Bersatu di ambang perpecahan?

Bersatu di ambang perpecahan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) harus mengambil pelajaran dari sejarah.

Sejarah politik negara adalah retak dan belah. Dari Datuk Onn Jaafar keluar UMNO pada 1951 hingga ke Tun Dr. Mahathir Mohamad meninggalkan parti itu dan menubuhkan Bersatu pada 2016. Jelas, perpecahan dalaman menjadi kisah yang tidak pernah berakhir.

Parti Melayu berulang kali gagal menguruskan perbezaan, lalu memilh jalan pintas dengan keluar dan menubuhkan wadah baharu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Setiap kali sejarah ini berulang, pola yang sama dapat diperhatikan. Perpecahan bermula daripada perbezaan strategi dan visi kepimpinan, kemudian berkembang menjadi pertembungan antara kem. Akhirnya, apabila tiada jalan perdamaian, sebuah parti baharu akan lahir.

UMNO melahirkan Semangat 46, PKR lahir daripada reformasi selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sementara Parti Amanah Negara (Amanah) lahir selepas Pas berpecah. Manakala Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pula lahir daripada pertembungan Dr. Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kini, Bersatu berdepan risiko menjadi sebahagian daripada senarai panjang parti Melayu yang retak menjadi belah.

Politik Malaysia menunjukkan perpecahan tidak pernah berlaku tanpa harga. UMNO hilang Kelantan selepas krisis 1987, Pas kehilangan sokongan bandar selepas lahirnya Amanah dan PKR hilang kerajaan selepas Langkah Sheraton.

Jika Bersatu gagal mengurus perpecahan dalaman, parti ini juga akan menanggung harga yang sama.

BAYANGAN AWAL RETAK

Isyarat pertama kelemahan Bersatu mula kelihatan apabila kedudukan Muhyiddin sebagai presiden parti dan pengerusi Perikatan Nasional (PN) digugat melalui surat akuan berkanun (SD) yang didakwa ditandatangani beberapa ahli Parlimen Bersatu.

Walaupun isu itu akhirnya reda, namun hakikatnya menunjukkan sokongan kepada Muhyiddin tidak sepenuhnya padu.

Dalam politik negara, isu SD bukan sekadar dokumen undang-undang tetapi simbol perebutan kuasa.

Rakyat masih segar dengan pengalaman Langkah Sheraton. Ketika itu SD digunakan sebagai senjata politik untuk menukar kerajaan. Maka apabila SD mula dikaitkan dengan dalaman Bersatu, ia memberi gambaran jelas wujudnya kelompok yang tidak lagi yakin dengan kepimpinan Muhyiddin.

Bagi sebuah parti yang sedang bersaing untuk menawan semula Putrajaya, keraguan terhadap pemimpin utama menjadi petanda bahaya. Tanpa sokongan dalaman yang kukuh, sukar untuk Bersatu mengemudi PN dalam pilihan raya akan datang.

 

KETEGANGAN

Retak kedua muncul apabila timbul isu dana pilihan raya dan pengagihan kerusi. Hubungan Bersatu dengan Pas yang sebelum ini kelihatan padu mula diuji apabila wujud desas-desus mengenai rasa tidak puas hati parti Islam itu terhadap agihan dana.

Pas sebagai parti berakar umbi di Pantai Timur mahu memastikan jentera mereka mendapat peruntukan secukupnya. Namun di pihak Bersatu, parti ini juga mahu mengukuhkan kedudukan di negeri yang bukan tradisi Pas, khususnya di kawasan bandar dan separa bandar.

Maka timbul pertikaian mengenai kerusi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). Pas menuntut kawasan majoriti Melayu lebih banyak manakala Bersatu mahu mempertahankan kerusi sedia ada dan menambah kawasan baharu.

Dalam politik gabungan, soal dana dan kerusi adalah isu yang paling sensitif. Jika tidak diurus dengan baik, ia boleh menimbulkan rasa tidak puas hati yang membarah menjadi perpecahan.

Pas mungkin kekal dalam PN tetapi hubungan yang renggang dengan Bersatu boleh melemahkan gabungan secara keseluruhan.

SERANGAN WAN SAIFUL

Kemelut dalaman Bersatu memuncak apabila Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Datuk Wan Saiful Wan Jan menyerang Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali secara terbuka, sekali gus mendedahkan perpecahan antara dua kem dalam parti.

Serangan itu bukan sahaja menjejaskan imej Mohamed Azmin sebagai penghubung strategik dalam PN tetapi turut mencalar reputasi Bersatu apabila pertikaian dalaman dipertontonkan kepada umum, sekali gus menghakis keyakinan pengundi.

 

IMPLIKASI

Krisis dalaman Bersatu memberi kesan besar kepada PN dengan melemahkan imej gabungan itu yang kononnya membawa naratif kestabilan.

Pertikaian ini turut menjejaskan hubungan dengan Pas, terutama dalam isu dana dan pembahagian kerusi.

Dalam masa sama, ia membuka ruang kepada UMNO dan kerajaan perpaduan melabel PN sebagai gabungan rapuh, sekali gus menjejaskan keyakinan pengundi atas pagar.

 

UJIAN PERTAMA

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bakal menjadi medan ujian awal selepas krisis ini. Sabah terkenal sebagai negeri politik cair kerana budaya lompat parti yang sudah berakar.

Bersatu Sabah sebelum ini pernah menjadi pemain penting tetapi kedudukannya kini dicabar Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sebuah parti politik dominan serta Parti Warisan (Warisan) yang masih memiliki sokongan kuat.

Jika Bersatu masuk ke PRN Sabah dengan imej yang berpecah, ada kemungkinan calon mereka akan mudah dipinggirkan. Pengundi Sabah sudah bosan dengan drama politik dan akan memilih parti yang kelihatan stabil.

Kegagalan di Sabah bukan sekadar kehilangan kerusi tetapi juga memberi isyarat buruk menjelang PRU16.

PRU16

Dengan hanya sekitar dua tahun sebelum PRU16, masa untuk Bersatu menyelesaikan konflik dalaman amat singkat. Politik tidak pernah menunggu sesiapa.

Dua tahun adalah tempoh yang terlalu pendek untuk mengubat luka jika retak ini menjadi belah. Cabaran utama Bersatu ialah membina naratif parti ini mampu menawarkan kestabilan.

Namun naratif itu mustahil dibina jika berita utama masih dipenuhi dengan serangan sesama sendiri. Pengundi Melayu yang sebelum ini menaruh harapan kepada PN akan mula ragu. Mereka mungkin kembali kepada UMNO walaupun parti itu sedang lemah atau mungkin beralih kepada parti baharu yang lebih segar.

Sejarah menunjukkan apabila parti utama berpecah, ia jarang pulih dengan cepat.

UMNO selepas krisis 1987 mengambil masa bertahun-tahun untuk kembali kukuh. PKR selepas Langkah Sheraton masih bergelut hingga kini.

Maka, jika Bersatu berpecah menjelang PRU16, peluang PN untuk menawan semula Putrajaya hampir pasti terkubur.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Pensyarah Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini