Sumud Flotilla buka mata dunia, beri inspirasi kepada anak muda

Sumud Flotilla buka mata dunia, beri inspirasi kepada anak muda

NAMA Sumud Flotilla kini bergema di universiti, di sekolah, malah di jalanan. Ia menjadi sumber inspirasi bahawa untuk menjadi pejuang, seseorang tidak semestinya memegang senjata.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI tengah samudera biru, layar putih flotilla berkibar megah. Dari jauh, ia mungkin hanya kelihatan seperti kapal kecil yang membawa gandum, ubat-ubatan dan susu bayi.

Namun, bagi jutaan insan yang menanti di pesisir Gaza, flotilla itu bukan sekadar kapal, ia adalah simbol keberanian manusia sejagat menentang penindasan paling lama dalam sejarah moden.

Inilah Sumud Flotilla, perjuangan tanpa senjata, tanpa meriam, tetapi penuh dengan kekuatan jiwa.

Sejarah flotilla tidak boleh dipisahkan daripada tragedi Mavi Marmara 2010. Dunia tersentak apabila sembilan aktivis antarabangsa gugur ditembak tentera laut Israel ketika cuba membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza. Insiden itu mengejutkan masyarakat antarabangsa dan mendedahkan wajah sebenar kekejaman Zionis.

Sejak itu, perkataan flotilla menjadi mimpi ngeri buat rejim Israel, dan sebaliknya simbol keberanian buat manusia sejagat yang cintakan keadilan. Walau kapal mereka ditahan, aktivis dipenjara, malah ada yang gugur syahid, namun flotilla terus berlayar. Seperti kata seorang aktivis, “Kami tidak membawa peluru, kami hanya membawa harapan.”

APA ITU SUMUD
Sumud adalah perkataan Arab yang bermaksud teguh, tidak goyah walau ditekan. Ia bukan sekadar slogan, tetapi roh perjuangan rakyat Palestin sejak dekad pertama pendudukan.

Kini, semangat sumud itu dikongsi oleh para sukarelawan dari seluruh dunia. Mereka datang dari pelbagai latar belakang. Malaysia, Turkiye, Ireland, Afrika Selatan, Jepun, Itali, Sepanyol dan banyak negara lagi berjuang demi keamanan dunia yang kian hilang di bumi Palestin.

Mereka meninggalkan keluarga dan keselesaan, lalu duduk sebumbung di atas dek kapal kecil, berkongsi satu cita-cita, membebaskan Gaza daripada kepungan yang kejam.

Menyertai flotilla bukanlah sekadar pelayaran amal. Ia hakikatnya ibarat menandatangani “surat mati”.

Tentera laut Israel sedia menanti di perairan antarabangsa, kapal boleh dirampas, aktivis boleh dipenjara, dan nyawa boleh melayang. Namun, apa yang mendorong mereka tetap berlayar? Jawapannya hanya satu, hati nurani.

Setiap kali flotilla berlayar, dunia kembali membuka mata. Media antarabangsa yang selama ini cuba menutup isu Palestin, terpaksa melaporkan kisah penderitaan Gaza.

Ahli politik di kerusi empuk mereka tergugat. Dan yang paling penting, anak-anak kecil Palestin tersenyum, kerana mereka tahu mereka tidak pernah bersendirian.

FLOTILLA MESEJ PERUNDANGAN DUNIA
Inilah keunikan flotilla. Mereka tidak memiliki meriam atau peluru berpandu. Senjata mereka hanyalah kotak ubat, beg gandum, kerusi roda dan susu bayi.

Tetapi di situlah letaknya kekuatan kerana bantuan kecil itu mampu menikam hati nurani dunia.

Bagi Israel, flotilla mungkin kelihatan kecil. Tetapi bagi rakyat Palestin, ia adalah bahtera gergasi yang membawa maruah, solidariti, dan doa jutaan manusia.

Apa yang lebih mengejutkan, serangan Israel terhadap flotilla sebenarnya mencabuli pelbagai undang-undang antarabangsa. Menurut Konvensyen Undang-Undang Laut (UNCLOS 1982), setiap kapal awam berhak belayar bebas di perairan antarabangsa dan menahan atau menyerangnya tanpa alasan sah adalah satu bentuk lanun negara (state piracy).

Dalam masa yang sama, Konvensyen Geneva Keempat (1949) secara jelas melarang hukuman kolektif serta mengharamkan sekatan bantuan kemanusiaan.

Kepungan Israel ke atas Gaza yang sudah berlarutan puluhan tahun tahun adalah satu bentuk pelanggaran terang-terangan terhadap peruntukan ini.

Selain itu, tindakan menghalang flotilla juga bercanggah dengan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengiktiraf hak sesuatu bangsa untuk menentukan nasib mereka sendiri.

Dengan menafikan akses bantuan dan menguatkuasakan kepungan, Israel pada hakikatnya menafikan hak Palestin sebagai bangsa merdeka.

Tidak cukup dengan itu, Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (1948) menjamin setiap manusia berhak mendapat makanan, ubat-ubatan dan kebebasan bergerak, namun semua hak ini dinafikan melalui kepungan Gaza serta serangan ke atas kapal bantuan.

Tragedi Mavi Marmara 2010 menjadi bukti paling jelas, apabila pakar undang-undang antarabangsa menyifatkan serangan berdarah itu sebagai jenayah perang, kerana ia melibatkan pembunuhan aktivis awam yang tidak bersenjata di perairan antarabangsa.

INSPIRASI GENERASI MUDA
Nama flotilla kini bergema di universiti, di sekolah, malah di jalanan. Ia menjadi sumber inspirasi bahawa untuk menjadi pejuang, seseorang tidak semestinya memegang senjata.

Cukup dengan hati berani, jiwa besar dan keberanian menentang ketidakadilan. Bagi anak-anak Gaza, flotilla adalah isyarat bahawa dunia masih peduli.

Bahawa masih ada insan di luar sana sanggup mempertaruhkan nyawa demi mereka. Dalam senyuman kecil mereka, terselit semangat besar yang tidak mampu dipatahkan.

Walaupun flotilla hanyalah kapal kecil di tengah lautan luas, ia membawa mesej yang lebih besar daripada mana-mana armada perang.

Setiap layar yang dibentang, setiap dek yang dijejaki, setiap doa yang bergema di atas kapal adalah bukti bahawa perjuangan ini tidak akan pernah padam.

Flotilla adalah saksi hidup bahawa solidariti manusia masih wujud, bahawa keberanian masih berdenyut di tengah dunia yang semakin bisu. Kebenaran tidak boleh ditenggelamkan!

Selagi ada flotilla yang berani berlayar, selagi itu dunia akan terus diingatkan bahawa Palestin masih hidup, bahawa keadilan masih diperjuangkan. Flotilla bukan sekadar perjalanan di lautan.

Ia adalah bahtera keberanian yang menggegarkan dunia, walaupun tubuhnya kecil. Ia adalah simbol sumud, keteguhan jiwa manusia yang tidak rela tunduk pada kezaliman.

Buat generasi muda, flotilla adalah api yang membakar semangat, mengingatkan bahawa perjuangan tidak semestinya berlumuran darah, tetapi boleh lahir daripada kasih sayang dan keberanian.

Sumud Flotilla adalah bahtera kecil dengan jiwa besar. Ia mungkin tidak sehebat kapal perang moden, tetapi layar putihnya lebih menggerunkan rejim Zionis daripada misil dan meriam.

Kerana setiap kali flotilla berlayar, dunia akan bertanya, mengapa kapal kecil ini dianggap ancaman besar? Jawapannya mudah, kerana kebenaran, walau kecil, tetap akan menggegarkan penindas yang zalim. Selagi layar flotilla terus berkibar, selagi itu harapan Palestin akan terus menyala.

Sejarah membuktikan tiada kuasa penjajah yang kekal selamanya. Begitu juga dengan Palestin, setiap doa, setiap solidariti, setiap layar flotilla yang berkibar adalah janji bahawa suatu hari nanti, al-Quds akan kembali merdeka dan anak-anak Palestin akan membesar di tanah air yang bebas. – UTUSAN

PENULIS ialah Ketua Pejabat Undang-undang dan Pematuhan Tadbir Urus di Sultan Ahmad Shah Medical Centre (SASMEC) @IIUM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN