KETIKA Perikatan Nasional (PN) dilihat berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan pilihan raya umum akan datang, tiba-tiba berlaku ledakan dalam Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) .
Tindakan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan ‘menghentam’ Datuk Seri Mohamad Azmin Ali termasuk mengungkit kisah Sandakan yang sudah lama dilupakan menimbulkan tanda tanya.
Apa sebenarnya yang berlaku dalam parti itu dan PN secara keseluruhannya? Adakah wujud dua nakhoda dalam satu bahtera atau da cubaan untuk mengubah haluannya?
Selepas Perhimpunan Agung Bersatu berakhir pada September lalu, gambarannya jelas bahawa mereka sudah sepakat akan apakah bentuk kepimpinan dan hala tuju parti dalam menuju pilihan raya.
Malah para perwakilan juga sepakat untuk menamakan Presiden mereka, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri bagi PN.
Selepas itu, diikuti pula dengan Muktamar Tahunan Pas yang ia adalah pelengkap kepada kesediaan PN untuk mencabar Kerajaan Perpaduan yang mana kesepakatan antara UMNO/Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) masih longgar.
Apatah lagi pada PRN Sabah BN memilih untuk bertanding secara solo meninggalkan PH bersama GRS sebagai sekutu.
Sudah tentulah dalam kalangan pemerhati politik melihat PN iaitu kombinasi Bersatu dan Pas lebih mantap kerana pada kedua-dua perhimpunan tahunan parti jelas menunjukkan kesepakatan.
Tetapi nampaknya, ia hanya tenang di permukaan tetapi bergolak di dalam. Tiada angin, tiada ribut tiba-tiba Wan Saiful melakukan serangan keras ke atas Azmin yang sememang rapat kepada Muhyiddin.
Maka timbul persoalan, adakah serangan itu semata-mata kepada Azmin atau kepada Muhyiddin secara tidak langsung?
Daripada situ maka timbullah spekulasi kemungkinan dalam Bersatu pada masa ini wujud dua kem. Satu yang bersama Presiden dan satu lagi bersama Timbalan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Orang kata kalau tidak ada angin mana mungkin pokok akan bergoyang. Apatah lagi jika ada pula tangan yang menggoyang pokok berkenaan, maka timbullah pelbagai spekulasi liar yang cuba mentafsir apa sebenarnya di sebalik tindakan Wan Saiful itu.
Kenapa Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu begitu berani tampil membuat kenyataan seperti itu seolah-olah seperti cubaan untuk menyingkirkan Azmin dari Bersatu.
Selain itu, ada pula yang mendakwa ini mungkin ada kena mengena dengan keberadaan Azmin kebelakangan ini yang pernah kelihatan di pejabat seorang pemimpin PKR di Putrajaya.
Semua khabar angin ini bergumpal menjadi spekulasi bahawa haluan Bersatu kini sukar untuk dipastikan. Dikatakan satu kumpulan mahu parti itu kekal bergerak ke kiri satu pihak lagi mahu mengubahnya ke kanan.
Kerana terdapat perbezaan dalam menentukan haluan maka dikatakan, Wan Saiful tampil dengan serangan terbuka terhadap Azmin. Di sebalik tindakan itu sudah tentu ada sesuatu yang mahu dicapai. Cuma setakat ini ia belum jelas kelihatan, kerana perbalahan dan hujahan yang keluar hanya antara Wan Saiful dan Azmin sahaja.
Pastinya, ini bukan sesuatu yang elok untuk bukan sahaja untuk bersatu, tetapi juga kepada PN secara keseluruhan.
Atau mungkin juga tindakan Wan Saiful itu sebagai isyarat dari PN sendiri supaya Bersatu tidak bertindak melampaui apa yang telah dipersetujui atau cuba melangkah pagar.
Ada khabar angin mengatakan pernah ada pertemuan empat mata antara Muhyiddin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang. Namun, tidak ada siapa tahu atau dedahkan apakah butir perbincangan antara mereka.
Tetapi yang pasti sudah tentu ia berkaitan soal kerjasaam antara kedua-dua parti, dan kemungkinannya termasuk mengenai jawatan perdana menteri.
Walaupun Pas sentiasa tampil dengan kenyataan bahawa jawaan itu bukan keutamaan mereka, tetapi pada muktamar yang lalu, mereka juga tidak menyatakan secara jelas siapa yang mereka akan sokong.
Malah Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pernah menyifatkan ketetapan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu menamakan calon perdana menteri sebagai melangkau keputusan yang sepatutnya dibuat Majlis Tertinggi PN.
Kata Takiyuddin, dalam PN ada empat rakan kongsi yang mana sebarang keputusan penting mesti diputuskan secara bersama.
Sebab itu, katanya Pas tidak begitu bersetuju dengan apa-apa pengumuman sama ada calon perdana menteri dan sebagainya. Kerana bagi Pas, kenyataan itu mendahului keputusan PN.
Jadi, adakah serangan Wan Saiful ke atas Azmin ada kaitan dengan calon perdana menteri PN yang telah diputuskan oleh Bersatu, atau ia semata-mata disebabkan kisah lama antara kedua-dua mereka dan langsung tidak ada kena mengena dengan hala tuju parti?
Pergolakan dalam cawan ini bukan sahaja akan memberi kesan kepada Bersatu tetapi kepada PN juga secara keseluruhannya.
Cuma pada masa ini para pemimpin Pas menyifatkannya sebagai isu dalaman Bersatu dan langsung tidak ada kena mengena dengan PN dan tidak menjejaskan perikatan mereka.
Apa pun, apa sahaja perkembangan dalam Bersatu dan Pas yang kini sudah menjadi antara parti Melayu utama di negara ini pasti akan menjadi tumpuan. Jika bara-bara spekulasi yang kecil tidak dipadamkan segera ia bakal merebak menjadi api besar yang mana pasti ada pihak yang akan terbakar.
Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia










