Bahasa Melayu wadah perpaduan dan kemajuan negara

Bahasa Melayu wadah perpaduan dan kemajuan negara

BAHASA Melayu mampu melestarikan perpaduan, memupuk nasionalisme dan menyokong pembangunan Malaysia ke arah kesejahteraan rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPERTI yang diketahui umum bahasa Melayu adalah bahasa negara ini. Sehubungan ini, ia berperanan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di Malaysia.

Sebagai bahasa kebangsaan, ia dipilih sebagai bahasa utama untuk mewakili Malaysia sebagai negara yang merdeka dan berdaulat. Dengan pilihan ini, bahasa Melayu adalah bahasa terpenting di negara ini.

Oleh sebab ia bahasa pribumi tempatan, bahasa kebangsan dianggap sebagai dimiliki semua rakyat dalam sesebuah negara. Dengan ini, semua rakyat terikat dengan bahasa pribumi itu secara primordial. Ia wujud dalam bentuk bahasa jiwa bangsa, selain bersifat kaitannya dengan sejarah negara.

Dalam konteks nasionaliti atau kewarganegaraan, bahasa kebangsaan dikaitkan dengan nasionalisme, iaitu rasa bangga kepada negara. Begitu juga dengan patriotisme, yakni sayang dan setia kepada negara.

Melalui fungsi nasional ini, ia cocok menjadi wadah perpaduan negara.

Ini kerana ia bahasa kepunyaan semua rakyat, selain bahasa paling utama kepada setiap rakyat di segenap pelusok negara berkenaan itu.

Bahasa rasmi merupakan bahasa yang dipilih khas dan mempunyai peruntukan undang-undang yang mengatur penggunaannya dalam semua institusi negara, yang mesti dipatuhi.

Sebagai bahasa utama kerajaan, ia digunakan untuk mentadbir negara dan wajib digunakan dalam semua sistem rasmi, termasuk pendidikan, perundangan dan lain-lain.

Dengan kata lain, bahasa rasmi bukan sekadar simbol atau lambang tetapi bahasa yang wajib digunakan dalam setiap urusan rasmi dan formal negara. Setelah dipilih, penggunaannya bukan sahaja digalakkan, malah mesti dilaksanakan dalam semua konteks secara konsisten.

Oleh kerana penggunaannya yang wajib, bahasa rasmi sering dikaitkan dengan keperluan pengendalian yang berkesan. Sebagai bahasa yang digunakan untuk mentadbir negara melalui perkhidmatan awam, ia mesti lengkap dan sempurna dari segi sistem bahasanya.

Justeru, bahasa rasmi tidak semestinya dipilih daripada bahasa pribumi sahaja. Ia boleh juga diambil daripada bahasa asing, selagi sistem bahasanya menjamin keberkesanan pentadbiran.

Atas dasar penggunaannya yang wajib oleh kerajaan dan dalam semua institusi negara, rakyat bukan sahaja perlu, juga wajib terikat dengan kepentingannya.

Kepentingan ini adalah dalam konteks nasionalisme, iaitu usaha tekun lagi gigih untuk membangun negara agar institusi negara menjadi mantap. Antaranya adalah pentadbiran, perundangan dan pendidikan.

Jadi bahasa rasmi adalah bahasa untuk bukan sahaja mengurus dan mentadbir negara bagi melancarkan pemerintahan. Juga ia bahasa untuk membangun negara agar maju.

Dengan kata lain, bahasa rasmi adalah bahasa utama yang wajib digunakan secara rasmi dan formal oleh rakyat juga untuk memajukan diri dan mencapai kejayaan. Antaranya dalam sistem pendidikan negara bagi seterusnya memajukan negara.

Sebagai wadah perpaduan negara, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan lahir daripada hasrat untuk mencapai kejayaan dalam penyatuan bahasa dan aspek linguistik. Sehubungan ini, ia wujud dalam Penyata Pendidikan Razak 1956.

Hasrat ini kemudiannya diangkat dalam Akta Pendidikan 1961 yang dipinda sebagai Akta Pendidikan 1996.

Dalam konteks penyatuan melalui bahasa atau linguistik iaitu penggunaan bahasa sebagai alat memupuk perpaduan rakyat, sejarah dunia menunjukkan usaha ini bukan sahaja mampu dilaksanakan, malah berjaya di pelbagai tempat dan sepanjang zaman.

PENYELESAIAN

Namun, kejayaan itu tidak begitu menyerlah di negara kita. Kegagalan ini menuntut kita meneliti puncanya. Antara sebab utama ialah ketiadaan kesepakatan yang benar-benar kukuh untuk mengangkat dan menjayakan peranan bahasa kebangsaan dalam ruang kehidupan masyarakat secara menyeluruh.

Sebagai wadah kemajuan negara, bahasa Melayu diyakini mampu sekali kerana ia sudah lama berupa bahasa saintifik moden. Dengan ini, ia bermakna bahasa Melayu memiliki upaya untuk mengungkapkan segala macam hal, baik yang konkrit mahupun abstrak, dalam apa-apa jua bidang ilmu.

Sesungguhnya status ini mula diusahakan sejurus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ditubuhkan pada 22 Jun 1956. Dengan usaha gigih lagi tekun, korpus bahasa Melayu menjadi lengkap dan sempurna sesudah dikodifikasikan, iaitu setelah melalui proses pembinaan pada kosa kata, istilah serta pembakuan ejaan mahupun nahu.

Kemantapan korpus bahasa Melayu dapat dilihat pada pelbagai kamus dan penerbitan akademik yang agam oleh DBP. Dengan kemantapan ini, bahasa Melayu mampu untuk antaranya memandaikan anak bangsa melalui sistem pendidikan negara. Begitu juga yang pastinya bagi membangunkan negara untuk memajukannya di dalam negara dan di persada dunia.

Dengan keadaan korpus yang lengkap dan sempurna ini, iaitu pada tulisan dan ejaan, nahu dan kosa kata bahasa Melayu, tiada sebab untuk kita tidak boleh maju, khususnya melalui bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Seperti juga dengan kes kegagalan bahasa Melayu sebagai wadah perpaduan negara menyebabkan ia tidak diyakini untuk membawa kemajuan negara. Justeru ia juga gagal sebagai bahasa rasmi.

Seperti pada kegagalan bahasa Melayu sebagai wadah perpaduan negara, kita juga perlu mencari sebab yang jitu untuk mengetahui mengapa ia gagal sebagai wadah kemajuan negara. Dalam hal ini, ia didapati mempunyai kaitan rapat dengan rasa ketidakyakinan melalui sikap negatif yang diperlihat terhadap bahasa Melayu.

Ketidakyakinan dan sikap ini dapat dilihat dengan sangat jelas pada beberapa perkara. Antara paling terserlah ialah kesedaran kepada norma bahasa Melayu, kebanggaan dan kesetiaan terhadap bahasa Melayu.

Dalam hal kesedaran ini, menjadi kewajipan rakyat menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan betul pada setiap masa, lebih-lebih lagi untuk urusan rasmi dan formal. Ini penting sekali untuk memperlihat rakyat menyedari sistem bahasa Melayu bestari.

Manakala dalam perkara kebanggaan, rakyat tidak perlu malu untuk menggunakan bahasa Melayu. Rasa bangga ini adalah sentimen positif yang sepatutnya ada pada setiap rakyat.

Soal kesetiaan mencerminkan cara berfikir yang mendorong rakyat melindungi bahasa ini daripada sebarang ancaman. Pemikiran sedemikian sebenarnya merupakan komitmen penting untuk memastikan bahasa ini terus dilestarikan. Agar bahasa Melayu terus berkembang pesat, rakyat perlu menggunakannya secara konsisten dalam semua konteks.

Dengan kata lain, kita bukan sahaja wajib memastikan bahasa Melayu menjadi wadah perpaduan dan kemajuan negara tetapi juga menjadikannya berjaya dan berkesan dalam setiap peranan yang dipikul untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan Malaysia.-UTUSAN

 

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×