DALAM keghairahan terbitnya pekeliling terbaharu untuk terus memperkasa bahasa Melayu selaku bahasa negara, ia bukan sahaja begitu cepat dicabar untuk diuji malah mahu dikesampingkan dengan penuh penghinaan.
Perkara ini dapat dilihat dengan jelasnya apabila pihak berkuasa tertentu bukan sahaja menempelak, malah mengugut pihak yang bertanya tentang penggunaan bahasa Melayu dalam sebuah program kerajaan.
Sehubungan ini, bahasa Melayu sebagai bahasa negara, lebih-lebih lagi dalam peranannya sebagai bahasa rasmi, wajib digunakan dalam semua urusan rasmi negara. Hal ini terang lagi bersuluh pada Bahagian Enam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Ia juga ditegaskan pada Bahagian Dua Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967.
Dalam pada ini, dikeluarkan pada penghujung Oktober 2025 Pekeliling Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraian PO:1.1.1: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Melayu dalam Perkhidmatan Awam. Ia sebenarnya adalah kesinambungan kepada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020 untuk Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam.
Sebenarnya pekeliling sebegini sudah lama wujud. Ia antaranya bermula dengan Surat Pekeliling Bilangan 1 Tahun 2006 tentang Langkah-langkah Memperkasakan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam. Ia kemudiannya wujud dalam bentuk Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011 yang berupa Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam.
Kesemua pekeliling ini ditujukan kepada setiap agensi kerajaan untuk diambil tanggungjawab bukan sahaja oleh ketua jabatan serta pegawai tetapi juga anggota pentadbiran, iaitu menteri dan timbalan menteri.
Dengan ini, mereka bukan sahaja wajib memastikan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul, sama ada dalam bentuk tulisan mahupun lisan, berlaku pada setiap masa dan secara menyeluruh dalam semua urusan rasmi negara.
Sehubungan ini, semua urusan rasmi dalam negara yang melibatkan warganegara Malaysia, hanya membenarkan penggunaan bahasa Melayu. Ia antaranya meliputi perkara surat-menyurat, hal dokumen perjanjian, soal mesyuarat dan penganjuran majlis.
Manakala untuk urusan rasmi antarabangsa yang melibatkan bukan warganegara Malaysia, penggunaan bahasa Inggeris yang merupakan bahasa antarabangsa pilihan dibenarkan.
Walaupun begitu, penggunaan bahasa Melayu tidak diketepikan langsung, ia boleh terus digunakan bersekali, sama ada sebagai terjemahan atau cerminan jati diri kebangsaan.
Selaras dengan ketetapan pada pekeliling terbaharu itu untuk memartabatkan bahasa Melayu selaku bahasa negara dalam ranah kenegaraan, semua perkara rasmi wajib menggunakan bahasa Melayu dengan sepenuhnya. Dengan ini, bahasa Melayu hendaklah digunakan secara menyeluruh, yakni bermula dengan judul sesuatu itu sehinggalah ke akhirnya.
Dalam pada memberi peringatan agar arahan ini mendapat perhatian serius, semua agensi kerajaan bukan sahaja diminta memberi komitmen penuh dengan meneliti, menyemak dan mengambil tindakan yang bersesuaian. Juga diminta supaya tidak mendatangkan implikasi perundangan kepada kerajaan dalam hal penggunaan bahasa Melayu selaku bahasa rasmi negara.
Apabila timbul kejadian yang memperlihatkan reaksi negatif dan sangka buruk terhadap satu pertanyaan yang tidak berunsur provokasi, yakni mengapa sesuatu projek tertentu tidak menggunakan bahasa Melayu. Hal itu sebenarnya menimbulkan implikasi perundangan terhadap kerajaan.
Sehubungan ini, reaksi yang menempelak dan mengugut yang kemudiannya didakwa sebagai hak, sebetulnya adalah kesan perundangan yang dibimbangi pada pekeliling terbaharu itu. Ini kerana reaksi penuh radang itu pasti mempunyai kesan yang mahu dielakkan pada pekeliling itu.
Oleh itu, menjadi kewajipan malah suatu tuntutan perundangan untuk tidak sama sekali menampakkan sebarang bentuk tindakan yang boleh dianggap mencabar kedudukan bahasa Melayu sebagaimana termaktub dalam undang-undang.
