KEPUTUSAN Parti Impian Sabah (PIS) bertanding solo di kesemua 72 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menarik perhatian ramai, apatah lagi parti itu baharu ditubuhkan pada 2023.
Namun bagi PIS, langkah tersebut bukan dibuat secara terburu-buru, sebaliknya berpaksikan permintaan akar umbi yang mahu parti tersebut membawa agenda perubahan secara langsung dan tanpa bergantung kepada mana-mana gabungan luar.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, JUANI MUNIR ABU BAKAR, Presiden Penaja dan Pengasas PIS, MICHEL LOK menjelaskan keputusan bertanding di semua kerusi dilihat sebagai usaha untuk menghormati suara rakyat yang mahukan alternatif baharu.
BERTANDING SOLO
PIS ditubuhkan sebagai wadah perjuangan untuk semua rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang dan keputusan bertanding 72 kerusi DUN bukan dibuat secara tergesa-gesa tetapi hasil suara akar umbi sendiri. Sepanjang libat urus di seluruh negeri, masyarakat menunjukkan kesungguhan mahu menjadi sebahagian daripada gerakan dan tidak mahu ketinggalan daripada agenda perubahan dibawa parti.
Di setiap kawasan dikunjungi, rakyat menyampaikan permintaan agar PIS turun bertanding di DUN mereka kerana percaya perjuangan parti ini selari dengan aspirasi dan keperluan rakyat Sabah. Hasrat dan keyakinan masyarakat itu memberi isyarat jelas mereka mahukan platform politik baharu benar-benar mewakili suara rakyat, bebas rasuah dan konsisten memperjuangkan hak negeri.
Atas dasar itu, kami mengambil pendekatan menghormati permintaan rakyat dan seterusnya merealisasikan hasrat mereka dengan memutuskan parti akan bertanding di semua kerusi DUN. Bagi PIS, mandat yang diminta bukan sekadar untuk memenangi pilihan raya tetapi untuk memastikan perjuangan rakyat diterjemahkan dalam bentuk pentadbiran yang telus, berintegriti dan berpaksikan masa hadapan Sabah.
YAKIN
Keyakinan terhadap PIS bukan sahaja berpunca daripada semangat dalaman parti tetapi turut disokong oleh sentimen jelas daripada majoriti pengundi di lapangan, khususnya golongan muda yang menjadi penentu hala tuju politik negeri. Gerak kerja PIS turun padang bertemu rakyat menunjukkan wujudnya kehendak kuat untuk melihat kepimpinan baharu yang benar-benar berintegriti, tegas menolak amalan rasuah dan mampu membawa perubahan menyeluruh kepada Sabah.
Maklum balas daripada masyarakat turut memperlihatkan mesej konsisten, rakyat tidak lagi mahu bergantung kepada parti atau gabungan luar yang sering gagal menepati janji serta mengabaikan kepentingan negeri. Sebaliknya, mereka menginginkan sebuah parti tempatan yang bebas daripada kompromi, berprinsip, berani membuat keputusan sendiri dan tidak tunduk kepada tekanan pihak luar.
Kepercayaan rakyat terhadap PIS lahir daripada penilaian terhadap rekod semua pemain politik terdahulu yang pernah menerajui negeri. Berdasarkan penilaian ini, PIS tampil sebagai pilihan yang diyakini kerana hanya parti inilah yang memenuhi ciri-ciri diingini rakyat iaitu bebas rasuah, berprinsip, menegakkan integriti sebagai teras perjuangan serta komited memperjuangkan hak dan masa hadapan Sabah tanpa bergantung atau mengabaikan kepentingan rakyat.
DORONGAN SERTAI PRN
PIS memahami realiti politik dan pentadbiran Sabah dan kerana itu parti yakin mampu memperbetulkan kelemahan struktur yang telah berlarutan. Negeri ini bukan sahaja berdepan masalah kepimpinan tetapi turut terperangkap dalam sistem yang membenarkan kronisme, bantuan pilih kasih dan budaya politik tidak sihat sehingga merosakkan kepercayaan rakyat.
Lebih membimbangkan, rasuah berlaku secara terbuka, menjejaskan pentadbiran serta menghalang pembangunan. Akibatnya, kekayaan dan hasil negeri tidak diagihkan secara saksama. Sumber ekonomi hanya dinikmati kelompok tertentu, manakala majoriti rakyat terus berdepan pembangunan tidak seimbang, peluang ekonomi terhad dan kemudahan asas yang tidak serata.
Bagi PIS, keadaan ini bercanggah dengan semangat keadilan ekonomi untuk rakyat Sabah. Atas kesedaran tersebut, PIS bertanding bukan sekadar untuk menang pilihan raya tetapi untuk menghapuskan budaya buruk dalam sistem politik negeri. Parti beriltizam memastikan kekayaan Sabah diagihkan secara adil kepada semua lapisan masyarakat dan mengembalikan pentadbiran negeri kepada landasan integriti, ketelusan dan keutamaan rakyat.
KEISTIMEWAAN
PIS menonjol berbanding parti tempatan lain bukan sahaja dari segi penubuhan tetapi juga polisi dan undang-undang yang bakal diperkenalkan sekiranya diberi mandat mentadbir Sabah. Parti ini memperkenalkan had dua penggal bagi semua jawatan dalam parti dan kerajaan, termasuk Ketua Menteri, barisan menteri serta ADUN, bagi memastikan kepimpinan sentiasa segar dan mengelak monopoli kuasa.
Dari segi penubuhan, PIS menjadi parti tempatan pertama di Sabah diluluskan melalui perintah mahkamah, menunjukkan prinsip perjuangan berteraskan integriti dan kebebasan politik. Dalam pembangunan dan ekonomi, PIS menekankan pemerkasaan rakyat, memastikan dasar dibentuk berdasarkan keperluan rakyat, bukan kepentingan elit.
Lebih penting, PIS merupakan satu-satunya parti yang menggariskan polisi antirasuah secara khusus dalam manifesto, melalui sistem, mekanisme pengawasan dan undang-undang baharu untuk membanteras kronisme dan salah guna kuasa.
SEDIA KALAH TERMASUK HILANG DEPOSIT
Menyertai pilihan raya kali ini dengan penuh keyakinan dan kesungguhan untuk menang, namun tetap membawa sikap politik yang matang tanpa retorik berlebihan. Parti berpegang proses demokrasi harus dihormati sepenuhnya dan kerana itu menerima apa juga keputusan rakyat Sabah, termasuk siapa pun yang akhirnya diberi mandat untuk membentuk kerajaan.
Prinsip menghormati suara rakyat itu menjadi asas kepada pendirian parti bahawa kuasa politik bukan milik pemimpin tetapi milik rakyat. Walaupun demikian, tekad kami tidak pernah goyah. Berdasarkan maklum balas yang diterima, PIS melihat gelombang keyakinan rakyat semakin memihak kepada perjuangan parti, khususnya dalam kalangan pengundi muda dan mereka yang mahu perubahan budaya pentadbiran di Sabah.
Kepercayaan itu mendorong parti membawa mesej PIS bukan sekadar alternatif tetapi pilihan baharu yang lebih bersih, progresif dan berpaksikan kepentingan rakyat. Atas keyakinan tersebut, PIS bersedia sepenuhnya memikul tanggungjawab untuk membentuk kerajaan Sabah akan datang sekiranya diberi mandat.
Kami percaya rakyat semakin menilai rekod dan reputasi setiap pemain politik dan akhirnya akan memilih siapa yang mampu membawa pentadbiran lebih telus, lebih adil dan benar-benar berorientasikan masa hadapan negeri.
Bagi PIS, kemenangan bukan sekadar soal kerusi tetapi peluang memperbetulkan hala tuju Sabah demi generasi akan datang.
TAWARAN UNTUK RAKYAT SABAH
Tawaran utama bukan sekadar pembangunan fizikal tetapi juga perubahan budaya dan pentadbiran di Sabah. Parti ini menekankan pembaharuan bermula dengan membanteras kronisme dan rasuah melalui polisi jelas dan spesifik.
Reformasi utama termasuk memberi kuasa kepada komuniti menentukan projek pembangunan, memastikan ketelusan penuh projek kerajaan serta menegaskan hak Sabah berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk pengembalian 40 peratus hasil pendapatan negeri kepada rakyat.
Selain itu, PIS menekankan pembangunan ekonomi berpaksikan rakyat, memelihara kepelbagaian budaya dan memperkukuh autonomi negeri bagi memastikan identiti dan hak Sabah terus dihorm rasmi bersama pejabat daerah.
Selain itu, PIS komited memastikan ketelusan penuh dalam pelaksanaan projek kerajaan dengan mendedahkan ukuran dan spesifikasi projek kepada umum sebagai mekanisme semak dan imbang.










