SESUNGGUHNYA tindak balas etnik Cina dalam isu hidangan arak di majlis rasmi negara untuk menegak benang basah, yakni mempertahan kesalahan, bukan sahaja jelas memperlihat sikap rakus mereka. Malah, tindakan itu berasaskan dorongan keuntungan semata-mata tanpa mengambil kira kepentingan negara.
Keadaan ini amat membimbangkan kerana mereka dilihat gagal memahami konteks keseluruhan isu. Ini kerana etnik Cina hanya berminat untuk perkara mikro bagi hanya tujuan laba kepada mereka sahaja, dengan langsung tidak mahu memberi tumpuan kepada hal makro tentang negara.
Sikap rakus untuk diri sendiri dan kegagalan untuk fokus kepada negara itu begitu terang lagi bersuluh. Ini dapat dilihat pada cara mereka berhujah untuk mewajarkan hidangan arak pada jamuan dalam majlis rasmi negara.
Bagi menjelaskan kewajaran tersebut, aspek impak ekonomi turut diketengahkan apabila dilaporkan sejumlah RM420 juta berjaya dijana melalui jamuan yang disertai dengan amalan diplomasi arak itu.
Mereka juga menekankan tajaan pihak swasta secara sukarela dengan membiayai kos jamuan itu sepenuhnya dapat membantu kerajaan menjimatkan kos yang besar.
Seterusnya etnik Cina mahu menganggap perkara itu sebagai isu remeh yang tidak perlu diperbesar. Ini kerana bagi mereka ia boleh menimbulkan keraguan yang berupaya mempengaruhi keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia.
Kononnya boleh memusnahkan peluang ekonomi sekali gus menjejaskan pendapatan negara secara keseluruhan, termasuk golongan etnik Cina yang turut terlibat dalam industri pelancongan.
Amaran keras tentang hidangan arak ditempelak dan dilihat sebagai kegagalan kerajaan semasa mewujudkan Malaysia yang sederhana, yakni tidak konservatif dari sudut keagamaan dan inklusif dari segi kepelbagaian etnisiti.
Etnik Cina mahu melihatnya sebagai tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 3 yang memaktubkan Islam sebagai agama Persekutuan.
Mereka mahu kehidupan nasional yang tertakluk kepada ajaran Islam dikecualikan untuk yang bukan Islam.
Malaysia mahu dilihat oleh etnik Cina sebagai sebuah negara berbilang kaum, budaya dan agama di mana semua rakyat mempunyai hak asasi sama rata.
Etnik Cina juga mahu adanya kompromi pada ajaran Islam. Ini dapat dilihat apabila mereka berhujah dengan menegaskan umat Islam yang hadir pada acara rasmi itu, tidak pun dipelawa, apatah lagi dipaksa mengambil minuman keras.
Sehubungan itu, kegagalan etnik Cina memahami sensitiviti umat Islam terhadap hidangan arak berpunca daripada keengganan mereka berintegrasi dalam struktur sosial Melayu-Islam. Kefahaman asas tentang Islam amat penting agar mereka dapat berfungsi dengan harmoni dalam masyarakat Melayu-Islam di negara ini.
Isu ini turut disensasikan dan dipolitikkan dengan dakwaan larangan hidangan arak dalam majlis rasmi negara dianggap sebagai tindakan kolot. Pandangan ini muncul dalam kalangan etnik Cina yang melihat larangan tersebut sebagai langkah mundur serta terlalu ketat terhadap acara bersifat kontemporari yang menghimpunkan masyarakat antarabangsa.
Sebenarnya, apabila diteliti keseluruhan hujah berhubung isu itu, jelas tumpuan utama mereka berkisar pada faktor ekonomi. Mereka turut mengkritik pendirian tegas etnik Melayu yang membantah perkara tersebut, dengan alasan kononnya sikap sedemikian boleh mengekang pertumbuhan ekonomi negara.
Dengan kata lain, tidak keterlaluan langsung untuk dikatakan tindak balas etnik Cina dalam isu itu, memperlihatkan mereka rata-ratanya adalah mata duitan. Ini dapat dilihat pada pemikiran rakus mereka untuk menghalalkan cara bagi mencapai matlamat.
Untuk ini, etnik Cina bukan sahaja langsung tidak segan silu, juga angkuh sekali. Dalam hal tiada rasa malu, mereka cuba mengkrompromi ajaran Islam.
Hal ini demikian kerana Islam sama sekali berbeza daripada beberapa sistem kepercayaan lain, termasuk yang mereka anuti, yang mungkin membenarkan perkara sedemikian dilakukan.
Sementara itu, keangkuhan mereka terserlah apabila tidak mahu mengakui kesalahan.
Sikap angkuh segelintir etnik Cina ini boleh mendatangkan kesan buruk kepada negara dan menimbulkan pelbagai kemudaratan. Oleh itu, tindakan segera perlu diambil bukan sahaja untuk memperbetulkan keadaan dalam masa terdekat tetapi memastikan masalah ini dapat dihapuskan dalam jangka panjang.
Sikap angkuh ini bukan sahaja menunjukkan usaha memperlekeh institusi negara, malah seolah-olah cuba menghapuskan kewibawaannya. Larangan yang ditetapkan kerajaan sengaja diingkari secara terbuka bagi menegakkan ideologi kiri, termasuk dengan mengangkat fahaman sekularisme yang akhirnya bertujuan menggantikan asas teokrasi Islam.
UMAT ISLAM PERLU BERSATU
Oleh itu, proses pembinaan negara yang mewujud, mengembang dan memantapkan institusi negara, hendaklah dipastikan terus terikat dengan kuat pada ideologi kanan.
Antara yang paling utama ialah tradisionalisme, yang berperanan mempertahankan nilai, moral, norma serta amalan lama yang telah berakar di negara ini. Tradisionalisme agama khususnya perlu terus diamalkan secara teguh tanpa sebarang kompromi, sama ada secara separa apatah lagi sepenuhnya diubah.
Oleh itu, sebarang usaha memperkenalkan liberalisme atau modernisme bagi menggantikan tradisionalisme dan konservatisme wajar disekat serta ditentang sepenuhnya walaupun ia cuba digambarkan sebagai sesuatu yang rasional, berasaskan kebendaan atau berorientasikan kepentingan individu, khususnya bagi bukan Islam.
Untuk ini, etnik Melayu di negara ini harus bersatu menentang tafsiran baharu mengenai perihal moral yang cuba diajukan pihak tertentu dalam kalangan bukan Melayu.
Dalam pada ini, cukup malang sekali apabila ada etnik Melayu sendiri yang kononnya moden lagi liberal, mahu menyokong tafsiran baharu itu.
Walaupun Islam adalah agama tradisional etnik Melayu, ia yang juga selaku agama Persekutuan, hendaklah dihormati pada setiap masa, khususnya oleh yang bukan Melayu.
Langkah ini bukan sahaja dapat memupuk pemahaman yang lebih mendalam bagi memperkukuh perpaduan negara dan integrasi nasional tetapi juga dapat memperluas pandangan dunia dalam kalangan bukan Melayu agar lebih memahami nilai serta ajaran agama Islam.
Oleh itu, marilah kita bersama mempertahankan tradisionalisme agama Islam demi membina hubungan etnik yang harmoni dan memajukan negara tercinta ini.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor, Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).











