Malaysia pimpin ASEAN hadapi tekanan dunia

Malaysia pimpin ASEAN hadapi tekanan dunia

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA dunia berdepan era ketidaktentuan dan krisis geopolitik yang semakin kompleks, kepengerusian Malaysia dalam ASEAN tahun ini disifatkan seperti ‘mengemudi kapal di tengah lautan bergelora’.

Dalam suasana hubungan antarabangsa yang sarat cabaran iaitu daripada tekanan tarif ekonomi oleh Amerika Syarikat (AS), persaingan strategik antara kuasa besar, hinggalah konflik sesama negara anggota, Malaysia tetap berusaha memastikan ASEAN kekal teguh, berdaya saing dan berperanan sebagai tonggak kestabilan serantau.

Cabaran yang dihadapi bukan kecil. Dunia menyaksikan lonjakan ketegangan antara AS dan China yang turut memberi kesan langsung kepada Asia Tenggara.

Presiden Donald Trump menerusi dasar perlindungan ekonominya, mengenakan tarif baharu terhadap kesemua negara anggota ASEAN. Keputusan unilateral itu memaksa setiap negara mencari jalan tersendiri mempertahankan kepentingan ekonomi masing-masing.

Dalam keadaan ini, perpaduan ASEAN seolah diuji hingga tahap maksimum.

Namun di sebalik cabaran tersebut, Malaysia tetap memperkukuh hala tuju ASEAN melalui pelancaran Wawasan Komuniti ASEAN 2045: ASEAN yang Berdaya Tahan, Inovatif, Dinamik dan Berpusatkan Rakyat.

Dokumen penting ini menjadi simbol komitmen bersama untuk membina masa hadapan rantau yang stabil dan makmur. Ia menegaskan kepentingan undang-undang antarabangsa, keterangkuman digital, serta kerjasama ekonomi dan teknologi antara negara anggota.

Lebih penting, wawasan ini mencerminkan keyakinan Malaysia mengenai keamanan dan kemajuan hanya boleh dicapai melalui usaha bersama.

Namun realitinya, pelaksanaan visi tersebut bukan mudah. Ketegangan politik di rantau ini masih wujud, terutama selepas tercetusnya konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja awal tahun ini.

Dalam masa sama, isu pengasingan Myanmar daripada proses ASEAN terus menjadi duri dalam daging kepada perpaduan blok tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tampil sebagai watak penting yang memainkan peranan utama dalam mengekalkan kesatuan ASEAN di tengah-tengah pergolakan ini.

Beliau bukan sahaja berusaha menyatukan pendirian ASEAN terhadap dasar tarif AS tetapi juga mengambil langkah diplomatik untuk menjemput Trump menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur.

Walaupun langkah itu mengundang pelbagai pandangan dalam negara, ia memperlihatkan pendekatan matang Malaysia yang memilih dialog berbanding konfrontasi.

Usaha Anwar dalam membantu Thailand dan Kemboja mencapai rundingan damai turut menunjukkan kematangan kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN. Walaupun ada yang berpendapat gencatan senjata itu tercapai hasil tekanan ekonomi AS, hakikatnya, Malaysia memainkan peranan diplomatik penting bagi memastikan keamanan di rantau ini dikekalkan.

Satu lagi pencapaian besar di bawah kepengerusian Malaysia ialah kejayaan hampir mewujudkan hubungan langsung antara pihak bertelagah di Myanmar melalui mekanisme Troika ASEAN.

Langkah itu menjadi sejarah tersendiri kerana belum pernah mana-mana pengerusi ASEAN sebelum ini mencapai kemajuan sedemikian. Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) September lalu, menegaskan pengasingan Myanmar bukan jalan penyelesaian.

Sebaliknya, dasar keterlibatan harus diperkukuh bagi mengembalikan kestabilan dan kemanusiaan di negara itu.

Di luar lingkungan ASEAN pula, Malaysia menunjukkan keaktifan luar biasa dalam diplomasi antarabangsa. Lawatan rasmi Anwar ke Moscow dan Kazan pada Mei membuka lembaran baharu dalam hubungan ASEAN-Russia.

Tahun ini menjadi detik penting apabila kedua-dua pihak bersiap sedia menggubal Pelan Kerjasama Strategik baharu bagi menggantikan kerangka lama. Langkah ini turut memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai penghubung utama antara ASEAN dan kuasa-kuasa besar dunia.

Penerimaan Malaysia sebagai rakan rasmi BRICS tahun ini membuktikan kemampuan negara dalam memperluas jaringan ekonomi global. Di tengah-tengah dasar perlindungan perdagangan AS yang semakin agresif, langkah ini memberi ruang kepada Malaysia dan ASEAN meneroka pasaran alternatif serta memperkukuh daya tahan ekonomi rantau.

Walaupun Malaysia terus mengekalkan hubungan baik dengan AS dan Kesatuan Eropah, strategi meluaskan kerjasama dengan rakan dari luar rantau mampu mengimbangi pengaruh kuasa besar tradisional.

Secara keseluruhannya, kepengerusian Malaysia dalam ASEAN pada tahun ini mencerminkan keupayaan kepimpinan negara untuk mengemudi organisasi serantau terbesar di dunia dengan tenang dan berprinsip.

Di sebalik badai politik dan tekanan global, Malaysia tetap berpegang pada prinsip ASEAN mesti kekal berpaksikan rakyat, berdaya tahan terhadap cabaran serta terbuka terhadap perubahan.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Pengarah Pusat ASEAN di Universiti MGIMO.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×