DALAM sejarah kepimpinan negara, sering kali tumpuan masyarakat tertumpu kepada barisan lelaki di pentas kuasa, para perdana menteri, presiden dan pemimpin utama dunia yang tampil mengemudi dasar serta arah tuju negara. Namun, di sebalik wajah-wajah pemimpin itu, berdiri sosok wanita yang tidak kurang hebatnya, wanita yang bukan sekadar menyokong tetapi mengimbangi, menyejukkan,dan meneguhkan langkah kepimpinan negara.
Antara figura itu, terserlah keperibadian Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, isteri kepada Perdana Menteri yang tampil menyerlah melalui Program Pasangan Ketua-Ketua Negara sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.
Program yang berlangsung di Seri Negara itu bukan sekadar acara sosial atau simbolik penyertaan kaum wanita dalam sidang rasmi. Ia membawa makna besar dalam membina diplomasi lembut satu bentuk diplomasi yang tidak menggunakan kekuatan ekonomi atau ketenteraan tetapi kekuatan empati, budaya dan kemanusiaan.
Pada struktur pentadbiran negara, Malaysia melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menzahirkan semangat itu dengan jayanya, dipimpin oleh sosok wanita yang berwibawa Datuk Seri Nancy Shukri.
Kehadiran Wan Azizah di tengah barisan pasangan pemimpin ASEAN menggambarkan wajah baharu diplomasi yang lembut, berhemah dan penuh nilai keinsanan.
Melalui inisiatif ini, Malaysia bukan sahaja mengukuhkan tali persahabatan antara negara, malah memperlihatkan keupayaan wanita untuk menjadi jambatan antara budaya, antara bangsa dan antara hati manusia.
Simbol tradisi dan keanggunan diplomasi
Bertempat di Seri Negara, Kuala Lumpur, bangunan bersejarah yang menyaksikan banyak peristiwa penting negara dengan program ini berlangsung dalam suasana penuh harmoni.
Dindingnya yang klasik dan seninya yang bernilai sejarah menjadi latar kepada misi besar untuk memperkukuh keluarga ASEAN sebagai satu komuniti yang saling memahami.
Wan Azizah tidak sekadar menjadi hos tetapi menjadi wajah kepada nilai rahmah dan kelembutan yang menjadi dasar Malaysia Madani Beliau menyambut setiap tetamu dengan penuh mesra dan wibawa, daripada senyuman lembutnya, tertonjol nilai kepimpinan wanita Islam yang membawa hikmah, kasih dan kecerdikan. Dalam dirinya terpancar kefahaman bahawa kekuatan pemimpin bukan hanya pada kebijaksanaan tetapi pada kelembutan hati yang mampu menyatukan manusia.
Antara pengisian utama program ialah demonstrasi kebaya bertemakan ASEAN Shared Intangible Cultural Heritage, simbol keindahan warisan yang telah diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Kebaya bukan sekadar pakaian tetapi lambang identiti, kesopanan dan kekuatan wanita Asia Tenggara. Melalui kebaya, tersulam nilai-nilai halus yang mencerminkan kesabaran, ketelitian dan keanggunan ciri-ciri yang juga menjadi teras kepada kepimpinan wanita yang berjaya.
Wan Azizah memahami bahawa diplomasi budaya adalah bahasa universal yang paling halus. Dalam setiap lipatan kain kebaya, tersimpan sejarah dan semangat wanita yang membina peradaban dari kampung kecil hingga ke istana di Kuala Lumpur. Beliau membawa mesej ASEAN bukan sekadar gabungan politik atau ekonomi tetapi keluarga besar yang diikat dengan nilai kemanusiaan dan kasih sayang.
Wanita sebagai tiang kestabilan
Ketika dunia semakin bergelut dengan ketegangan politik dan perpecahan sosial, peranan wanita sebagai penyembuh dan penenang semakin terserlah. Wan Azizah sendiri adalah cerminan kekuatan itu. Beliau bukan sekadar bekas Timbalan Perdana Menteri malah seorang doktor perubatan, pendakwah, ahli politik dan aktivis sosial yang menempuh pelbagai badai politik dengan ketenangan dan kebijaksanaan luar
biasa.
