Siapa tentukan status kewarganegaraan pemain?

Siapa tentukan status kewarganegaraan pemain?

DALAM kes-kes terdahulu, pemain didapati bersalah kerana memalsukan status kelahiran atau status kewarganegaraan ibu bapa pemain dalam dokumen yang dikemukakan kepada FIFA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DARI tempoh 1 Julai hingga 30 Jun 2025, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menerima sebanyak 119 permohonan bagi mengesahkan status kelayakan pemain untuk mewakili negara yang dikemukakan oleh 50 persatuan bola sepak dari seluruh dunia.

Indonesia mengemukakan permohonan tertinggi dengan 15 pemain, diikuti Russia (7), Thailand (7), Malaysia (7) dan Syria (6). Daripada kesemua permohonan yang dikemukakan, hampir semua pemain disahkan layak beraksi dengan negara masing-masing.

Namun, menurut laporan Tribunal Bola Sepak FIFA, terdapat sembilan kes yang terpaksa ditutup oleh FIFA selepas permintaan untuk mengemukakan maklumat tambahan atau dokumentasi tambahan tidak dijawab oleh persatuan bola sepak yang terlibat.

Dalam kes Malaysia, Hector Hevel membuat penampilan pertama menentang Nepal pada 25 Mac 2025 diikuti Gabriel Palmero yang membuat penampilan pertamanya menentang Cape Verde pada 29 Mei 2025. Status kedua-dua pemain ini tidak dicabar mana-mana pihak ketika itu.

Namun, pada Jun 2025, sebaik sahaja Hevel dan Palmero serta lima pemain warisan baharu iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo dan Jon Irazabal membuat penampilan pertama menentang Vietnam dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027, FIFA menerima aduan berkenaan status kesemua tujuh pemain tersebut.

Aduan ini tidak diketahui umum sehinggalah Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengenakan hukuman terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan negara atas pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA dengan menggunakan istilah forgery dan falsification.

Forgery menurut kamus Oxford bermaksud tindakan memalsukan dokumen manakala falsification bermaksud tindakan memalsukan maklumat.

FIFA berkata, FAM telah mengemukakan doctored documentation yang bermaksud dokumentasi yang telah diubah kandungannya supaya mereka dapat mewakili skuad kebangsaan.

Disebabkan itu, FAM dikenakan denda CHF300,000 (RM1.8 juta), setiap pemain didenda CHF2,000 (RM10,000) dan digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak. Hukuman tersebut boleh dirayu melalui Jawatankuasa Rayuan FIFA.

Jawatankuasa Tatatertib FIFA sudah pun merujuk kes status tujuh pemain warisan tersebut kepada Tribunal Bola Sepak FIFA sama ada mereka benar-benar layak mewakili negara. Tribunal ini terbahagi kepada tiga kamar iaitu kamar status pemain, kamar penyelesaian pertikaian dan kamar ejen. Kes Malaysia dirujuk kepada kamar status pemain.

Dalam kes-kes terdahulu, pemain didapati bersalah kerana memalsukan status kelahiran atau status kewarganegaraan ibu bapa pemain dalam dokumen yang dikemukakan kepada FIFA, walaupun pemain itu sudah menjadi warganegara bagi negara yang diwakilinya.

FAM sendiri pernah berdepan dengan kes seperti ini apabila salah satu dokumen yang dikemukakan oleh pemain dari Congo, Marcel Kalonda yang didakwa mempunyai darah campuran Malaysia, mengandungi maklumat tidak sahih.

TIMOR LESTE
Pada 2017, 12 pemain Timor Leste kelahiran Brazil didapati memalsukan status kelahiran mereka melalui dokumen yang dikemukakan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebagai bukti mereka layak mewakili Timor Leste menerusi pertalian dengan salah seorang ibu bapa mereka yang dilahirkan di negara itu. Namun, AFC mendapati status kelahiran kesemua 12 pemain itu adalah palsu dan Timor Leste disingkirkan daripada kelayakan Piala Asia 2023 dan didenda AS$20,000 (RM84,000).