Justeru, sebarang reaksi terhadap pertanyaan berhubung penggunaan bahasa kebangsaan, khususnya dalam konteks pewartaan pekeliling terbaharu itu, hendaklah disampaikan dengan penuh berhati-hati, beradab serta berhemah tinggi.
Selain kewajipan ini, seseorang itu hendaklah juga memikirkan implikasi etika yang lebih besar, termasuklah kepada majikannya, kalau tidak pun pada dirinya sendiri. Dalam hal ini, prinsip moral sebagai panduan tingkah laku wajar sentiasa diutamakan sebagai tanggungjawab etika terhadap organisasi dianggotainya, seiring dengan mereka lain yang sentiasa bertindak berlandaskan nilai moral yang baik.
Seperkara penting lagi utama pada kewajipan etika ini ialah perhatian dan layanan kepada semua pihak haruslah selalunya saksama. Dalam hal ini, ia hendaklah yang penuh dengan hormat kepada sesiapa sahaja, walaupun kepada fakir miskin untuk menjaga maruahnya, di samping kesejahteraan awam.
CERMINAN PERIBADI
Dalam hal ini, apabila seseorang itu tiada lagi etika, iaitu set prinsip moral dan nilai yang menjadi panduan kepada kelakuan baik serta tiada lagi kewajipan, yakni obligasi untuk bertindak dan bertanggungjawab atas tindakannya, orang itu tidak perlu lagi dihormati.
Ini kerana orang itu tiada lagi kewajipan moral, yakni status moral untuk dihormati, apatah lagi dipuji dan diberikan ganjaran. Sebetulnya orang itu hendaklah dipersalah dan dijauhi apabila terus-terusan tidak mahu menyedari kesalahan yang dilakukan untuk menginsafinya.
Persoalannya di sini ialah perwatakan moral pada seseorang itu, apatah lagi yang diangkat menjadi pemimpin. Ia merujuk kepada keperibadian seseorang itu untuk berfikir, bertindak dan berkelakuan dengan cara penuh etika dan bukan yang sebaliknya.
Antaranya kekuatan moral pada perwatakan sebegini ialah hormat. Ia adalah kelakuan sopan terhadap pihak lain dengan memuliakannya, menyanjunginya dan lain-lain yang seumpamanya. Ini termasuklah menghargai pandangan yang tidak selari. Begitu juga halnya untuk menjaga hati pihak lain dengan bertoleransi, walaupun kita langsung tidak berkongsi perasaan itu.
Inilah rasa hormat, iaitu perbuatan memberi pertimbangan secara penuh tertib kepada pihak lain. Rasa ini tidak lain tidak bukan adalah perhatian dengan penuh santun oleh pihak lain kepada pandangan kita.
Natijah terutama dalam hal ini ialah rasa hormat bermula dengan diri kita sendiri. Dengan ini, kita hendaklah selalu mendengar dan menghormati pandangan berbeza daripada pihak lain. Untuk reaksinya pula, kita hendaklah berfikir sebelum bercakap agar nadanya sama sekali tidak kasar.
Sesungguhnya kejadian yang berlaku itu bukan sahaja kes tidak menghormati pihak lain. Juga terang-terangan penghinaan. Ini kerana tindakan tidak hormat itu dilakukan secara langsung dan terbuka. Ia dilakukan tanpa mengira kesannya yang akan memalukan pihak yang disasarkan, selain memeranjatkan yang lain-lain di sekelilingnya.
Sebenar-benarnya kelakuan sebegitu bukan sahaja fiil sangat tidak baik pada pihak yang mempamerkannya. Ia juga pekerti yang amat biadab sifatnya. Sebetulnya fiil dan pekerti sedemikian buruk itu lazimnya daripada pembawaan asuhan yang salah, selain langsung tiada didikan adab.
Bagi mereka ini yang terus mahu menegak benang basah, yakni mempertahan kesalahan yang dilakukan, tiada keperluan sama sekali untuk dihormati, walaupun secara berpura-pura, apatah lagi secara ikhlas.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










