporan media tempatan dan kes-kes yang didaftarkan di mahkamah-mahkamah, kesalahan serius yang dilakukan oleh kanak-kanak nampaknya semakin meningkat dari sehari ke sehari.

Jika dulunya perlakuan jenayah oleh ‘kanak-kanak’ hanyalah jenayah yang kecil atau ‘petty offences’ tetapi pada masa sekarang terdapat kanak-kanak berani melakukan rompakan bersenjata, merogol bahkan, malah berani membunuh.

Sekiranya satu hukuman setimpal tidak dijatuhkan kepada pesalah, ia akan memberi isyarat salah kepada kanak-kanak lain dan masyarakat umum bahawa mahkamah akan menunjukkan perasaan belas kasihan dan berlembut jika mereka melakukan kesalahan. Hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah seharusnya mencerminkan perubahan sosial yang berlaku dalam masyarakat.

Jika dilihat daripada kes-kes di atas, kebanyakan mempunyai isu sama, iaitu tidak mendapat perhatian ibu bapa kerana ibu bapa sibuk bekerja dan tidak meluangkan masa bersama kanak-kanak.

Dengan demikian dalam mengambil kira kes-kes terhadap kanak kanak terdapat peruntukan yang mana ibu bapa diwajibkan terlibat dalam pemulihan kanak-kanak semasa dalam institusi pemulihan secara langsung menunjukkan peranan ibu bapa adalah faktor yang penting dalam pembentukan akhlak dan pemikiran kanak kanak.

Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar ialah seorang Pengamal undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN