Integriti teras kelestarian angkasa negara

Integriti teras kelestarian angkasa negara

SEKTOR angkasa kini berdepan cabaran global yang semakin kompleks daripada kesesakan orbit, pencemaran angkasa hingga persaingan geopolitik dan komersialisasi syarikat swasta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKTOR angkasa diiktiraf sebagai dimensi ekonomi dan keselamatan baharu yang kritikal. Namun, di sebalik peluang inovasi dan kekayaan data, tersembunyi risiko yang kompleks termasuk ancaman keselamatan siber, kebocoran maklumat strategik serta potensi ketirisan dalam perolehan projek bernilai tinggi.

Malaysia, melalui Dasar Angkasa Negara 2030, sedang giat memacu ekosistem angkasa yang berdaya saing dan berintegriti. Justeru, kehadiran di Sidang Kemuncak Kelestarian Angkasa ke-7 di Paris, Perancis pada Oktober lalu memberikan penekanan terhadap integriti dan tadbir urus yang utuh.

Nilai-nilai ini adalah benteng pertahanan pertama bagi memastikan pembangunan angkasa negara berjalan secara telus, berakauntabiliti dan bebas daripada sebarang bentuk salah laku demi menjamin kedaulatan, keselamatan dan kelestarian angkasa Malaysia untuk jangka masa panjang.

Perjalanan Malaysia dalam sektor angkasa bermula secara signifikan sejak 1988, apabila negara mula menggunakan maklumat imej Penderiaan Jauh Satelit bertujuan keselamatan dan kedaulatan negara.

Keupayaan ini terus diperkasakan dengan pelancaran satelit komunikasi MEASAT-1 pada 1996, diikuti misi menghantar angkasawan negara ke angkasa lepas pada 2007 yang menjadi mercu tanda sejarah sains dan teknologi negara.

Pembangunan sektor ini pada peringkat awal diterajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui penubuhan Pusat Remote Sensing Negara (MACRES), yang kemudiannya dinaik taraf menjadi jabatan pada 2006 dengan nama Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM).

ARSM memainkan peranan penting sebagai peneraju penyelidikan dan pembangunan teknologi pemerhatian bumi serta pemprosesan data satelit untuk pelbagai aplikasi nasional. Selaras dengan perkembangan teknologi dan keperluan dasar yang semakin luas, Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) pula ditubuhkan bagi membangunkan perkhidmatan angkasa, menjalankan penyelidikan saintifik serta menyelaras dasar dan program pembangunan sektor angkasa negara.

Selepas penggubalan Dasar Angkasa Negara 2030 pada 2017, kerajaan mengambil langkah strategik untuk memperkukuh kecekapan dan integriti tadbir urus sektor angkasa.

Melalui penstrukturan semula, ARSM digabungkan dengan ANGKASA, lalu membentuk Agensi Angkasa Malaysia (MYSA). Penggabungan ini menjadikan MYSA sebagai entiti tunggal peneraju hala tuju angkasa negara, sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan pembangunan sektor angkasa Malaysia terus berkembang secara mampan, berdaya saing dan bertanggungjawab.

MOSTI pula memainkan peranan kritikal melalui dua entiti utama yang saling melengkapi dalam membentuk ekosistem angkasa yang berintegriti dan berdaya tahan:

– MYSA berperanan sebagai badan pembangunan dan inovasi yang bertanggungjawab merangka Dasar Angkasa Negara 2030.

Fungsinya meliputi pengurusan operasi teknikal, pembangunan kapasiti nasional dalam teknologi satelit, pemetaan bumi serta memupuk kolaborasi strategik antarabangsa.

Dalam konteks ini, integriti dan profesionalisme menjadi asas utama dalam pengurusan peruntukan penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta pembangunan bakat dan teknologi negara.

– Bahagian Penguasa Angkasa (BPA) dan Akta 834 (Pengawal Selia) Asas undang-undang yang kukuh dicapai dengan pewartaan Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 [Akta 834].

Akta ini menubuhkan Lembaga Angkasa Malaysia dan Bahagian Penguasa Angkasa (BPA) sebagai badan kawal selia utama.

Di bawah Akta 834, BPA bertanggungjawab untuk:

– Mengawal selia dan melaksanakan pelesenan.
– Menjamin pematuhan dan liabiliti
– Mengurus siasatan kemalangan angkasa di bumi atau angkasa lepas.

Peranan BPA yang didukung Akta 834 menjadi bukti komitmen Malaysia dalam menegakkan prinsip tadbir urus dan integriti dalam pengawalseliaan aktiviti angkasa negara.

 

RISIKO INTEGRITI ANGKASA

Sektor angkasa kini berdepan cabaran global yang semakin kompleks daripada kesesakan orbit, pencemaran angkasa hingga persaingan geopolitik dan komersialisasi syarikat swasta. Antara isu utama yang menuntut perhatian terhadap integriti dan tadbir urus termasuk:

– Keselamatan dan kedaulatan data: Pengurusan data geospatial satelit yang sensitif berkait rapat dengan keselamatan dan pertahanan negara.

Sebarang kebocoran data boleh menjejaskan kedaulatan negara.

– Liabiliti dan pencemaran angkasa: Risiko serpihan roket atau objek angkasa yang memasuki ruang udara Malaysia memerlukan kerangka tadbir urus dan tanggungjawab liabiliti yang jelas di bawah Akta 834.

– Ketirisan perolehan: Projek teknologi angkasa melibatkan peruntukan kewangan yang besar.

Tadbir urus yang lemah boleh membuka ruang kepada konflik kepentingan dan rasuah dalam perolehan projek satelit serta pembangunan infrastruktur kritikal.

 

KEPERCAYAAN

Dalam persekitaran risiko tinggi ini, integriti dan tadbir urus yang baik menjadi orbit utama yang mengelilingi kepercayaan.

Unit Integriti MOSTI memainkan peranan penting sebagai barisan pertahanan dalaman dan penasihat tadbir urus bagi memastikan ekosistem angkasa negara beroperasi secara telus dan berakauntabiliti. Antaranya:

– Pengurusan risiko integriti: Melaksanakan penilaian risiko integriti secara proaktif dalam semua projek bernilai tinggi di bawah MYSA dan lembaga, khususnya dalam perolehan teknologi angkasa.
– Melindungi kerahsiaan dan keselamatan data: Menekankan nilai etika, profesionalisme serta patriotisme dalam kalangan penjawat awam yang mengendalikan data satelit dan geospatial bagi menjaga kerahsiaan maklumat strategik serta kedaulatan data negara.
– Pengukuhan tadbir urus regulatori: Bekerjasama rapat dengan BPA dan Lembaga untuk memastikan pelesenan serta penguatkuasaan Akta 834 dijalankan secara telus, adil dan bebas daripada konflik kepentingan. Seterusnya meningkatkan keyakinan industri dan masyarakat.

KERJASAMA GLOBAL DAN KELESTARIAN ANGKASA

Komitmen Malaysia terhadap integriti dan tadbir urus turut dizahirkan melalui penyertaan aktif dalam platform antarabangsa seperti Jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Penggunaan Aman Angkasa Lepas (UN COPUOS), Persekutuan Astronautik Antarabangsa (IAF), Forum Agensi Angkasa Serantau Asia-Pasifik (APRSAF), Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) serta Sidang Kemuncak Kelestarian Angkasa.

Penyertaan ini membolehkan Malaysia menyuarakan pandangan mengenai standard keselamatan, liabiliti dan pengurusan kelestarian angkasa, selain memperkukuh kepercayaan antarabangsa dalam perkongsian teknologi sensitif.

Kepercayaan global ini hanya dapat dipupuk melalui tadbir urus yang telus dan berintegriti di peringkat nasional.-UTUSAN

PENULIS ialah Ketua Unit Integriti, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×