Hala tuju universiti perlu dinilai semula

Hala tuju universiti perlu dinilai semula

UNIVERSITI perlu menjadi ruang pelajar bukan sahaja untuk memperoleh pekerjaan tetapi membina pemikiran kritis, empati dan daya kepimpinan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA Malaysia melangkah ke era Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi 2025-2035, cabarannya bukan sekadar menambah bilangan universiti atau pelajar antarabangsa tetapi menegakkan kembali maruah bangsa melalui tamadun ilmu yang berteraskan kualiti, integriti dan akauntabiliti.

Malaysia juga menyasarkan 250,000 pelajar antarabangsa menjelang 2025, membuktikan potensinya sebagai hab pendidikan serantau. Namun, kejayaan sebenar tidak diukur pada angka, tetapi pada kemampuan universiti melahirkan graduan berilmu, berakhlak, berjiwa patriotik serta berupaya memberi manfaat kepada manusia.

Kualiti mesti menggantikan budaya kuantiti. Ini menuntut keberanian menilai semula sistem penarafan universiti, dasar penerbitan dan penilaian akademik agar seimbang antara ilmu, nilai, integriti, impak sosial serta kesejahteraan masyarakat.

Kebebasan akademik mesti bergerak seiring dengan akauntabiliti. Universiti dituntut bukan hanya menyampaikan ilmu tetapi memastikan tadbir urusnya telus, berintegriti dan bertanggungjawab kepada warga universiti, dan negara.

Asas akauntabiliti dan integriti akademik universiti perlu berpaksikan undang-undang pendidikan tinggi sedia ada yang secara kolektif memperuntukkan struktur kuasa, tanggungjawab, tatatertib dan piawaian akreditasi akademik. Ini akan memperkukuh prinsip autonomi akademik yang berakauntabiliti kepada negara dan masyarakat.

Malaysia boleh mengambil iktibar daripada Australia yang mengamalkan rangka kerja Akta Perkhidmatan Pendidikan bagi Pelajar dari Luar Negara (ESOS) dan Daftar Institusi dan Kursus Komanwel untuk Pelajar dari Luar Negara (CRICOS). Sistem ini mewajibkan ketelusan maklumat, pemantauan kualiti dan mekanisme pampasan yuran sekiranya institusi gagal menunaikan janji.

Malaysia boleh membentuk Kod Etika Pendidikan Antarabangsa Malaysia yang mengandungi: Kewajipan pendaftaran dan ketelusan yuran: Setiap institusi wajib didaftarkan di bawah Sistem Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia (EMGS) dan menyatakan semua yuran secara terbuka.

Saluran aduan dan pampasan: Penubuhan badan bebas bagi menangani aduan pelajar dan mengurus skim pampasan sekiranya berlaku pelanggaran kontrak pendidikan.

Akreditasi dan audit tahunan: Pemantauan tahunan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk memastikan piawaian kualiti pendidikan dan kebajikan pelajar terpelihara.

Dalam konteks Malaysia, garis panduan EMGS serta Pekeliling KPT berkaitan urus tadbir pelajar antarabangsa perlu dijadikan asas kepada pembentukan kod etika pendidikan agar setiap institusi bertanggungjawab secara sah terhadap kebajikan, keselamatan dan ketelusan maklumat pelajar.

Inisiatif ini akan memperkukuh reputasi Malaysia sebagai destinasi pendidikan yang beretika dan berdaya saing global.

TITIK SEIMBANG
Pelaksanaan konsep kompak misi antara kerajaan dan universiti perlu digerakkan secara berprinsip bagi menyeimbangkan kebebasan akademik dengan tanggungjawab sosial, memastikan setiap dasar dan keputusan berpaksikan nilai akauntabiliti, kesejahteraan komuniti kampus, para pensyarah dan kepentingan nasional.

Konsep ini juga perlu selaras dengan semangat Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) dan perlembagaan universiti, yang mengiktiraf kebebasan institusi untuk mengurus hal ehwalnya sendiri dalam batas tanggungjawab sosial yang ditetapkan undang-undang.

Garis panduan dan pekeliling KPT wajar dijadikan rujukan bagi memastikan setiap universiti menyeimbangkan autonomi akademik dengan tadbir urus berintegriti.

KPI ini refleksi terhadap tanggungjawab universiti kepada masyarakat. Setiap pencapaian mesti dilaporkan secara terbuka melalui papan pemuka awam yang memaparkan prestasi universiti secara telus. Ini merupakan amalan tadbir urus yang menegakkan prinsip integriti.

Untuk memastikan pelan ini realistik, kerajaan dan universiti perlu bergerak secara berfasa:
– Fasa I (2025–2027): Pengukuhan asas — pelaksanaan kod etika pendidikan, pembangunan sistem audit kualiti dan pelancaran papan pemuka prestasi awam.
– Fasa II (2028–2031): Pengembangan inovasi — memperluas Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL), memperkenal kecerdasan buatan (AI) beretika dalam pendidikan serta mewujudkan dana padanan industri dan wakaf universiti.
– Fasa III (2032–2035): Pengukuhan maruah akademik – menilai semula sistem ranking berdasarkan impak sosial, mewujudkan Majlis Integriti Akademik Nasional (MAIN) dan menginstitusikan laporan Pulangan Pelaburan Sosial (SROI) bagi setiap universiti.

Dengan pelan terancang ini, reformasi pendidikan tinggi tidak akan berhenti pada wacana tetapi menjadi gerakan kebangsaan yang menzahirkan nilai akauntabiliti, integriti, keadilan, keberanian moral dan kemanusiaan sejagat.

AMANAH BUKAN PERNIAGAAN
Kerajaan perlu memperkukuh mekanisme dana wakaf dan dana padanan industri dengan anggaran kos awal RM500 juta menjelang 2027, dilengkapkan dengan sistem pelaporan tahunan yang menilai pulangan sosial dan ekonomi.

Ini memastikan setiap ringgit awam diterjemah kepada manfaat masyarakat, bukan keuntungan korporat semata-mata.

Universiti perlu menjadi ruang bagi pelajar bukan sahaja untuk memperoleh pekerjaan tetapi membina pemikiran kritis, empati dan daya kepimpinan.

Graduan Malaysia mesti dikenali bukan sahaja kerana kebolehan teknikal tetapi kerana adab, integriti, keadilan, tanggungjawab dan jiwa besar berupaya menyumbang secara bermakna demi pembangunan negara-bangsa.

Inilah roh tamadun ilmu — maruah bangsa terletak pada akal budi rakyatnya, bukan hanya pada teknologi, h-indeks, sitasi, ranking atau keindahan bangunan universiti. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Nuarrual Hilal Md Dahlan ialah Pensyarah Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM), Ahli Bersekutu (ACIS), Institut Setiausaha dan Pentadbir Bertauliah Malaysia (MAICSA) dan exco Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN