MINGGU Biologi disambut pada 11 hingga 19 Oktober setiap tahun dengan pelbagai tema untuk mengetengahkan kepentingan biologi dalam kehidupan.
Inovasi dalam biologi membantu menyokong kestabilan planet bumi dan kesejahteraan manusia serta hidupan lain.
Minggu Biologi juga bertujuan untuk menyemarakkan bidang biologi, meraikan pencapaian ahli yang luar biasa dan menunjukkan pentingnya mereka kepada masyarakat dan pembangunan negara.
Tema ‘Biologi untuk esok yang lebih baik’ menjadikan biologi tunjang kepada usaha menangani krisis global perlu difahami oleh semua pihak bagi memastikan kehidupan masa hadapan yang berdaya tahan, menghadapi perubahan iklim, pencemaran, melindungi alam sekitar, menangani isu-isu keterjaminan makanan, penyakit-penyakit baharu, udara dan air bersih dan mencipta penyelesaian untuk masa hadapan lestari.
Isu perubahan iklim dan alam semula jadi terus menjadi fokus kepada semua penduduk dunia. Semua pihak perlu bersama memberikan tumpuan kepada pentingnya bidang sains biologi dalam menangani isu-isu yang saling berkaitan dengan perubahan iklim, kesihatan, keterjaminan makanan dan alam semula jadi.
Isu kesihatan planet yang hangat dibincangkan memerlukan penyelesaian di peringkat global dan pendekatan yang bersepadu. Semua peringkat masyarakat perlu memahami proses kehidupan untuk menjamin keselesaan dan kelestarian penduduk dunia.
Banyak aktiviti yang boleh dilaksanakan sempena minggu biologi, seperti merentas alam semula jadi, seminar atas talian dan aktiviti kanak-kanak melukis dan mewarna bagi memahami alam semula jadi dan kepentingannya termasuk yang berkaitan perkhidmatan ekosistem.
Pengetahuan yang ada akan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya bidang biologi kepada manusia. Setiap bandar, daerah dan negeri perlu ada model ekosistem semula jadi untuk program pembelajaran komuniti.
Perkara sekecil-kecil semut pun dapat mengajar manusia tentang kepentingan semua pihak atas planet bumi ini dalam menjamin kelestarian ekosistem melalui fungsi alam semula jadi.
Apa sahaja kajian boleh dilakukan berkaitan semut, daripada kepelbagaian spesies hinggalah kepada perasaan semut di bawah tekanan.
Melalui sistem saraf yang mudah, semut mempunyai otak kecil dan ganglia yang tersebar di seluruh badan, membolehkan mereka memproses maklumat deria seperti bau, sentuhan dan penglihatan.
Sistem saraf yang mudah menghasilkan kehidupan kompleks boleh mengajar manusia tentang banyak tajuk sains, teknologi dan inovasi serta alam sekeliling yang berfaedah.
Begitu juga dengan haiwan bentik dan pemuliharaan habitat persisir. Permintaan tinggi dalam bidang penyelidikan berkaitan belangkas dalam ujian farmaseutikal, ketam yang mungkin penting dalam konteks pemakanan selain perubatan kerana sumber nutrisi serta bioaktif sangat bernilai, habitat kepada hidupan laut dan lain-lain memerlukan pengetahuan bidang biologi.
Kajian tentang belangkas yang tidak berubah sejak 400 juta tahun dahulu, dirujuk sebagai fosil hidup, boleh menjadi peranan utama dalam kelestarian sesuatu ekosistem.
Promosi terhadap kesedaran tentang kepelbagaian biologi masih belum nampak berjaya apabila masih lagi terdapat kerosakkan habitat semula jadi, kepupusan spesies dan bencana alam dibincangkan di seluruh dunia.
Pendidikan alam sekitar menjadi penting dan permintaan tinggi di peringkat global. Program Komunikasi, Pendidikan, Kesedaran Awam (CEPA) diiktiraf sebagai alat dan panduan untuk memberikan kesedaran awam tentang kepelbagaian biologi.
Malaysia sebagai negara yang kaya dengan kepelbagaian biologi mesti mendahului program CEPA di dunia. Penggunaan teknologi tinggi internet kebendaan (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) dapat memberikan maklumat biologi yang jitu dalam pendidikan dan membuat keputusan.
Memandangkan pentingnya biologi dalam kehidupan manusia dan krisis bumi, maka keperluan pendidikan bidang biologi perlu dipertingkatkan.
Kurikulum biologi perlu disemak dengan pendekatan kaedah pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang disesuaikan dengan isu-isu semasa serta peringkat komuniti bagi meningkatkan minat generasi sekarang.
Peta jalan kurikulum biologi perlu dirancang sejak umur 5 tahun agar warganegara tahu arah tuju pendidikan biologi dan kepentingannya dalam kelestarian hidup. Pendekatan pendidikan biologi perlu lebih meluas serta merentas bidang merangkumi warganegara bukan saintis, melalui teknikal, vokasional dan laluan akademik.
Mata pelajaran Biologi adalah bidang pengajian yang mendalam mengenai kehidupan dan organisma hidup, merangkumi pelbagai aspek seperti struktur dan fungsi, pertumbuhan serta evolusi organisma. Kajian mendalam mengenai biokimia, anatomi tumbuhan serta haiwan, genetik, mikrobiologi dan biologi molekul, memberikan pemahaman komprehensif tentang dunia kehidupan.
GUNA TEKNOLOGI TERKINI
Bagi menarik minat pelajar dalam bidang biologi, gabungan teknologi terkini dalam kajian biologi, aktiviti amali yang mudah memahamkan pelajar berkaitan sel, fotosintesis, pernafasan, pemakanan, peredaran darah, perkumuhan dan pembiakan perlu dilakukan.
Lawatan ke lapangan boleh memberikan pengetahuan dan pengalaman, melalui aktiviti mentafsirkan proses dan kepelbagaian yang dapat dilihat dan dirasai.
Forum dan perbincangan dapat menerangkan bidang biologi menghubungkan manusia dengan proses kehidupan dan alam sekeliling.
Sambutan Minggu Biologi adalah sangat wajar bagi menilai minat pelajar terhadap sains hayat, menghubungkan biologi dengan isu semasa, memperkasakan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), menghargai tokoh tempatan, guru dan aktivis yang memajukan ilmu biologi, membudayakan sains dalam masyarakat, menggalakkan penglibatan ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta dalam pendidikan sains biologi.
Bidang biologi juga adalah laluan untuk masuk kepada bidang perubatan, bioteknologi, pertanian moden dan ekologi.-UTUSAN
DR. Ahmad Ismail ialah Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).










