Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah secara rasminya dibubarkan pada 6 Oktober lalu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-17. Sebanyak 73 kerusi DUN akan dipertandingkan kali ini melibatkan calon-calon daripada parti politik sama ada daripada Semenanjung mahupun tempatan.
Parti-parti politik dalam PRN kali ini akan terus kekal memfokuskan elemen taburan etnik untuk merancang strategi bagi meraih tahap sokongan pengundi yang maksimum sepertimana dijangka oleh Ilham Centre sejak PRN-16 yang lalu.
Ilham Centre merupakan satu-satunya institusi penyelidikan politik di negara ini yang membahagikan kawasan pilihan raya di Sabah kepada lima kawasan kluster iaitu Sabah Utara (Dusun, Bajau, Sungai, Rungus, Ubian dan Iranun), Sabah Timur (Bajau dan Bugis di pesisir pantai), Sabah Barat (Dusun, Murut dan Sungai), Kota Kinabalu (Melayu, Cina, Kadazan dan Dusun) dan Pantai Barat mengunjur ke Selatan Sabah (Melayu Brunei, Kadazan, Bisaya dan Bajau).
Oleh itu, parti-parti politik seperti Parti Bersatu Sabah (PBS) akan menumpukan jentera di kawasan etnik majoriti Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) seperti di DUN Tandek, Kiulu dan Kundasang, manakala parti berteraskan Melayu Bumiputera Islam (MBI) seperti UMNO dan Bersatu memfokuskan persaingan di kawasan Sindumin, Membakut dan Kuala Penyu.
Namun, faktor-faktor sampingan lain seperti pemilihan calon, parti bertanding, isu yang dimainkan dan semangat kewilayahan juga perlu diberi perhatian oleh parti-parti politik dalan PRN-17 di Sabah kali ini.
CALON BERTANDING DAN KEKUATAN PERSONALITI
Pengundi-pengundi dalam PRN-17 masih cenderung memilih calon yang mempunyai hubungan kekeluargaan dan berpengaruh di kawasan DUN mereka mengundi. Tokoh politik tempatan yang mempunyai jaringan kekeluargaan luas antaranya Shafie Apdal, Ronald Kiandee, Hajiji Nor, Salleh Said Keruak, dan Bung Moktar Radin.
Ikatan kesetiaan kekeluargaan pengundi kepada elit politik ini memudahkan kemenangan calon dalam pilihan raya meskipun terdapat parti politik lawan yang lebih berkaliber cuba menewaskan mereka.
Anak Muda dan Isu Pilihan Raya
Anak muda merupakan komponen penting pengundi di Sabah. Antara isu panas yang berupaya mempengaruhi undi mereka dalam PRN ialah peningkatan kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kenaikan harga barang.
Majoriti pengundi muda meletakkan harapan tinggi kepada parti yang berjaya membentuk kerajaan untuk mengutamakan dasar-dasar ekonomi yang berkesan, penyelesaian keluhan rakyat dan kemampuan pemimpin-mengekalkan kestabilan politik bagi menjamin pemulihan ekonomi.
Di samping itu, sentimen kewilayahan juga perlu diambil kira oleh parti dan calon yang bertanding untuk meningkatkan tahap sokongan pengundi dalam pilihan raya negeri.
Antara slogan yang digunapakai oleh parti dan gabungan politik tempatan ialah ‘sayangi Sabah’ dan Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper, Sabah Unity oleh GRS, ‘Selamatkan Sabah’ oleh Warisan dan ‘Sabah for Sabahan’ rancak digunakan oleh Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) untuk meraih sokongan pengundi di Sabah.
Gabungan Dominan menjelang PRN-17 Sabah
Gabungan GRS telah mengumumkan untuk bekerjasama secara rasmi dengan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN-17 di Sabah. Gabungan GRS mendapati kerjasama dengan parti Kerajaan Persekutuan lebih menguntungkan apabila mereka dapat memanfaatkan jentera, wakil negeri dalam Kabinet dan penyaluran peruntukkan manakala PN dan BN Sabah telah mengumumkan menolak bekerjasama dengan GRS susulan perseteruan dalam kalangan pemimpin mereka.
BN Pusat memilih pendekatan lebih lunak dengan mencadangkan pakatan pilihan raya (electoral pact) bagi mengelakkan pertembungan dengan calon daripada Kerajaan Perpaduan.
Sekiranya GRS-PH-BN bekerjasama secara terpilih dan menggunapakai strategi pakatan pilihan raya ini, masing-masing mampu mengekalkan kemenangan 57 penyandang kerusi sedia ada dan membentuk kerajaan campuran.
Sebuah lagi gabungan parti popular iaitu Warisan mengalami kemerosotan kekuatan jentera kerana kekurangan sumber kewangan dan berlakunya peralihan sokongan penyokong kepada GRS. Keputusan Warisan untuk bergerak solo merupakan strategi politik yang salah kerana persekitaran politik semasa Sabah telah berubah dan hanya parti yang bekerjasama seterusnya menang dalam PRN akan dapat membentuk kerajaan negeri.
Secara keseluruhannya, kerjasama GRS dengan PH dan pendekatan electoral pact dengan BN bakal membuahkan hasil kerana gabungan ini mempunyai sumber dan kekuatan jentera di peringkat negeri serta Persekutuan.
Meskipun BN berhadapan kesukaran dalam proses rundingan kerana wujudnya dua pasukan berbeza iaitu BN Sabah dan BN Pusat, namun BN Pusat boleh melangkaui pendirian kepimpinan negeri bagi memastikan gabungan tersebut relevan dalam politik kerajaan negeri Sabah selepas PRN-17 kelak.
BN tidak boleh berada pada blok pembangkang di Sabah selama-lamanya dan pilihan raya kali ini merupakan peluang terbaik kepada gabungan ini untuk kembali menjadi parti dominan dalam kerajaan negeri Sabah.
Dr. Mohammad Tawfik Yaakub ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Politik, Universiti Malaya (UM)