Kecerdasan buatan pacu masa hadapan pekerjaan baharu

Kecerdasan buatan pacu masa hadapan pekerjaan baharu

MASIH wujud peluang besar untuk pekerjaan baharu yang melengkapkan kecerdasan buatan (AI) walaupun berdepan risiko automasi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KECERDASAN buatan (AI) bukan lagi gagasan futuristik semata-mata tetapi menjadi asas transformasi dalam semua sektor ekonomi dan sosial.

Di Malaysia, AI berpotensi menggerakkan pembangunan negara yang lebih unggul, namun ia juga menuntut kesiapsiagaan tenaga kerja untuk melangkah ke dunia pekerjaan baharu berdasarkan teknologi.

Antara rujukan penting ialah laporan Future of Jobs 2025 oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang meramalkan AI dan teknologi pemprosesan maklumat akan mencetuskan transformasi besar dalam pekerjaan. Sebanyak 170 juta pekerjaan baharu dijangka wujud, walaupun sesetengah kerja tradisional akan pupus atau disesuaikan.

Ramalan ini menggambarkan dimensi pertumbuhan besar dalam ruang pekerjaan yang berasaskan AI dan analitik data, khususnya dalam bidang seperti pakar data raya, jurutera AI dan pembelajaran mesin serta penyelesaian teknologi pintar untuk pelbagai industri.

Di Malaysia sendiri, permintaan terhadap kemahiran AI meningkat walaupun dalam pasaran kerja yang lebih perlahan.

Menurut laporan 2025 Global AI Jobs Barometer – Malaysia Analysis oleh PwC, peratusan pengiklanan kerja yang menuntut kemahiran AI mencapai sekitar 2 peratus pada 2024, dengan sektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) menunjukkan pertumbuhan yang agak mantap dalam penawaran jawatan.

Tambahan pula, laporan Impact Study of Artificial Intelligence, Digital and Green Economy on the Malaysian Workforce oleh TalentCorp menyatakan lebih daripada 620,000 pekerjaan di negara ini berisiko dipengaruhi AI, digitalisasi dan ekonomi hijau dalam tempoh lima tahun akan datang.

Antara penemuan kajian penting dalam konteks Malaysia ialah kajian mengenai pendedahan generatif AI terhadap tenaga kerja, satu analisis menyatakan kira-kira 4.2 juta pekerja atau sekitar 28 peratus tenaga kerja negara berada dalam kategori pendedahan tinggi kepada generatif AI, manakala tambahan 2.5 juta pekerja dalam pendedahan sederhana-tinggi.

Ini menunjukkan walaupun banyak pekerjaan menghadapi risiko automasi, masih terdapat ruang luas untuk munculnya pekerjaan baharu yang menyokong atau melengkapkan AI, bukan hanya menggantikannya.

Daripada perspektif nasional, Laporan The Economic Impact of Generative AI yang diterbitkan agensi kerajaan Malaysia pada 2023 menjangkakan AI generatif boleh meningkatkan kapasiti produktif negara sehingga sejumlah USD 113.4 billion (RM477.9 bilion), yang bersamaan dengan hampir satu perempat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022.

Laporan tersebut menekankan pelaburan dalam latihan semula, inisiatif pembangunan kemahiran dan rangka tadbir urus AI penting supaya manfaat ekonomi dapat dinikmati secara meluas.

Berdasarkan semua ini, apakah bentuk peluang pekerjaan baharu yang bakal muncul dalam ekosistem AI Malaysia?

ENAM PEKERJAAN BAHARU

Pertama, muncul keperluan tinggi terhadap pembangun dan jurutera AI, profesional yang merancang, melatih dan menyelenggara model pembelajaran mesin.

Permintaan ini tidak terhad kepada syarikat teknologi sahaja tetapi meliputi institusi perbankan, kesihatan, industri pembuatan pintar, serta syarikat pemula teknologi tempatan.

Dalam laporan TalentCorp, sektor ICT disebut antara yang paling memerlukan kepakaran seperti saintis data dan jurutera AI.

Kedua, bidang integrasi AI dalam industri bakal menjadi kerjaya utama. Tenaga kerja ini perlu menghubungkan teknologi AI dan konteks industri seperti kesihatan, pertanian pintar, tenaga lestari dan pendidikan digital.

Ini bagi memastikan sistem AI boleh diguna pakai dalam situasi dunia sebenar dengan mengambil kira syarat domain khusus.

Ketiga, pekerjaan dalam domain data dan analitik semakin kritikal. Sistem AI hanya sebaik data yang melatihnya. Maka, peranan seperti jurutera data, penganalisis data besar, arkitek pangkalan data dan pakar keselamatan data bakal menjadi komponen penting dalam rantaian nilai AI.

Keempat, pekerjaan dalam etika, tadbir urus dan akauntabiliti AI akan muncul secara agresif. Dengan kebimbangan terhadap ketidakadilan algoritma, privasi, keputusan automatik yang tidak difahami oleh pengguna dan tanggungjawab moral, negara memerlukan profesional yang mampu menyusun kerangka etika, garis panduan kebijakan AI serta mekanisme audit sistem AI.

Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) juga mengiktiraf Malaysia yang sedang membangun ekosistem AI dengan meletakkan perhatian kepada aspek etika dan tadbir urus.

Kelima, pereka interaksi manusia-AI penting agar sistemnya tidak hanya pintar tetapi mesra pengguna dan mudah diterima dalam konteks budaya tempatan.

Keenam, pekerjaan dalam sokongan, pengurusan projek dan latihan AI akan berkembang, seperti jurulatih, pembangun kurikulum, penyedia set data tempatan, penterjemah bahasa untuk model AI dan pemantau prestasi sistem.

Kesemua enam bentuk pekerjaan baharu ini selari dengan laporan terkini The Burning Glass Institute bertajuk The Expertise Upheaval (2025). Laporan ini menyatakan pembangunan kepakaran dalam pekerjaan pada era AI mula menunjukkan perubahan ketara.

Struktur dan amalan tradisional sistem ambilan pekerja dan sistem latihan pekerjaan akan menyaksikan transformasi, menurut laporan terbabit.

Majikan perlu untuk menyemak kembali skop pekerjaan semasa pekerja, mengenalpasti tugas yang boleh dilaksanakan AI dan meletakkan penambahan pekerja pada tugasan yang memerlukan lebih sentuhan kreativiti manusia, khasnya tugasan aras tinggi.

Dalam menyokong peluang pekerjaan baharu, universiti dan institusi pendidikan tinggi mempunyai peranan kritikal. Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sendiri memperuntukkan usaha menyusun kurikulum baharu yang menekankan kemahiran AI, analitik data dan etika teknologi selain memperkenalkan mikro kredensial serta sijil profesional yang mudah diakses oleh tenaga industri.

Walau bagaimanapun, cabaran yang tidak boleh diabaikan seperti kekurangan kemahiran praktikal AI dalam kalangan graduan generasi terdahulu dan keperluan kerangka dasar yang kukuh bagi membina kepercayaan pelabur.

Namun, saya yakin dengan kerjasama kerajaan, industri, institusi pendidikan, institusi penyelidikan dan masyarakat, peluang pekerjaan baharu AI di Malaysia dapat dijelmakan secara inklusif serta berdaya tahan.

Ia menuntut ekosistem AI yang utuh dan bersepadu sebagaimana mesej penting yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa melancarkan Malaysia AI Nexus pada 10 Mei 2024.

Dalam menggarap agenda ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UTM akan berganding bahu menjayakan program iFuture, khasnya buat pemimpin muda. Bertemakan ‘Memperkasa Pemimpin Muda ke Arah Masa Depan Digital’, program akan berlangsung pada 11 hingga 13 Oktober di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.

Pemimpin muda akan berpeluang berinteraksi dengan pemimpin negara, khasnya bersama Perdana Menteri, bagi memperoleh visi membangun dunia masa hadapan yang berciri digital.-UTUSAN

 

PROFESOR Dr. Mohd. Shafry Mohd. Rahim ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan profesor bidang kecerdasan buatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×