Dalam konteks ASEAN, peranan wanita sepertinya sangat penting. Mereka bukan sahaja penyokong di belakang tabir, tetapi penggerak moral kepada dasar-dasar yang menyentuh kesejahteraan rakyat. Diplomasi lembut yang digerakkan wanita mampu melengkapi diplomasi keras yang dilakukan oleh pemimpin lelaki, kerana di sinilah keseimbangan itu terbina.
Wan Azizah menunjukkan kekuatan wanita bukan terletak pada suara yang lantang tetapi pada keupayaan untuk mendengar, memahami, dan menyatukan. Beliau tidak perlu menjadi tumpuan kamera kerana kehadirannya sendiri sudah menjadi simbol hikmah yang diam tetapi kuat.
Menjana diplomasi melalui empati
Dalam setiap interaksi bersama pasangan pemimpin negara ASEAN, Wan Azizah memperlihatkan seni yang halus, seni mendekati manusia dengan empati.
Diplomasi yang dibina atas dasar keikhlasan jauh lebih berkekalan daripada perjanjian bertulis. Inilah yang menjadi kekuatan beliau: kemampuan mendidik melalui kelembutan, membina silaturahim melalui kasih, dan memperkukuh persaudaraan melalui kejujuran hati.
Bengkel Terrarium yang diadakan dalam program ini juga sarat dengan simbolik. Ia menggambarkan bagaimana wanita memelihara kehidupan, sama seperti mereka memelihara sebuah ekosistem kecil agar terus hidup dan indah. Ia seolah-olah metafora kepada dunia bahawa keseimbangan dan kelestarian hanya dapat dicapai apabila ada tangan-tangan lembut yang menjaganya dengan penuh kasih.
Dalam diri beliau ada sinar hikmah yang menjadi inspirasi kepada wanita seluruh dunia. Beliau bukan sekadar simbol isteri kepada Perdana Menteri tetapi tokoh tersendiri yang mempunyai sejarah perjuangan yang panjang dalam membela nasib rakyat, wanita dan keluarga.
Beliau mendidik masyarakat menjadi pemimpin tidak bermakna menjadi dominan tetapi menjadi rahmat. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Sebaik-baik kamu ialah yang paling baik terhadap keluarganya”.
Itulah cerminan beliau, seorang wanita yang menzahirkan kelembutan dalam kepimpinan, kasih dalam ketegasan dan prinsip dalam tindakan.
Wanita ASEAN: Penjaga nilai dan harapan
Kehadiran sembilan pasangan Ketua-Ketua Negara ASEAN di bawah hos Wan Azizah menandakan satu langkah penting, bahawa wanita kini tidak lagi hanya pelengkap acara tetapi pelengkap kepimpinan. Mereka adalah penjaga nilai yang membentuk budaya dan moral dunia baharu.
ASEAN bukan hanya tentang perdagangan, tetapi tentang kemanusiaan. Dan wanita seperti Wan Azizah adalah jantungnya menghidupkan semangat ASEAN sebagai keluarga, menyuburkan kasih sayang serantau, dan memastikan masa depan ASEAN dibina atas dasar kesejahteraan sejagat.
Program Pasangan Ketua-Ketua Negara sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menunjukkan di tengah dunia yang penuh perbezaan, wanita memiliki kuasa luar biasa untuk menyatukan. Mereka bukan sekadar simbol lembut, tetapi tenaga penggerak yang membentuk semangat baharu diplomasi moden.
Wan Azizah melalui kelembutan dan keanggunannya membuktikan kekuatan sebenar seorang pemimpin bukan pada kekuasaan tetapi pada kasih dan kebijaksanaan. Dan Malaysia, melalui dirinya, menunjukkan kepada dunia bahawa ‘rahmah’ bukan hanya konsep tetapi realiti yang menghubungkan hati manusia, dari Kuala Lumpur ke seluruh ASEAN.
PROFESOR Madya Dr. Hamidah Mat ialah Dekan Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Open University Malaysia (OUM)
ATRIZA Umar ialah Calon Ijazah Kedoktoran, Kempimpinan Wanita










