BELANJAWAN 2026 yang dibentang pada 10 Oktober lalu menandakan detik penting dalam trajektori ekonomi Malaysia.
Sebagai belanjawan sulung di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan edisi keempat dalam siri Belanjawan Madani, di sebalik retorik yang membangkitkan semangat serta angka-angka mengagumkan, persoalan utama ialah sejauh mana janji itu mampu direalisasikan dalam cabaran ekonomi dan sosial negara?
TATAKELOLA
Untuk meluhur tatakelola terbaik melalui reformasi institusi kedengaran mulia tetapi ia membangkitkan skeptisisme yang berasas pada pengalaman lepas. Pengenalan Akta Tanggungjawab Fiskal dan Akta Perolehan Kerajaan langkah tepat di atas kertas, namun keberkesanan sebenar bergantung kepada kemahuan politik untuk menguatkuasakan undang-undang ini tanpa pilih kasih.
Sejarah Malaysia penuh dengan contoh undang-undang yang baik tetapi lemah dari segi penguatkuasaan. Komitmen untuk membanteras rasuah, ketirisan dan penyeludupan menjadi janji berulang dalam hampir setiap belanjawan sejak beberapa dekad lalu, namun Malaysia masih bergelut dengan isu-isu ini.
Indeks Persepsi Rasuah menunjukkan kemajuan Malaysia dalam aspek ini perlahan dan tidak konsisten.
SUBSIDI
Kerajaan mengumumkan penjimatan sebanyak RM15.5 bilion setahun hasil daripada penyasaran subsidi, yang kemudiannya akan disalurkan kembali kepada rakyat melalui bantuan tunai dan projek pembangunan.
Pendekatan subsidi bersasar ini secara teorinya lebih efisien dan adil namun, pelaksanaannya menghadapi cabaran yang sangat nyata.
Pertama, sistem pengenalan pasti penerima bantuan perlu sangat tepat untuk mengelakkan kesilapan eksklusif seperti golongan yang benar-benar memerlukan tertinggal atau kesilapan inklusif sementara mereka yang tidak layak pula menerima bantuan.
Pengalaman negara-negara lain menunjukkan sistem sasaran sering mengalami kedua-dua jenis kesilapan ini.
Kedua, terdapat risiko kenaikan harga selepas pengurangan subsidi. Ini memberi kesan lebih besar kepada golongan rentan berbanding bantuan tunai diterima, terutamanya jika nilai bantuan tidak diselaraskan dengan inflasi.
Ketiga, apabila subsidi RON95 turut disasarkan pada masa hadapan memberi impak psikologi dan politik kepada kelas pertengahan.Ia menjadi signifikan dan berpotensi mengikis sokongan politik kepada kerajaan.
TREND GLOBAL
Untuk menjuarai ekonomi bernilai tinggi menjanjikan transformasi struktural yang diperlukan untuk mengeluarkan Malaysia daripada perangkap pendapatan sederhana dengan memberi tumpuan kepada sektor semikonduktor, peralihan tenaga dan digital sebagaimana trend global.
Namun, terdapat jurang yang ketara antara menarik pelaburan dan memastikan pelaburan tersebut benar-benar memberi manfaat. Banyak pelaburan asing bernilai tinggi dalam dekad lepas tidak berjaya mencipta pekerjaan berkualiti tinggi yang mencukupi untuk rakyat tempatan atau pemindahan teknologi bermakna.
Terlalu kerap, Malaysia menjadi lokasi pengeluaran kos rendah tanpa benar-benar naik dalam rantaian nilai. Insentif yang diberikan kepada pelabur, walaupun perlu untuk bersaing dalam pasaran global, sering kali terlalu murah hati tanpa syarat yang cukup ketat mengenai penciptaan pekerjaan tempatan, latihan pekerja atau pemindahan teknologi.
KECERDASAN BUATAN & KOMERSIAL
Memacu produk ciptaan Malaysia melalui penekanan kepada kecerdasan buatan (AI) dan pengkomersialan penyelidikan universiti tepat pada masanya. Namun, ekosistem inovasi negara menghadapi cabaran struktural yang mendalam.
Penubuhan Awan AI Berdaulat kedengaran impresif tetapi keupayaan untuk bersaing dengan gergasi teknologi global yang mempunyai sumber jauh lebih besar menjadi persoalan. Lebih penting lagi, masalah asas dalam sistem pendidikan tinggi negara yang lebih mengutamakan memorisasi berbanding pemikiran kritikal dan kreativiti tidak dapat diselesaikan semalaman.
Pengkomersialan hasil penyelidikan universiti menjadi matlamat selama bertahun-tahun, namun kadar kejayaan kekal rendah disebabkan jurang antara penyelidikan akademik dan keperluan pasaran, ketiadaan ekosistem sokongan yang menyeluruh serta budaya birokrasi dalam universiti awam.
PERALIHAN
Dalam konteks ketahanan negara, tumpuan kepada peralihan tenaga dengan sasaran 70 peratus tenaga boleh baharu menjelang 2050 dianggap ‘kurang bersemangat’ berbanding banyak negara lain yang menyasarkan pelepasan karbon bersih sifar pada 2050 atau lebih awal.
Lebih membimbangkan, peralihan tenaga di Malaysia tertangguh selama bertahun-tahun disebabkan kepentingan politik dan ekonomi yang berakar dalam industri bahan api fosil.
KETIDAKSAMAAN
Merapat kesenjangan menyentuh isu ketidaksamaan yang kritikal dalam ekonomi manusiawi. Peruntukan untuk prasarana asas luar bandar di Sabah dan Sarawak sudah lama tertunggak, memandangkan kedua-dua negeri ini masih jauh ketinggalan dalam pembangunan infrastruktur berbanding Semenanjung.
Namun, persoalan soal peruntukan yang benar-benar merapat jurang besar perlu dikaji. Agenda ekonomi bumiputera dan pemerkasaan pelbagai kumpulan memerlukan pendekatan lebih strategik serta berasaskan merit untuk memastikan bantuan benar-benar sampai kepada yang memerlukan selain tidak disalahgunakan.
BANTUAN TUNAI
Peningkatan bantuan tunai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) positif, namun persoalan asas tentang sama ada bantuan tunai adalah penyelesaian jangka panjang yang mampan perlu ditanya.
Bantuan tunai boleh membantu dalam jangka pendek tetapi tidak menangani punca struktural kos sara hidup yang tinggi seperti isu perumahan yang tidak mampu milik, kos pengangkutan dan monopoli dalam sektor tertentu.
Reformasi dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) perlu memandangkan cabaran negara menua tetapi perubahan parametrik seperti menaikkan umur persaraan atau kadar caruman perlu dikomunikasikan dengan baik selain diimbangi dengan peluang pekerjaan untuk pekerja lebih tua.
KESIHATAN & PENDIDIKAN
Peruntukan besar untuk kesihatan dan pendidikan menggembirakan, namun saiz peruntukan sahaja tidak menjamin kualiti perkhidmatan.
Sistem kesihatan awam bergelut dengan kekurangan kakitangan, kemudahan usang dan masa menunggu yang lama.
Isu doktor kontrak yang dibiarkan berlarutan selama bertahun-tahun mencerminkan kegagalan perancangan sumber manusia dalam sektor kesihatan.
Dalam pendidikan, menaik taraf sekolah daif penting tetapi isu lebih asas mengenai kualiti pengajaran, kurikulum relevan dan pendidikan yang memupuk pemikiran kritikal tidak dapat diselesaikan dengan infrastruktur semata-mata.
JATI DIRI
Mengenai membina jati diri dan membangun nilai insani menyentuh aspek yang lebih abstrak tetapi penting dalam pembangunan negara. Perpaduan tidak dapat dibina semata-mata melalui program tetapi memerlukan kepimpinan inklusif dan dasar yang adil kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang.-UTUSAN
DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Wang dan Bank Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Timbalan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi.