EMILIO NSUE
Emilio Nsue mula mewakili negara kelahiran bapanya, Equatorial Guinea sejak 2013 namun didapati tidak layak mewakili negara itu kerana dia tidak pernah membuat permohonan kepada FIFA untuk menukar negara kelahiran Sepanyol yang diwakilinya sebelum ini. Walaupun tidak layak, dia terus beraksi dengan Equatorial Guinea.

Ia berlarutan sehingga Mei 2024 apabila Nsue sekali lagi didapati tidak layak mewakili Equatorial Guinea kerana mengemukakan permohonan menggunakan pasport palsu yang menyatakan tempat kelahirannya di Malabo, ibu negara Equatorial Guinea sedangkan dia dilahirkan di Palma de Mallorca, Sepanyol. Dia digantung enam bulan daripada beraksi dengan skuad kebangsaan.

Pada 5 Mac 2025, FIFA akhirnya mengisytiharkan Nsue layak untuk mewakili Equatorial Guinea selepas meluluskan permohonan untuk menukar negara yang diwakilinya.

BYRON CASTILLO
Pada April 2021, Byron Castillo baru sahaja disahkan sebagai warganegara Ecuador dan beraksi dalam lapan perlawanan kelayakan, membantu negaranya layak ke Piala Dunia Qatar 2022 apabila menduduki tempat keempat dengan 26 mata daripada 18 perlawanan, berbanding Peru di tempat kelima dengan 24 mata.

Namun, Chile membuat aduan kepada FIFA yang mendakwa Castillo memalsukan dokumen kewarganegaraannya, serta mendakwa pemain itu tidak layak beraksi dengan Ecuador dalam kelayakan Piala Dunia ketika itu.

Jawatankuasa Tatatertib FIFA bagaimanapun menolak aduan tersebut. Chile bersama Peru turut membuat rayuan namun Jawatankuasa Rayuan FIFA menolaknya.

Peru dan Chile kemudian membawa kes itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS). Peru meminta Ecuador disingkirkan daripada beraksi di Piala Dunia dan digantikan oleh Peru.

Chile pula mendakwa Castillo tidak layak untuk beraksi dalam lapan perlawanan kelayakan, dan meminta CAS supaya melucutkan kesemua keputusan perlawanan tersebut dan meletakkan Chile pada kedudukan layak ke Piala Dunia.

CAS membuat keputusan bahawa Castillo tidak melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA kerana pemain itu layak untuk beraksi dalam kelayakan Piala Dunia kerana kewarganegaraan pemain itu ditentukan oleh undang-undang negara pemain berkenaan, bukan FIFA. Castillo juga layak beraksi dengan Ecuador kerana negara itu mengiktiraf Castillo sebagai warganegara Ecuador.

Namun, CAS memutuskan bahawa Ecuador melanggar Artikel 21 Kod Tatatertib FIFA kerana mengemukakan dokumen yang mengandungi maklumat palsu.

Walaupun pasport Castillo adalah sahih, beberapa maklumat yang diberikan di dalamnya adalah palsu. Tarikh lahir dan tempat lahir pemain itu tidak betul kerana pemain itu sebenarnya dilahirkan di Tumaco, Colombia, pada 25 Jun 1995.

Justeru, CAS menganggap Persekutuan Bola Sepak Ecuador perlu bertanggungjawab terhadap perbuatan pemalsuan dokumen di bawah Perkara 21, Kod Tatatertib FIFA, walaupun persatuan itu bukanlah pengarang dokumen yang dipalsukan itu.

Disebabkan itu, Ecuador dikenakan pemotongan tiga mata untuk edisi seterusnya iaitu kelayakan Piala Dunia 2026 dan didenda sebanyak CHF100,000 (RM528,000).

Justeru, dalam pandangan FIFA, adalah menjadi tanggungjawab persatuan yang berhasrat untuk memanggil dan menyenaraikan pemain tertentu dalam skuad kebangsaan untuk mengesahkan sama ada pemain tersebut layak untuk mewakili negaranya. Dari segi status kewarganegaraan pemain, ia tertakluk kepada undang-undang negara masing-masing. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia dan graduan Football Business and Management di Sports Business Institute Barcelona.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN